Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Strategi Kepercayaan Digital Dan Keselamatan Data Sedang Dibangunkan Bagi Memperkukuh Rangka Kerja Peraturan Keselamatan Data Kerajaan

3 mins
·

SIARAN MEDIA

STRATEGI KEPERCAYAAN DIGITAL DAN KESELAMATAN DATA SEDANG DIBANGUNKAN BAGI MEMPERKUKUH RANGKA KERJA PERATURAN KESELAMATAN DATA KERAJAAN

Kerajaan MADANI amat menitikberatkan aspek keselamatan dan perlindungan maklumat peribadi rakyat yang terdapat dalam sistemnya. Selaras dengan pelan transformasi digital negara serta komitmen untuk menjadi Negara AI, keutamaan diberikan kepada kawalan keselamatan dan langkah perlindungan bagi memastikan data peribadi rakyat kekal selamat, terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh pihak ketiga.

Seperti yang saya nyatakan di Dewan Rakyat semalam, Kementerian Digital kini sedang membangunkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data yang akan memperkukuh rangka kerja peraturan bagi keselamatan data kerajaan, di samping mengintegrasikan prinsip keselamatan, kebertanggungjawaban dan kepercayaan digital. Inisiatif ini akan menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara AI yang selamat dan dipercayai.

Menerusi strategi ini, data peribadi rakyat dalam sistem Kerajaan dapat dilindungi secara tersusun dan diaudit secara berkala. Langkah ini, dari semasa ke semasa, akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan.

Langkah ini akan melangkaui undang-undang dan peraturan sedia ada seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, serta Akta Perangkaan 1965, yang telah pun menetapkan garis panduan jelas berkaitan keselamatan dan kerahsiaan maklumat kerajaan.

Kementerian Digital melalui agensinya, CyberSecurity Malaysia, turut menyediakan perkhidmatan ujian keselamatan ICT yang merangkumi Pensijilan dan Penilaian Kriteria Umum Malaysia (MyCC), Pensijilan Jaminan Keselamatan Teknologi (TSA), penilaian kerentanan dan ujian pencerobohan (VAPT), serta pematuhan terhadap piawaian antarabangsa ISMS ISO/IEC 27001. Pegawai sektor awam juga diberikan latihan dan pensijilan profesional, antaranya melalui program Certified Chief Information Security Officer (C-CISO) bagi memperkukuh keupayaan dan kepakaran dalam bidang keselamatan siber.

Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa Kementerian ini bersama agensiagensinya mengambil pendekatan menyeluruh merentasi semua peringkat masyarakat bagi memastikan data kekal selamat dan terjamin, seiring dengan usaha memanfaatkan pertumbuhan pesat ekonomi digital serta mempercepatkan pelan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital sepenuhnya.

GOBIND SINGH DEO

Menteri Digital

15 Oktober 2025

– TAMAT –

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri Kementerian Digital, Malaysia


15102025_SIARAN MEDIA_STRATEGI KEPERCAYAAN DIGITAL DAN KESELAMATAN DATA SEDANG DIBANGUNKAN BAGI MEMPERKUKUH RANGKA KERJA PERATURAN KESELAMATAN DATA KERAJAAN.pdf

0.07MB

15102025_PRESS RELEASE_DIGITAL TRUST, DATA SECURITY STRATEGY BEING DEVELOPED TO STRENGTHEN REGULATORY FRAMEWORK FOR GOVERNMENT DATA SECURITY.pdf

0.14MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025