SIARAN MEDIA
DUA TAHUN KEMENTERIAN DIGITAL: MEMACU AGENDA PENDIGITALAN NEGARA, KE ARAH NEGARA AI 2030
KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER 2025 - Kementerian Digital (KD) hari ini menganjurkan Majlis Apresiasi dan Sambutan Ulang Tahun Kedua penubuhannya sebagai simbol penghargaan atas komitmen, dedikasi dan sumbangan seluruh warga kementerian dalam memacu agenda pendigitalan negara.
Majlis ini bukan sekadar meraikan perjalanan dua tahun penubuhan KD, bahkan menzahirkan keutuhan iltizam kementerian dalam menerajui transformasi digital Malaysia ke tahap yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
Sambutan ini turut menandakan evolusi pesat KD daripada sebuah kementerian baharu yang memulakan pembentukan asas digital negara kepada peneraju strategik yang kini membentuk hala tuju digital Malaysia dan mempengaruhi landskap teknologi serantau. Majlis berkenaan menjadi platform untuk menilai pencapaian dua tahun pertama, meneguhkan komitmen kepimpinan serta memperkukuh semangat dalam menggalas agenda Negara AI, mempertingkatkan perkhidmatan digital berimpak tinggi dan membina ekosistem digital yang inklusif.
Melalui inisiatif berfokuskan pendigitalan inklusif, KD terus bergerak ke hadapan bagi memperkukuh daya saing digital dan memastikan rakyat di semua lapisan masyarakat menikmati manfaat pendigitalan, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.
UNTUK SIARAN SEGERA
Sorotan 2024: Meletakkan Batu Asas Pendigitalan Negara
Pada tahun pertama penubuhannya, KD memberikan tumpuan kepada penstrukturan semula tadbir urus digital dan penggubalan dasar strategik. Kejayaan ini telah menjadi batu asas pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi di bawah RMK-12 pada tahun 2025. Antara pencapaian utama termasuk:
•Pemantapan agensi di bawah KD;
•Penyelarasan fungsi utama digital negara;
•Penyediaan dokumen strategik peringkat nasional;
•Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (National AI Office – NAIO);
•Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi, dan;
•Sokongan kepada NACSA dalam pembentangan Akta Keselamatan Siber 2024.
Pencapaian 2025: Malaysia Peneraju Hala Tuju Digital Serantau
Bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, KD telah memainkan peranan sentral dalam menentukan dasar digital serantau melalui pelbagai platform mesyuarat strategik peringkat tinggi antaranya Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) & Pegawai Kanan Digital (ADGSOM) Ke-5 (Januari 2025), Mesyuarat Pasukan Tugas Khas Revolusi Perindustrian Keempat ASEAN (A4IR-TFG) Ke-3 (Oktober 2025) dan 2nd ADGSOM–ATRC Leaders’ Retreat 2025 (Oktober 2025).
Kejayaan 3 Tonggak Utama 2025
Selain kepimpinan di peringkat ASEAN, KD terus memperkukuh ekosistem domestik melalui tiga tonggak utama:
A.Kerajaan Digital (GovTech);
•Unit GovTech Malaysia: Penubuhan unit khusus untuk memacu inovasi sektor awam.
•Perkongsian Data: Pewartaan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864) dan perasmian Jawatankuasa Perkongsian Data Negara bagi membolehkan perkhidmatan kerajaan yang lebih tangkas (GovTech).
•Gerbang Tunggal: Pemerkasaan Aplikasi MyGOV Malaysia dan Portal MyGovernment, termasuk peluncuran segmen untuk bukan warganegara.
B.Ekonomi Digital;
•Pelaburan & Infrastruktur: Peluncuran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) dan Geran Program Penggunaan 5G untuk Industri.
•Kerjasama Antarabangsa: Menarik pelaburan dan pemindahan teknologi melalui MoU bersama Republik Rakyat China (fokus AI & Ekonomi Digital) dan Republik Kyrgyz (Transformasi Digital & Keselamatan Siber).
•Ekosistem Mampan: Memperkenalkan Kod Etika AI dan Kerangka Kawal Selia Adaptasi AI bagi membina kepercayaan pelabur.
C.Masyarakat Digital;
•Inklusiviti: Pelaksanaan Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2025 di seluruh negara untuk menyantuni komuniti setempat.
•Pembangunan Bakat: Program Executive Digital Leadership Programme (EDLP) dan inisiatif Rakyat Digital untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
•Keselamatan Sosial: Peluncuran Modul Etika Siber Nasional (ESN) bagi mendidik rakyat menjadi warga digital yang beretika.
Hala Tuju: Persiapan Ke Arah Negara AI 2030 (RMK-13)
Kementerian Digital kini memberikan fokus penuh kepada penyediaan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) beserta penjajaran dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Menuju Negara AI, iaitu pelaksanaan Fasa ke-3 hasil kajian separuh penggal dokumen Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara (D4IRN). Di samping itu, KD turut membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 sebagai menyokong aspirasi Negara AI 2030.
Fokus keutamaan adalah untuk memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia dari sudut infrastruktur dan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) tetapi juga memiliki kerangka tadbir urus yang utuh untuk menjadi Negara AI 2030 yang berdaya saing di peringkat global.
KEMENTERIAN DIGITAL
#TAMAT#