SALUTASI
1. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
2. Yang Berusaha Tuan Ma Sivanesan Marimuthu
Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
3. Profesor Joseph Cherian
Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden, Asia School of Business
4. Encik Shamsul Izhan Abdul Majid
Ketua, Pejabat AI Kebangsaan
5. Puan Clara Koh
Ketua Dasar Awam, Meta (Asia Tenggara Tengah & ASEAN)
6. Encik Koo Seng Meng
Pengarah Pembangunan Bakat AI, AI Singapore
Tetamu Kehormat dan Para Pendidik yang Dihormati, Warga Media, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.
1. Persidangan sulung AI untuk Kebaikan (Pendidik) ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan digital Malaysia. Inilah detik kita untuk memperkasa para pendidik dan memimpin era baharu pendidikan berteraskan AI.
2. Persidangan ini bukan sekadar sebuah acara, malah ia merupakan satu pernyataan hasrat. Saya berdiri di sini bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk menegaskan semula komitmen kita bahawa kecerdasan buatan (AI) akan dibangunkan dan dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab, inklusif dan transformatif.
3. Malaysia telah merangka halatuju yang bercita-cita tinggi. Di bawah RMK13, kita sedang memposisikan negara sebagai sebuah negara yang berkembang maju berteraskan inovasi, keterangkuman dan pendigitalan. Kementerian Digital, melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), kini sedang menyediakan Pelan Tindakan AI Nasional 2030, yang akan mendefinisikan arah tuju AI Malaysia untuk dekad akan datang. Pendidikan dan pembangunan bakat akan menjadi inti pati pelan ini, kerana tanpa masyarakat yang celik AI, kita tidak akan mampu mencapai visi sebuah Negara AI.
4. Apabila kita berbicara tentang membina sebuah Negara AI, ia bukan semata-mata tentang pusat data, infrastruktur awan atau hab teknologi. Semua itu penting, tetapi ujian sebenar sebuah Negara AI ialah sama ada setiap anak, di setiap bilik darjah, mempunyai peluang untuk meraih manfaatnya.
5. Itulah sebabnya program pada hari ini begitu penting. Dengan melancarkan Malaysia Chapter bagi Program ASEAN AI for Good (Educator), kita merealisasikan visi “AI dalam Bilik Darjah”. Kita memastikan para guru di seluruh Malaysia — daripada universiti awam dan swasta, daripada sekolah bandar hinggalah ke sekolah di kampung — mendapat akses kepada ilmu pengetahuan serta alat yang mereka perlukan.
6. Melalui AI, para guru dapat merangka pengajaran dengan lebih cekap, memperibadikan pendidikan bagi setiap murid, serta memupuk kreativiti dan kemahiran penyelesaian masalah yang dituntut oleh masa depan. Inilah cara kita merapatkan jurang antara sekolah luar bandar dan bandar, dan inilah juga cara kita merealisasikan keterangkuman digital.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Peluang yang terbentang di hadapan kita amatlah besar. Kajian yang dijalankan oleh Meta dan Deloitte mendapati bahawa penerapan AI di Malaysia berpotensi menyumbang sehingga USD48 bilion, iaitu lebih daripada RM200 bilion dalam nilai ekonomi tambahan untuk Malaysia menjelang tahun 2034. Namun, angka ekonomi hanyalah sebahagian daripada ceritanya. Ukuran sebenar kejayaan ialah sama ada rakyat kita — para pendidik, pelajar, serta perusahaan kecil — mampu menggunakan AI untuk berkarya, berinovasi, dan berkembang maju.
8. Saya merakamkan penghargaan kepada Meta atas kerjasama erat mereka bersama Malaysia sejak sekian lama. Bermula dengan pelaburan awal mereka di Malaysia, termasuk peluasan pejabat Kuala Lumpur pada tahun 2019, hinggalah kepada sesi libat urus saya bersama kepimpinan mereka di Amerika Syarikat pada tahun lalu — Meta secara konsisten menunjukkan komitmen terhadap perjalanan digital yang kita kongsi bersama.
9. Model LLaMA sumber terbuka oleh Meta (disebut La-Ma) kini telah menjadi piawaian global, memperkasa komuniti di seluruh dunia untuk berinovasi dan berkarya. Di Malaysia, teknologi yang sama telah dimanfaatkan oleh syarikat pemula seperti Mesolitica, yang giat membangunkan MaLLaM (disebut Malam), sebuah model AI generatif Bahasa Malaysia yang dibina berasaskan model LLaMA oleh Meta. Projek berani ini adalah inti pati kemajuan: berani membina serta tekun dalam proses pembangunan dan penambahbaikan berterusan. Inilah cara kita menggerakkan negara ke hadapan dan membuktikan bahawa inovator Malaysia mampu melahirkan penyelesaian bertaraf dunia yang relevan dengan budaya serta mencerminkan bahasa dan identiti kita sendiri.
10. Meta juga telah bekerjasama dengan Kementerian, melalui MDEC, serta pihak berkepentingan lain sejak tahun 2022 bagi membekalkan perusahaan mikro dan PKS Malaysia dengan alatan berasaskan AI, seperti WhatsApp for Business, untuk membantu mereka berkembang dan menembusi pasaran baharu. Usaha ini secara langsung menyokong agenda Kerajaan untuk memastikan transformasi digital bukan hanya terbatas kepada syarikat besar, tetapi turut dinikmati oleh setiap usahawan dan komuniti di seluruh negara.
11. Perjalanan digital kita bukanlah satu usaha yang ditempuh sendirian; ia diperkukuh dengan semangat kerjasama ASEAN. Hal ini jelas ditunjukkan oleh rakan-rakan kita di AI Singapore. Komitmen mereka untuk memastikan masa depan digital bersama telah membawa kepada kerjasama erat dengan Meta, yang menghasilkan Program Peningkatan Kemahiran AI Pendidik ASEAN. Walaupun program ini telah memberi manfaat kepada para pendidik Malaysia yang terlibat dalam fasa serantau awalnya, hari ini menandakan peluasan pentingnya. Dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan, kita kini membawa inisiatif ini secara langsung ke tanah air, sekali gus mewujudkan sebuah platform berimpak besar bagi para pendidik untuk terlibat dalam perjalanan pembelajaran bersama dan memimpin masa depan digital negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Apa yang menjadikan hari ini lebih bermakna ialah kepelbagaian penyertaan. Kita menghimpunkan lebih daripada 200 orang pendidik daripada universiti awam dan swasta, serta sekolah-sekolah di kawasan bandar dan juga luar bandar. Keterangkuman ini mencerminkan komitmen Kementerian untuk memastikan tiada guru, dan tiada murid, yang ketinggalan. Sesi-sesi yang akan anda sertai hari ini — daripada seminar mengenai AI generatif hinggalah ke perbincangan tentang etika dan bias — bukanlah sekadar teori abstrak. Ia adalah tentang alat praktikal yang boleh anda bawa pulang dan gunakan terus di bilik darjah mulai esok.
13. Kementerian Digital sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah penyamarata terbesar bagi Malaysia. AI menawarkan kepada kita satu alat baharu yang amat berkuasa. Ia mampu melebar jurang sekiranya digunakan secara cuai, tetapi boleh mengangkat martabat masyarakat sekiranya digunakan dengan bijaksana. Tanggungjawab kita sebagai kerajaan, sebagai rakan kerjasama, dan sebagai pendidik adalah memastikan AI digunakan untuk kebaikan.
14. Marilah bersama-sama kita membina sebuah Malaysia yang bukan sahaja mengguna pakai AI, tetapi juga menunjukkan kepada dunia bagaimana AI boleh dimanfaatkan untuk memperkasa masyarakat, memperkukuh kepercayaan, dan mentransformasikan pendidikan. Dan marilah kita mulakan, seperti yang selalu menjadi asasnya, di bilik darjah — kerana bilik darjahlah tempat masa depan dibentuk.
15. Dan marilah kita sentiasa ingat hal ini: setiap transformasi besar di Malaysia bermula di bilik darjah. Usaha yang anda lakukan sebagai pendidik, inspirasi yang anda berikan kepada generasi muda, kemahiran yang anda pupuk, serta nilai yang anda semaikan — semuanya akan menentukan bukan sahaja masa depan anak-anak kita, tetapi juga masa depan negara kita dalam era digital.
Sekian, terima kasih.
#TAMAT#