KENYATAAN MEDIA
ADGMIN 2025: MENINGKATKAN PERTUMBUHAN EKONOMI SERANTAU, MEMBINA LINGKUNGAN DIGITAL YANG LEBIH SELAMAT DAN MENINGKATKAN KETERHUBUNGAN SERANTAU
BANGKOK, 17 Januari 2025 – ASEAN perlu memperkukuh usaha untuk membangunkan dan melaksanakan piawaian digital dan keselamatan siber yang konsisten, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat, bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Menteri Digital, Tuan Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa inisiatif ini akan meningkatkan kebolehoperasian penyelesaian digital sekali gus memberi manfaat kepada negara anggota ASEAN, yang akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan rantau ini dalam ekonomi digital global.
Tuan Gobind Singh Deo yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang ke-5 (ADGMIN) di Bangkok, Thailand yang berakhir pada hari ini, menambah bahawa mesyuarat tersebut juga menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani penipuan dalam talian, memperkukuh keterhubungan serantau serta mempercepatkan penyelesaian rundingan mengenai Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital (DEFA).
“Malaysia menyokong penuh seruan untuk menyelesaikan rundingan DEFAsecepat mungkin, memandangkan manfaat ekonomi yang signifikan akan diterima oleh rantau ini. Setelah rundingan selesai, DEFA dijangka akan menggandakan nilai ekonomi digital rantau ini kepada USD2 trilion menjelang 2030 berbanding USD1 trilion yang dijangka sebelum ini,” kata Tuan Gobind Singh Deo.
Tiga perkara utama yang diperoleh daripada ADGMIN adalah:
1. Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi Serantau, khususnya menerusi DEFA.
2. Membina Persekitaran Digital yang Lebih Selamat untuk memerangi penipuan dalam talian dan memastikan pengawalan AI yang lebih baik. Usahaini bertujuan melindungi individu dan perniagaan daripada ancaman siber di samping memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam ruang digital.
3. Meningkatkan Keterhubungan Serantau, memandangkan Malaysia menggalakkan penerapan piawaian digital dan keselamatan siber yang seragam di seluruh ASEAN untuk memastikan kebolehoperasian penyelesaian di semua negara anggota. Ini memanfaatkan rakyat dengan memudahkan perkhidmatan digital merentas sempadan, tetapi juga mendorong inovasi dan memberi akses yang lebih baik kepada teknologi digital di seluruh rantau ini.
Mesyuarat ini juga menyokong lima projek utama yang akan diterajui olehMalaysiapada tahun 2025:
1. Menerajui penerapan AI yang selamat di Asia Tenggara Malaysia mengetuai deklarasi penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN(ASEAN AI Safe). Rangkaian ini akan bertindak sebagai platform utama dalam memudahkan penyelidikan keselamatan AI, mempromosikan pembangunan dan penggunaan AI yang selamat dan bertanggungjawab di sektor awam dan swasta, serta menggalakkan penyelarasan dan kebolehoperasian keselamatan AI dalam kalangan negara anggota ASEAN.
2. Pembangunan pusat data yang mampan Malaysia juga telah memulakan "Garis Panduan Pembangunan Pusat Datayang Mampan ASEAN”, satu rangka kerja komprehensif yang memberi panduan kepada pembuat dasar untuk membangunkan industri pusat datayang mampan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang sambil mengutamakan kelestarian alam sekitar.
3. Rangka kerja pengkomputeran awan merentas sempadan Projek ini bertujuan membangunkan rangka kerja yang menetapkan prinsip-prinsip tadbir urus data dalam era pengkomputeran awan.
4. Pembangunan tenaga kerja 5G Bagi menyokong pembangunan tenaga kerja 5G yang berkemahiran tinggi, melalui kursus dan program latihan khusus yang bertujuan meningkatkan kemahiran semula serta pensijilan profesional dalam bidang ini.
5. Pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEANMalaysia akan mengetuai projek setahun ini yang bertujuan merangka dan menubuhkan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN2026-2030. Matlamat utamanya adalah untuk menangani cabaran keselamatan siber secara kolektif dan memastikan ruang siber yang lebih berdaya tahan dan selamat bagi komuniti ASEAN. Projek ini juga bertujuan meningkatkan kerjasama antara negara anggota ASEAN serta perkongsian maklumat dalam menangani ancaman siber yang semakin meningkat.
Selain itu, Tuan Gobind Singh Deo turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala yang produktif, termasuk dengan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn pada 16 Januari 2025, diikuti dengan beberapa negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog serta Pembangunan, antaranya Indonesia, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa(ITU), Jepun, Republik Korea, Thailand dan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan dengan ITU, beliau membincangkan peranan kesatuantersebut dalam menyokong Pejabat AI Kebangsaan Malaysia (NAIO) yang baru ditubuhkan. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah penetapan piawaian AI oleh NAIO dan ITU, serta mempromosikan kebolehoperasian penyelesaian AI di seluruh ASEAN selain memberi sokongan dalam aspek peraturan dan dasar.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital