Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC 2025

7 mins
·

SALUTASI

1. Encik George Freeman

Utusan Perdagangan UK ke Malaysia, Filipina, Singapura & Brunei

2. Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr Jeffrey Cheah

Penaung Bersama, Dewan Perniagaan British-Malaysia (BMCC)

3. Yang Berbahagia Dato’ Omar Siddiq

Timbalan Pengerusi, BMCC

4. Cik Loh Wei Yuen

Pengarah Eksekutif, BMCC

5. Encik Evan Cheah

Timbalan Presiden, Kumpulan Sunway

6. Encik Richard Colley

Pengarah Perdagangan & Pelaburan, Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia

7. Encik Venkkat Ramanan

Naib Presiden Serantau (Asia Pasifik), AICPA & CIMA

8. Tuan-tuan Duta & Tetamu Kenamaan Antarabangsa

Tetamu Kehormat,

Wakil Media,

Tuan-tuan dan Puan-puan.

Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang.

1. Sebelum saya memulakan ucapan, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Perniagaan British-Malaysia (BMCC) atas jemputan yang diberikan.

2. Saya berasa amat berbesar hati dapat bersama anda semua pada malam ini bagi meraikan kecemerlangan dan inovasi dalam kalangan syarikatsyarikat UK di Malaysia.

3. Sepanjang tahun ini, kita telah menyaksikan pelbagai perbincangan berkaitan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI). Saya yakin ramai di sini turut menggunakan AI dalam pelbagai cara.

4. Malaysia sedang melabur secara besar-besaran dalam bidang AI. Kerajaan MADANI amat menyedari potensi ekonomi yang mampu ditawarkan oleh AI. Hal ini turut dizahirkan dalam belanjawan tahunan negara, termasuk Bajet 2026 yang baru dibentangkan.

5. Kita telah menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan melaksanakan pelbagai program AI yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat — daripada orang awam hinggalah kepada komuniti perniagaan.

6. Semua ini adalah langkah untuk mempercepatkan transformasi Malaysia sebagai sebuah negara digital, serta membangunkannya sebagai Negara AI menjelang tahun 2030. Namun, seperti yang anda semua maklum, Malaysia sememangnya telah menawarkan persekitaran digital-native — bergantung kepada e-dompet serta pembayaran kod QR yang saling boleh kendali. Daripada pembayaran tol, pembelian tiket wayang hinggalah membeli nasi lemak di pasar malam, semuanya kini dilakukan secara dalam talian.

7. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia telah memimpin pelbagai inisiatif termasuk Sidang Kemuncak AI ASEAN. Sepanjang tahun ini, kita telah menyaksikan perbincangan di pelbagai peringkat, antaranya: Panduan ASEAN untuk Pembangunan Pusat Data Mampan, Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN (2026–2030), serta Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

8. Perbincangan dan komitmen ini merupakan elemen penting dalam transformasi digital Asia Tenggara. Laporan e-Conomy SEA 2025 terbaharu oleh Google, Temasek dan Bain & Company menjangkakan ekonomi digital rantau ini akan melepasi nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak US$300 bilion tahun ini. Angka ini adalah 1.5 kali lebih tinggi daripada unjuran awal yang dikeluarkan sedekad lalu.

9. Seperti yang ditegaskan oleh Forum Ekonomi Dunia, pencapaian besar ini bukanlah garis penamat. Ia merupakan penutup kepada satu bab yang terus memacu perubahan seterusnya, perubahan terbesar rantau ini: realiti AI.

BERKONGSI KERJASAMA DENGAN SYARIKAT-SYARIKAT MALAYSIA UNTUK MENEROKA PELUANG SERANTAU

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Pada bulan Jun yang lalu, saya menghadiri Minggu Teknologi London, di mana saya bertemu dengan beberapa rakan industri anda. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa Malaysia berada pada kedudukan strategik di tengah-tengah ASEAN, sebuah pasaran yang merangkumi hampir 700 juta penduduk. 5

11. Negara kita berperanan sebagai pangkalan hadapan yang maju secara digital, stabil, dan kaya dengan kepelbagaian budaya, sekali gus menawarkan akses tanpa tandingan kepada pasaran pengguna yang begitu besar ini. Saya pasti semua yang hadir pada malam ini dapat mengesahkannya.

12. Kemajuan Malaysia sangat mengagumkan. Ekonomi digital kita berada pada landasan untuk menyumbang 25.5% kepada KDNK negara menjelang akhir tahun ini. Kejayaan ini didorong oleh ekosistem yang rancak, merangkumi peneraju tempatan dan antarabangsa.

13. Banyak syarikat telah dianugerahkan status Malaysia Digital (MD) yang berprestij. Syarikat-syarikat ini memanfaatkan insentif dan keistimewaan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan digital bernilai tinggi seperti AI, Blok rantai (Blockchain), dan Internet Benda (IoT).

14. Inilah rakan kerjasama yang diperlukan oleh kepakaran UK. Kerjasama ini juga merupakan langkah kukuh bagi kita untuk berada di barisan hadapan dalam realiti AI. Tidak lagi sekadar bercakap tentang AI, kini masanya untuk mengguna pakai dan menyesuaikan AI dalam pelbagai cara.

15. Kerjasama sebegini kemudiannya boleh diperluaskan melangkaui ASEAN. Kerajaan kita sedang menggalakkan konsep Made in Malaysia dan Made for Malaysians. Dengan kerjasama anda, kita boleh memperluaskannya kepada Made in Malaysia, Made for ASEAN. Biarlah kita menjadi jambatan ketika anda mengembangkan kehadiran di rantau yang pesat membangun secara digital ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

16. Masa depan ekonomi global akan menjadi semakin digital, semakin pintar, dan semakin bersalinghubung. Dengan memilih Malaysia sebagai rakan strategik anda, anda memilih pertumbuhan dan daya dinamik ASEAN.

17. Akhir sekali, kepada para calon dan pemenang anugerah, kami mengiktiraf anda pada malam ini — kerana usaha keras, pandangan jauh, dan dedikasi anda telah memacu ekonomi global ke hadapan.

18. Semoga pencapaian anda memberi inspirasi kepada kita semua ketika kita bekerjasama untuk mencipta peluang dalam era yang penuh keghairahan ini, yang dipacu oleh AI.

Terima kasih, dan selamat menikmati malam anda.

#TAMAT#


20112025_TEKS UCAPAN_ANUGERAH KECEMERLANGAN PERNIAGAAN BMCC 2025.pdf

0.17MB

20112025_SPEECH_BMCC BUSINESS EXCELLENCE AWARDS 2025.pdf

0.19MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025