Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Dewan Rakyat Meluluskan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 (RUUPD 2024)

4 mins
·

DEWAN RAKYAT MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG PERKONGSIAN DATA 2024 (RUUPD 2024)

Kuala Lumpur, 12 Disember 2024 (Khamis) – Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 (RUUPD 2024) pada lewat petang ini. Ia merupakan satu lagi catatan sejarah kepada Kementerian Digital yang turut meraikan kejayaan peluncuran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Malaysia International Trade and Exibition Centre (MITEC) pada pagi tadi. Anjakan ini merupakan aspirasi positif yang bakal melonjakkan peranan Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025 serta melakar wajah baharu Malaysia sebagai negara digital.

RUUPD 2024 merupakan satu daripada iltizam Kerajaan MADANI yang memfokuskan inisiatif perkongsian data sebagai salah satu langkah strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Data merupakan suatu aset yang seharusnya boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Keberhasilannya merangkumi pelbagai aspek, dan ini termasuklah menangani pelbagai cabaran sosial dan ekonomi, serta pemacu utama dalam menggalakkan inovasi untuk meningkatkan produktiviti negara.

Menyedari kepentingan-kepentingan ini, maka Islah (Pembaharuan) telah dilaksanakan untuk mereformasikan amalan sedia ada di mana data disediakan dan disimpan oleh agensi masing-masing, kini telah berkembang menjadikan data sebagai suatu aset yang boleh diakses dan dimanfaatkan melalui perkongsian oleh pelbagai pihak berkepentingan.

RUUPD 2024 ini digubal bagi mewujudkan ekosistem tadbir urus yang lebih cekap bagi memastikan keselamatan data dan privasi, ini sudah tentu akan mampu menyediakan platform ketersediaan data yang holistik serta dapat memberi akses yang menyeluruh bagi meningkatkan kemampuan membuat keputusan dan kecekapan pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Skop Pemakaian RUUPD 2024 ini hanya melibatkan perkongsian data antara Agensi Sektor Awam Persekutuan dan Badan Berkanun Pesekutuan dan tidak terpakai kepada Kerajaan Negeri memandangkan perkara berkaitan dengan Jentera Kerajaan Negeri diperuntukkan di bawah butiran tujuh (7), Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Pesekutuan di mana Badan Perundangan Negeri boleh juga mempertimbangkan untuk menggubal dan menerima pakai perundangan berkenaan dengan perkongsian data ini.

RUUPD 2024 ini juga tidak akan melibatkan sebarang pindaan ke atas perundangan Persekutuan yang berkuat kuasa memandangkan Akta dan Peraturan sedia ada adalah terpakai kepada pegawai-pegawai awam sekiranya disabitkan dengan sebarang isu ketirisan semasa mengendalikan data dengan keselamatan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan.

Antara intipati utama dalam RUUPD 2024 yang mengandungi 5 Bahagian dan 29 Fasal adalah pengwujudan Jawatankuasa Perkongsian Data dan peranan pengawal selia yang diberikan kepada Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara. Ia merupakan satu tindakan ke arah mewujudkan struktur tadbir urus perkongsian data sektor awam yang lebih sistematik dan berfokus di dalam ekosistem perkongsian data di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Digital berkeyakinan tinggi bahawa RUUPD 2024 akan membolehkan aktiviti mengurus dan mengawal selia perkongsian data bertambah cekap dengan penglibatan semua pihak berkepentingan. Ia penting bagi membolehkan perkongsian data dapat dilaksanakan dengan selamat dan berkesan dalam merealisasikan hasrat negara dalam meningkatkan ekonomi digital.

Penggubalan RUUPD 2024 pastinya tidak akan terhasil tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak. Dalam hal ini, Kementerian Digital ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalan RUUPD 2024 samada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

YB TUAN GOBIND SINGH DEO

MENTERI DIGITAL


12.12.2024_PR_RUU_PERKONGSIAN DATA.pdf

0.11MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025