Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Memperkukuh Kepercayaan Sebagai Tunjang Masa Depan Digital Yang Berdaya Maju

4 mins
·

SIARAN MEDIA

MEMPERKUKUH KEPERCAYAAN SEBAGAI TUNJANG MASA DEPAN DIGITAL YANG BERDAYA MAJU

Dalam Forum ASEAN-China mengenai Kerjasama Digital yang berlangsung di Shanghai, China semalam, Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo sekali lagi menegaskan bahawa kepercayaan merupakan asas kepada transformasi digital yang berkesan dan inklusif. Seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju digital di rantau ini, elemen kepercayaan terus menjadi panduan utama dalam strategi negara, membentuk kerjasama antarabangsa, serta menjadi teras kepada pembangunan teknologi baharu.

YB Tuan Gobind Singh Deo menekankan kepentingan yang semakin meningkat bagi ejen kecerdasan buatan (AI) — sistem pintar yang mampu membuat keputusan dan melaksanakan tugas secara autonomi — sebagai ciri utama dalam landskap digital masa kini. Sistem-sistem ini sedang merevolusikan perkhidmatan awam dan industri, namun kejayaannya bergantung kepada keyakinan orang ramai bahawa ia beroperasi secara selamat, beretika dan selaras dengan nilai-nilai masyarakat.

Beliau menyatakan bahawa dunia sedang melangkah ke era kepintaran baharu di mana ejen AI akan memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan seharian. Justeru, adalah penting untuk masyarakat meyakini bahawa sistem-sistem ini sejajar dengan nilai-nilai mereka serta keperluan sosial semasa.

AI dijangka menyumbang sebanyak USD17.5 trilion kepada ekonomi global menjelang tahun 2030, sekali gus merubah sektor-sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian dan logistik. Namun, untuk merealisasikan potensi ini, ia memerlukan bukan sahaja inovasi, tetapi juga struktur tadbir urus yang mampu membina dan mengekalkan kepercayaan.

Penekanan Malaysia terhadap dasar digital yang beretika, inklusif dan telus telah meraih pengiktirafan global, dengan pelaburan digital berjumlah RM163.6 bilion berjaya diperoleh pada tahun 2024 — satu bukti kukuh terhadap keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap visi digital negara. Bagi menyokong penerimagunaan AI secara bertanggungjawab, termasuk penggunaan model bahasa besar (LLM), YB Tuan Gobind Singh Deo mencadangkan penubuhan kerangka pensijilan. Kerangka ini bertujuan memastikan sistem AI selaras dengan keutamaan negara, konteks budaya dan jangkaan masyarakat — sekali gus membantu membina kepercayaan pada setiap peringkat pelaksanaannya.

Pensijilan akan berperanan sebagai langkah perlindungan dan juga pemangkin, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap teknologi yang mendasari ekonomi digital Malaysia.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia akan menerajui usaha memperkukuh kerjasama serantau melalui penubuhan Rangkaian Keselamatan AI Asia, sebuah platform untuk memajukan piawaian bersama dalam tadbir urus AI, etika serta inovasi rentas sempadan.

Teras kepada pendekatan Malaysia ialah keyakinan bahawa kepercayaan mesti dibina secara menyeluruh dalam struktur ekosistem digital itu sendiri. Daripada menetapkan penyelesaian yang bersifat tetap dan terhad, Kementerian Digital memberi tumpuan kepada pembangunan kerangka yang mampan bagi membolehkan inovasi berkembang secara bertanggungjawab. Ini merangkumi komitmen terhadap libat urus berterusan — mendengar, belajar dan bekerjasama dengan rakan-rakan yang sealiran bagi memastikan keputusan hari ini meletakkan asas kukuh untuk landskap digital yang selamat, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.

Malaysia tetap teguh dalam pendiriannya untuk memastikan setiap pembangunan digital mencerminkan nilai-nilai bersama iaitu maruah, peluang dan kemajuan untuk semua.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri,

Kementerian Digital,

29 Julai 2025.


29072025_SIARAN MEDIA_MEMPERKUKUH KEPERCAYAAN SEBAGAI TUNJANG MASA DEPAN DIGITAL YANG BERDAYA MAJU.pdf

0.08MB

29072025_PRESS RELEASE_BUILDING TRUST AS THE FOUNDATION FOR A THRIVING DIGITAL FUTURE.pdf

0.13MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025