SALUTASI
1. Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong
Timbalan Menteri Digital.
2. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar,
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital.
3. Yang Berusaha Tuan Ma Sivanesan,
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital), Kementerian Digital.
4. Yang Berusaha Tuan Shakib Ahmad Shakir bin Jamaluddin,
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik & Pengurusan), Kementerian Digital.
5. Yang Berbahagia Datuk Azman Ismail,
Ketua Pegawai Eksekutif, Digital Nasional Berhad.
6. Yang Berbahagia Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab,
Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia.
Tetamu kehormat, para penceramah terbilang, dan wakil media yang dihormati,
Para delegasi, rakan-rakan strategik dan sekalian hadirin yang dihormati.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.
1. Terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini untuk kita bersamasama meneliti satu topik yang amat kritikal pada masa kini – keselamatan siber.
2. Kita kini hidup dalam dunia yang semakin saling berhubung. Kehidupan kita disulam dengan jalur-jalur digital. Daripada cara kita berkomunikasi, berbelanja, hinggalah kepada akses perkhidmatan awam – dunia digital kini meresap ke setiap aspek kehidupan.
3. Namun, agar transformasi digital ini benar-benar berkembang dan membawa manfaat, ada satu unsur asas yang tidak boleh kita abaikan – kepercayaan.
4. Kepercayaan digital merujuk kepada keyakinan teguh yang kita letakkan terhadap sistem, teknologi dan urus niaga digital. Kita percaya bahawa semuanya adalah selamat, terlindung dan boleh dipercayai. Ia merupakan kekuatan yang tidak kelihatan tetapi sangat berpengaruh yang menjadi tunjang kepada setiap interaksi digital kita.
5. Namun, kita harus akui bahawa ramai di luar sana mengambil mudah terhadap sistem, teknologi dan urus niaga digital ini. Kita menjangkakan setiap transaksi akan selesai tanpa sebarang kerugian kewangan. Kita juga menjangkakan segala maklumat yang dikongsi dalam talian akan kekal terlindung.
6. Ini kerana kita sangat bergantung kepada perkhidmatan digital sedemikian. Kebergantungan inilah yang telah melonjakkan pertumbuhan ekonomi digital negara kita.
7. Rakyat Malaysia hari ini menjalankan urus niaga harian dengan begitu lancar menggunakan dompet digital seperti Touch 'n Go atau sistem pindahan antara bank seperti DuitNow. Hanya dengan menggunakan telefon mudah alih, kita boleh membayar untuk nasi lemak, menaiki pengangkutan awam, dan juga menghantar wang kepada orang tersayang.
8. Malah, perkhidmatan kerajaan kini boleh diakses dengan mudah dan lebih cekap hasil daripada kemajuan digital. Rakyat Malaysia kini boleh memperbaharui lesen memandu, membayar cukai, dan menyemak penyata KWSP mereka secara dalam talian.
9. Kesediaan kita untuk menggunakan saluran digital ini berpunca daripada kepercayaan terhadap komitmen kerajaan dalam melindungi data peribadi, memastikan integriti setiap permohonan, serta menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
Serangan Siber – Ancaman Besar di Peringkat Global
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
10. Kebergantungan kita terhadap pelbagai urus niaga secara dalam talian telah mendorong pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan terhadap kehadiran digital kita. Kini, kita menyaksikan peningkatan serangan siber yang membimbangkan. Serangan yang menggerunkan ini memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat – daripada individu hingga ke organisasi, merentas semua sektor dan saiz. Golongan warga emas menjadi mangsa kehilangan simpanan, manakala golongan muda pula dikenakan tindakan kerana kurangnya kesedaran terhadap bahaya dunia siber.
11. Kita sering membaca dan mendengar tentang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, skim pelaburan palsu, serta serangan phishing. Menurut CyberSecurity Malaysia, lebih daripada 6,000 insiden siber telah dilaporkan sepanjang tahun 2024, yang sebahagian besarnya melibatkan penipuan kewangan, pencerobohan sistem, dan penggunaan kod hasad.
12. Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia telah menanggung kerugian kewangan melebihi RM1.22 bilion akibat jenayah siber.
13. Namun, insiden seperti ini bukanlah terhad kepada Malaysia sahaja. Seluruh dunia turut berdepan dengan ancaman besar ini, yang telah mengakibatkan kerugian bernilai trilion dolar setiap tahun.
14. Kesan serangan siber bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan. Ia turut menjejaskan reputasi, mengancam privasi, merosakkan aset, menutup peluang, dan dalam sesetengah kes, bahkan mengancam nyawa.
15. Serangan terhadap Teknologi Operasi (OT) – yang menggerakkan automasi di kilang, mengurus rawatan pesakit di hospital, serta mengendalikan infrastruktur kritikal seperti grid tenaga dan loji rawatan air – kini semakin menjadi sasaran pihak ancaman yang canggih dan terancang.
5GOT – Mempercepat, Menyelaraskan dan Menyatukan Usaha Memerangi Jenayah Siber
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
16. Kita mesti menangani jurang yang wujud dalam aspek dasar, peralatan, bakat, dan penguatkuasaan rentas sempadan secara holistik bagi membina daya tahan serta mengurus tahap kematangan keselamatan siber yang berbeza-beza dalam kalangan organisasi – malah antara negara.
17. Malaysia telah mengambil langkah tegas untuk memperkukuh landskap keselamatan siber negara. Akta Keselamatan Siber 2024, yang telah berkuat kuasa pada 26 Ogos tahun lalu, memberi kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk memantau pematuhan, menyelaras antara sektor, serta melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII). Sebuah Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang baharu pula akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober ini, dengan tujuan menggantikan perundangan yang sudah lapuk dan memperkasa pihak berkuasa dengan alat serta peruntukan undangundang yang lebih sesuai untuk menangani ancaman siber moden secara berkesan.
18. Malaysia turut mengembangkan peranannya di peringkat global. Pada 9 April 2025, Jemaah Menteri telah meluluskan penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber. Negara juga sedang membuat persiapan untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah Siber di Hanoi pada bulan Oktober ini.
19. Tindakan-tindakan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap norma antarabangsa serta usaha kolaboratif dalam menangani jenayah siber.
20. Justeru itu, platform seperti 5GOT mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempercepatkan kemajuan melalui penglibatan pakar, perkongsian ilmu, kerjasama strategik, dan pendedahan kepada teknologi-teknologi baharu yang sedang muncul.
Kepercayaan Digital – Asas Sebuah Masyarakat Digital
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
21. Kepercayaan digital ialah asas utama bagi sebuah masyarakat digital moden. Ketika kita melaksanakan transformasi digital dalam kerajaan, ekonomi dan komuniti, kita mesti memastikan bahawa kepercayaan terhadap sistem digital kita kekal kukuh. Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan pendekatan yang menyeluruh yang berteraskan tiga tunjang utama:
• Kerangka Dasar
• Infrastruktur
• Pendidikan
Inilah misi utama Sidang Kemuncak 5GOT ini.
22. Sepanjang tiga hari sidang kemuncak ini, kita berhasrat untuk merangka pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan kepercayaan digital dalam perkhidmatan digital serantau. Kita juga berusaha untuk mewujudkan kerangka dan garis panduan bersama bagi keselamatan 5G dan Teknologi Operasi (OT) di rantau Asia Tenggara.
23. Di samping itu, kita bertekad untuk membangunkan ekosistem siber serantau melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta yang dapat merangsang inovasi dan pembangunan bakat tempatan. Paling utama, kita berharap dapat meningkatkan kesedaran dan menyemai rasa mendesak dalam kalangan pemegang taruh utama demi menjamin masa depan digital yang selamat.
24. Jadikanlah sidang kemuncak ini sebagai pemangkin kepada penyelesaian yang inovatif, kerjasama yang bermakna, serta ketahanan serantau yang lebih kukuh. Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 32 orang pakar dari 14 buah negara turut bersama kita hari ini. Saya menggalakkan anda semua untuk berinteraksi dengan mereka, mendapatkan pandangan mereka, dan menimba pengalaman mereka dalam usaha membina serta memelihara kepercayaan digital.
25. Dengan itu, saya dengan rasminya mengisytiharkan Sidang Kemuncak Keselamatan Teknologi Operasi 5G 2025 dibuka.
Sekian, terima kasih.
#TAMAT#