KENYATAAN MEDIA
AYUH KE RUMAH TERBUKA DEEPAVALI MADANI 2025 UNTUK MERAIKAN PERPADUAN DAN KEMAJUAN BERSAMA
Saya, bagi pihak Kementerian Digital serta Kerajaan MADANI, mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 akan diadakan di Lot F, KL Sentral, Kuala Lumpur esok. Acara ini akan diserikan dengan kehadiran YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta rakan-rakan Jemaah Menteri yang lain.
Pelbagai persembahan serta makanan tradisional India akan disajikan. Ahli sukan, penghibur serta pakar-pakar dari pelbagai industri, termasuk industri digital, akan turut menyertai perayaan ini. Rumah terbuka kebangsaan ini merupakan peringatan yang bermakna tentang bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang meraikan Pesta Cahaya bersama-sama.
Acara ini turut menjadi simbol kepada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membela nasib semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti India. Pelbagai inisiatif telah digariskan dalam Belanjawan MADANI 2026 dengan matlamat utama untuk memberikan dorongan serta peluang kepada masyarakat India untuk maju dan makmur. Daripada penambahbaikan makmal ICT di sekolah, peruntukan untuk penyelenggaraan kuil sehinggalah kepada pembiayaan mikro kepada usahawan India, terdapat pelbagai manfaat yang boleh dinikmati oleh semua anggota komuniti. Inisiatif-inisiatif ini melengkapi program-program sedia ada untuk memperkasakan komuniti India di Malaysia.
Dalam era digital yang semakin berkembang ini, kerajaan akan terus memastikan tiada rakyat Malaysia yang tertinggal. Dan dalam semangat meraikan perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, saya ingin menjemput anda semua untuk hadir ke Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025.
Deepavali bukan sekadar satu perayaan — ia adalah masa untuk kita merenung kembali kejayaan yang telah dilakar, meraikan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan (triumph of good over evil), dan membuka lembaran baharu yang lebih bermakna dan penuh harapan.
Jumpa anda di Rumah Terbuka Deepavali MADANI esok!
GOBIND SINGH DEO
Menteri Digital
17 Oktober 2025
-TAMAT-