SIARAN MEDIA
ASPIRASI MADANI DIREALISASI: KEMENTERIAN DIGITAL LAKSANA PROJEK KAM RM1 JUTA DI KAMPUNG PIASAU UTARA
MIRI, 9 DISEMBER 2025 - Kementerian Digital hari ini menyerahkan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) bernilai RM1 juta kepada penduduk Kampung Piasau Utara, yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Tuan Fabian Bigar, dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Dewan Serbaguna kampung tersebut.
Projek berkenaan merangkumi pelbagai penambahbaikan infrastruktur asas dan kemudahan komuniti, termasuk kerja-kerja baik pulih Masjid Darul Hijrah, Holy Rosary Chapel serta Dewan Serbaguna Kampung Piasau Utara yang menjadi pusat kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan setempat.
Pemasangan lampu solar LED turut dilaksanakan di beberapa laluan utama kampung untuk memastikan pencahayaan yang lebih baik pada waktu malam. Selain itu, satu unit van jenazah baharu disediakan bagi memudahkan urusan pengurusan kematian, manakala peralatan sokongan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut diserahkan bagi memperkukuh pentadbiran serta aktiviti komuniti.
Dalam ucapannya, Ketua Setiausaha Kementerian Digital menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan pembangunan seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar, selaras dengan aspirasi MADANI Kerajaan. Beliau turut memaklumkan mengenai penganjuran Kursus AI for MyFuture pada 8 Disember 2025 yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada penduduk mengenai teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau juga berharap agar kemudahan baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk, seterusnya menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup dan perpaduan komuniti.
Projek KAM ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih dinamik, mampan dan seiring dengan agenda transformasi digital di kawasan luar bandar.
KEMENTERIAN DIGITAL
#TAMAT#