Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Aplikasi Mudah Alih MyGOV Malaysia Bakal Dilancarkan Bulan Depan

4 mins
·

SIARAN MEDIA

APLIKASI MUDAH ALIH MYGOV MALAYSIA BAKAL DILANCARKAN BULAN HADAPAN

PUTRAJAYA, 24 JUN 2025 – Aplikasi Mudah Alih MyGOV Malaysia, iaitu gerbang digital tunggal negara bagi perkhidmatan kerajaan, akan dilancarkan pada Julai 2025.

Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo berkata bahawa MyGOV Malaysia merupakan sebahagian daripada inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) negara, yang bertujuan untuk memudahkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai agensi kerajaan dengan lebih mudah.

“Ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara digital. Sudah tiba masanya kita menyediakan satu platform tunggal yang membolehkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara lancar dan bersepadu,” kata YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital.

Aplikasi Mudah Alih MyGOV Malaysia akan memfokuskan kepada tujuh perkhidmatan utama, iaitu: Perjalanan (urusan berkaitan passport); Pendaftaran (melibatkan kelahiran dan kewarganegaraan); Pemanduan (termasuk cukai jalan dan lesen memandu); Kesihatan (meliputi temu janji perubatan dan rekod kesihatan); Saman (semakan dan bayaran saman); Perumahan (merangkumi cukai tanah dan cukai taksiran); serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) (bantuan tunai di bawah inisiatif Rahmah kerajaan). Lebih banyak ciri tambahan akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memperkasa fungsi aplikasi ini.

YB Tuan Gobind Singh Deo berkata bahawa MyGOV Malaysia akan diintegrasikan dengan MyDigital ID bagi memperkemas akses kepada perkhidmatan kerajaan menerusi satu platform yang selamat dan bersepadu.

YB Tuan Gobind Singh Deo menambah bahawa, “Pengguna akan dapat mengesahkan identiti mereka dan mengakses pelbagai perkhidmatan secara terus melalui aplikasi mudah alih ini dengan menggunakan maklumat pengenalan MyDigital ID masing-masing. Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja memudahkan interaksi rakyat dengan platform kerajaan, malah turut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Digital terhadap keterangkuman digital, kepercayaan dan kecemerlangan perkhidmatan.”

Sehingga 23 Jun 2025, sebanyak 2,604,160 pendaftaran MyDigital ID telah direkodkan. Integrasi log masuk tunggal (Single Sign-On) ini akan melibatkan 34 sistem utama perkhidmatan kerajaan, dan lebih banyak perkhidmatan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Pembangunan MyGOV Malaysia turut menyaksikan kerjasama strategik dengan sektor swasta, khususnya syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan, dengan matlamat akhir untuk membolehkan pengguna mengakses lebih banyak perkhidmatan dengan mudah dalam persekitaran digital yang selamat dan terjamin.

Aplikasi MyGOV Malaysia turut akan memberi manfaat kepada pihak kerajaan dengan mengoptimumkan kos operasi agensi-agensi kerajaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, serta meningkatkan produktiviti melalui penggunaan data yang membolehkan keputusan dibuat dengan lebih tepat dan berinformasi.

YB Tuan Gobind Singh Deo menambah “Aplikasi MyGOV Malaysia akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai perkhidmatan secara langsung di hujung jari mereka. Ini merupakan sebahagian daripada perjalanan kita untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara digital, satu perjalanan yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam persekitaran digital yang dipercayai.”

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri Digital,

Kementerian Digital.


24062025_SIARAN MEDIA_APLIKASI MUDAH ALIH MYGOV MALAYSIA BAKAL DILANCARKAN BULAN HADAPAN.pdf

0.12MB

24062025_PRESS RELEASE_MYGOV MALAYSIA MOBILE APP TO BE LAUNCHED NEXT MONTH.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025