Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Aplikasi MyGOV Malaysia Capai 2.2 Juta Pengguna,Perluas Penawaran Digital Dengan Penstriman Langsung Piala Dunia FIFA 2026

5 mins
·

SIARAN MEDIA

APLIKASI MYGOV MALAYSIA CAPAI 2.2 JUTA PENGGUNA, PERLUAS PENAWARAN DIGITAL DENGAN PENSTRIMAN LANGSUNG PIALA DUNIA FIFA 2026

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2026 – Lebih daripada 2.2 juta rakyat Malaysia kini menggunakan aplikasi MyGOV. Pencapaian ini menyerlahkan usaha berterusan GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital untuk memperkasakan ekosistem kerajaan digital negara.

Platform ini menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan bersepadu yang semakin berkembang dengan perkhidmatan tambahan diperkenalkan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh dan menyokong transformasi digital sektor awam yang lebih menyeluruh.

Ekosistem Kerajaan Digital yang Semakin Berkembang

Aplikasi MyGOV yang telah diperkenalkan pada Ogos 2025, kini menyediakan akses kepada 51 perkhidmatan merentas 19 agensi kerajaan ke dalam satu platform tunggal. Selaras dengan penyampaian perkhidmatan digital, aplikasi ini menyepadukan fungsi daripada sistem-sistem utama secara progresif, termasuk MySejahtera, MyJPJ, Semakan Harga Barangan Terpilih (PriceCatcher), Portal Manfaat dan juga Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menjelang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026, aplikasi MyGOV akan memperkenalkan penstriman perlawanan yang dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Pengguna yang telah berdaftar dengan Mydigital ID

akan dapat menonton secara siaran langsung menggunakan peranti mudah alih masing-masing, selain platform siaran sedia ada.

“Aplikasi MyGOV mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menambah baik akses rakyat Malaysia kepada perkhidmatan digital kerajaan. Seiring dengan peningkatan penggunaan, platform ini terus dipertingkatkan secara berperingkat bagi meningkatkan kebolehskalaan, prestasi sistem dan pengalaman pengguna yang lebih baik.

Hala tuju jangka panjangnya adalah untuk memperluas ekosistem perkhidmatan secara berfasa, bagi memastikan integrasi dilaksanakan secara mampan dan selaras dengan keperluan pengguna serta kesediaan sistem. Ini termasuk usaha mempertingkatkan akses kepada maklumat berkaitan perkhidmatan dan manfaat kerajaan dari semasa ke semasa,” kata YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital.

Memacu Ekonomi Digital Malaysia dan Aspirasi Negara AI

Dibangunkan sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital negara, aplikasi MyGOV memberi tumpuan kepada pengukuhan infrastruktur awam digital, peningkatan keupayaan saling kendali (interoperabiliti) sistem serta perluasan penggunaan digital di seluruh negara.

Usaha ini menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan sistem digital bersepadu, cekap dan berupaya menyediakan pengalaman yang lebih lancar serta berteraskan rakyat.

Perkembangan pesat aplikasi MyGOV adalah selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), yang dirangka untuk menghapuskan silo birokrasi melalui interoperabiliti data yang mantap dan infrastruktur awam digital yang bersepadu.

Datuk Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, menegaskan bahawa infrastruktur ini amat penting bagi menyokong fasa seterusnya dalam kemajuan teknologi negara.

“Kerajaan yang saling berhubung merupakan prasyarat kepada masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan. Dengan menyatukan platform pelbagai agensi di bawah ekosistem MyGOV, kita sedang membina asas data yang bersih dan saling beroperasi yang diperlukan bagi membolehkan pelaksanaan kecerdasan buatan pada skala yang lebih luas.

Matlamat utama kita adalah untuk beralih daripada penyampaian perkhidmatan awam yang bersifat reaktif kepada pengalaman rakyat yang bersifat ramalan dan disesuaikan mengikut keperluan individu, sekali gus mengukuhkan laluan Malaysia ke arah menjadi sebuah Negara AI yang terkemuka menjelang 2030,” kata beliau.

Aplikasi MyGOV Malaysia merupakan inisiatif strategik yang dibangunkan oleh GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan secara digital. Sebagai platform bersepadu yang menjadi teras ekosistem kerajaan digital negara, MyGOV Malaysia akan terus dipertingkatkan secara berfasa melalui penambahan perkhidmatan dan inovasi baharu.

Orang ramai disaran untuk meneroka serta menggunakan aplikasi MyGOV Malaysia bagi memudahkan urusan harian dengan kerajaan, selaras dengan peluasan rangkaian perkhidmatan yang akan terus dilaksanakan secara berperingkat pada masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.MyGOV.gov.my/ms-MY

KEMENTERIAN DIGITAL

#TAMAT#


05062026_SIARAN MEDIA_APLIKASI MYGOV MALAYSIA CAPAI 2.2 JUTA PENGGUNA, PERLUAS PENAWARAN DIGITAL DENGAN PENSTRIMAN LANGSUNG PIALA DUNIA FIFA 2026.pdf

0.16MB

05062026_PRESS RELEASE_MALAYSIA’S MYGOV APP HITS 2.2 MILLION USERS; UNVEILS SHOCK FIFA WORLD CUP 2026 LIVE STREAMING IN MAJOR DIGITAL LEAP.pdf

0.15MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026