SALUTASI
1. Yang Berbahagia Datuk Ng Yih Pyng
Presiden, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM)
2. Tuan Zheng Xuefang
Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia
3. Yang Berbahagia Dato’ Seri N. Gobalakrishnan
Presiden, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM)
Presiden Kehidupan Seumur Hidup dan Ahli Majlis Eksekutif ACCCIM,
Tetamu Kehormat, Pemimpin Industri dan Ahli Dihormati ACCCIM,
Warga Media,
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.
1. Saya berasa amat berbesar hati berada di sini pada pagi ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Ng dan pasukan beliau daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) kerana menganjurkan majlis ini.
2. Sidang kemuncak ini berlangsung pada ketika kecerdasan buatan (AI) mendominasi perbualan – daripada bilik lembaga pengarah hinggalah ke jalanan. Ada yang berpendapat bahawa kita terlalu teruja dengan AI. Namun, ia sememangnya merupakan perkembangan terbesar yang berlaku kepada kita sejak era dotcom lebih tiga dekad lalu.
3. Semangat ini jelas dirasai, dan potensi AI tidak dapat dinafikan. Namun persoalannya, bagaimana kita boleh memanfaatkan kuasa digital ini dengan bertanggungjawab dan berkesan?
MENGAMALKAN PENDEKATAN ‘SELURUH NEGARA’, MEMPERKUKUH HUBUNGAN SERANTAU
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Di Malaysia, jawapan kita ialah melalui pendekatan “whole-of-nation” atau seluruh negara. Visi kita, sebagaimana digariskan dalam Kerangka Negara AI yang diterajui oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), adalah untuk melihat AI bukan sebagai kemewahan bagi segelintir, tetapi sebagai manfaat awam untuk semua. Kerangka ini dibina atas lima tonggak utama: dasar yang berpandangan jauh, tenaga kerja celik digital, infrastruktur yang selamat, kepercayaan digital, dan pelaburan strategik. Ini merupakan isyarat yang jelas kepada dunia bahawa Malaysia komited untuk menjadikan AI sebagai teknologi yang maju, inklusif dan boleh dipercayai.
5. Komitmen Kerajaan MADANI dalam bidang AI akan turut dizahirkan melalui pembentangan Belanjawan 2026 yang akan datang. Peruntukan dan inisiatif yang bakal diumumkan akan memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara AI serta memacu pembangunan inisiatif GovTech.
6. Aspirasi nasional ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan kita dalam rantau Asia Tenggara. Rantau ini sudah pun muncul sebagai kuasa besar AI secara kolektif, dengan ekonomi digital yang berkembang pesat dan dijangka menambah lebih daripada AS$1 trilion kepada KDNK gabungan kita menjelang tahun 2030.
7. Walaupun setiap negara anggota mempunyai strategi nasional masingmasing, kita bergerak maju bersama-sama. Sebagai contoh, ASEAN Guide on AI Governance and Ethics menyediakan asas bersama yang penting berlandaskan prinsip seperti keadilan, ketelusan dan akauntabiliti.
8. Semangat kerjasama seperti inilah yang akan membolehkan kita semua di ASEAN berinovasi dan berkembang, sambil memastikan pembangunan AI terus berpusatkan manusia.
PERKONGSIAN AWAM-SWASTA KUNCI KEPADA PERTUMBUHAN
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Kerajaan hanya mampu melakukan sebahagian. Kita perlu berganding bahu dengan pakar-pakar seperti tuan-tuan dan puan-puan di sini hari ini untuk lebih memahami teknologi yang terus berkembang ini. Usaha ini akan membantu kita merangka peraturan dan dasar yang lebih baik agar ekonomi digital serta para penggiatnya dapat berkembang maju.
10. Justeru, perkongsian awam-swasta adalah enjin kepada keupayaan kita untuk bergerak pantas. Dengan bekerjasama dengan sektor swasta, kita boleh mencuba, mengembang dan menyesuaikan diri seiring kelajuan inovasi. Kita dapat berlandaskan situasi sebenar, bukannya sekadar teori.
11. Keadaan ini mewujudkan persekitaran “living lab” – di mana penyelesaian AI baharu dapat dicipta, diuji dan dilaksanakan, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi kita dan yang paling penting, kepada rakyat Malaysia.
12. Namun, semua ini tidak akan tercapai tanpa insan yang tepat dan prinsip yang betul. Kita mesti merapatkan jurang AI. Kita mesti menegakkan etika dan integriti pada setiap masa.
13. Ini bermakna kita perlu melabur secara besar-besaran dalam bakat digital — daripada memperluas program atas talian AI untuk Rakyat sedia ada sehinggalah meningkatkan kemahiran para profesional dalam setiap sektor.
14. Kita sedar bahawa pekerjaan dijangka akan terkesan akibat AI, pendigitalan dan ekonomi hijau dalam tempoh lima tahun akan datang.
15. Namun begitu, hal ini bukan hanya terhad kepada negara kita sahaja. Di peringkat global, Forum Ekonomi Dunia menjangkakan 50% tenaga kerja perlu mengikuti latihan semula atau meningkatkan kemahiran menjelang tahun 2025.
16. Tidak dapat dinafikan, ada pekerjaan tradisional yang akan diautomasi. Kita telah melihat perkara ini berlaku dalam tiga revolusi perindustrian 6 terdahulu. Apa yang dilakukan manusia? Kita berubah haluan dan menemui peluang baharu. Kita bukan sahaja berjaya bertahan, malah menjadi lebih kuat.
17. Malah, AI pada masa ini sudah pun mewujudkan pekerjaan baharu, seperti saintis penyelidikan AI, jurutera pembelajaran mesin, dan saintis data.
18. Mereka yang berada dalam perkhidmatan awam kini turut meningkatkan kemahiran, kerana mereka akan memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif GovTech. Jika kami di pihak kerajaan sudah melakukannya, maka tuan-tuan dan puan-puan di sini juga wajar meningkatkan kemahiran pasukan masing-masing.
19. Pada masa yang sama, kita mesti menerapkan amalan AI yang bertanggungjawab di setiap peringkat. Ini termasuk membangunkan kerangka etika dan dasar tadbir urus yang memastikan sistem AI selamat, bebas daripada bias, dan berkhidmat untuk kebaikan awam. Penubuhan Suruhanjaya Data khusus serta pindaan terhadap undang-undang sedia ada adalah bukti komitmen kita untuk membina kepercayaan rakyat. Tanpa sokongan daripada rakyat, segala usaha kita akan menjadi sia-sia.
MENJADIKAN MALAYSIA HAB AI BERTARAF DUNIA
Tuan-tuan dan Puan-puan,
20. Usaha yang sedang dan akan kita laksanakan bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh keupayaan AI dalam negara. Ia juga akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam landskap AI global.
21. Pelaburan besar-besaran oleh pemain tempatan dan asing di Malaysia sudah membuktikannya. Mengapa mereka begitu berminat untuk 7 menapak di Malaysia? Jawapannya terletak pada kedudukan strategik negara kita. Ia juga hasil daripada dasar proaktif kerajaan. Ringkasnya, Malaysia adalah destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan.
22. Dengan membina ekosistem yang kukuh, memupuk bakat, serta menerajui dengan visi berpusatkan manusia, kita bukan sekadar mengikuti perlumbaan AI global — malah kita memimpinnya dengan cara tersendiri, berteraskan nilai kita dan disesuaikan dengan masa depan serantau yang dikongsi bersama.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
23. Pada bulan lalu, kita telah menganjurkan ASEAN AI Summit yang berjaya menarik lebih 10,000 peserta dan pelawat dari seluruh dunia. Sidang kemuncak tersebut merupakan satu kejayaan besar, hasil daripada penyertaan para pemain industri termasuk ACCCIM.
24. Pada minggu hadapan, kita akan menjadi tuan rumah kepada Smart City Expo Kuala Lumpur, SmartGov Malaysia 2025 dan Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit. Kemudiannya pada bulan ini juga akan berlangsung edisi ketiga Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA 2025). Program-program ini bukan sekadar acara untuk melengkapkan kalendar, tetapi merupakan himpunan pemegang taruh penting yang bersemangat dan berkeupayaan untuk melonjakkan perjalanan Malaysia ke arah sebuah negara digital.
25. Dengan semangat yang sama, saya menantikan pelbagai perbincangan dan idea daripada bengkel serta persidangan sepanjang Sidang Kemuncak ini. Adalah penting agar perbualan ini diteruskan melangkaui Sidang Kemuncak ini. Matlamat akhirnya ialah mencari penyelesaian yang dapat memberi manfaat kepada tuan-tuan dan puan-puan, rakyat kita serta negara tercinta ini.
Terima kasih sekali lagi kerana menjemput saya hadir pada hari ini. Selamat maju jaya dan semoga Sidang Kemuncak ini berlangsung dengan cemerlang.
#TAMAT#