SIARAN MEDIA
PENGGUNAAN ESG MELALUI KERJASAMA AWAM-SWASTA MEMBERIKAN KELEBIHAN KOMPETITIF KEPADA PENGELUAR MALAYSIA DI PASARAN GLOBAL
Dengan mengintegrasikan alat digital canggih dengan amalan terbaik industri, asas bagi sektor ‘Pembuatan Pintar’ yang berdaya tahan, mampan dan makmur di Malaysia dapat dibentuk.
SUBANG JAYA, 19 Februari 2025 – Kerjasama awam-swasta yang melibatkan agensi kerajaan, pemimpin industri dan penyedia teknologi, antara lain, mampu mempercepatkan penggunaan penyelesaian digital canggih serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan dan pembuatan yang kompetitif serta berpandangan jauh ke hadapan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata bahawa dengan bekerjasama secara aktif dengan industri bagi menangani persilangan antara prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta penggunaan teknologi digital, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan ekonomi digital yang kukuh, mampan dan berdaya saing di peringkat global yang memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat.
“Penggunaan ESG bukan sahaja perlu, malah kritikal bagi pengeluar Malaysia, dan terdapat sebab kukuh untuk ini. Menerapkan amalan ESG membantu memastikan kelangsungan perniagaan. Dengan mengamalkan kelestarian, syarikat dapat menguruskan risiko dengan lebih baik, mengoptimumkan sumber dan membina daya tahan terhadap cabaran alam sekitar dan sosial,” kata Gobind.
“Integrasi prinsip ESG menggalakkan inovasi dan kecekapan operasi. Dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan alat digital canggih, pengeluar dapat mengautomasikan pelaporan ESG, menjejak pelepasan karbon secara masa nyata dan mengoptimumkan penggunaan tenaga.
“Selain itu, banyak rakan dagang utama Malaysia telah melaksanakan peraturan ESG yang ketat. Pengeluar yang mengamalkan prinsip ESG akan lebih mudah memasuki dan berkembang dalam pasaran ini kerana pematuhan terhadap standard kelestarian antarabangsa menjadi pembeza daya saing utama. Operasi yang selaras dengan ESG membuka peluang kepada rantaian bekalan global yang mengutamakan amalan bertanggungjawab dan telus.”
Sektor pembuatan kekal sebagai tunjang utama ekonomi Malaysia, menyumbang kira-kira 23% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Ini menjadikannya antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, dengan subsektor utama termasuk bahan kimia, automotif serta elektrik dan elektronik, manakala Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak merupakan penyumbang utama kepada sektor pembuatan.”
Gobind berkata demikian ketika melancarkan Kerjasama Awam-Swasta ESG – satu inisiatif yang diterajui oleh Glocomp Systems, Microsoft Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Sunway Resort Hotel pagi ini.
Beliau turut menekankan bahawa ekonomi digital merupakan salah satu pemacu pertumbuhan Malaysia yang dijangka menyumbang 25.5% kepada KDNK negara menjelang akhir tahun 2025. Ini membuktikan kepentingan teknologi yang semakin meningkat merentasi semua sektor, termasuk pembuatan.
“Apabila teknologi dan pembuatan digabungkan, ia membentuk satu kombinasi yang berkuasa untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global. Dengan mengintegrasikan alat digital canggih dengan amalan terbaik industri, kita sedang membina asas bagi sektor ‘Pembuatan Pintar’ yang berdaya tahan, mampan dan makmur untuk memacu pertumbuhan Malaysia pada masa hadapan.
“Dengan mengambil kira kedua-dua sektor ini, faktor ESG menjadi lebih penting. Prinsip ESG memastikan bahawa seiring dengan kemajuan Pembuatan Pintar, ia dilakukan dengan pertimbangan seimbang terhadap kesan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan standard tadbir urus,” tambahnya.
Bercakap mengenai kerjasama awam-swasta, Gobind berkata bahawa Microsoft Cloud for Sustainability Pilot berfungsi sebagai pemudah cara yang membolehkan pengeluar – khususnya ahli FMM – mendapat akses kepada analitik berasaskan AI dan keupayaan penjejakan pelepasan karbon secara masa nyata. Teknologi ini bukan sahaja memudahkan pelaporan ESG tetapi juga menyokong pembuatan keputusan berasaskan data bagi strategi kelestarian yang lebih berkesan.
“Selain itu, Dana Pemecut Pelaburan Domestik MIDA yang dilancarkan tahun lalu bertujuan membantu mengurangkan kos langganan untuk ahli FMM, menjadikan projek perintis ini lebih mudah diakses oleh pengeluar. Ini adalah satu lagi inisiatif Malaysia MADANI untuk membantu pengeluar memodenkan operasi dan kekal berdaya saing dalam pasaran global yang sentiasa berkembang,” tambahnya.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri
Kementerian Digital, Malaysia