Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Kerangka, Infrastruktur Dan Pendidikan Sebagai Tunjang Utama Pembentukan Kepercayaan Digital Di Malaysia

5 mins
·

SIARAN MEDIA

KERANGKA, INFRASTRUKTUR DAN PENDIDIKAN SEBAGAI TUNJANG UTAMA PEMBENTUKAN KEPERCAYAAN DIGITAL DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2025 – Kepercayaan digital merupakan asas utama kepada sebuah masyarakat digital moden. Seiring dengan usaha Malaysia mempercepatkan transformasi digital dalam sektor kerajaan, ekonomi dan komuniti, langkah-langkah bersepadu perlu diambil bagi memastikan kepercayaan terhadap sistem digital ini terus kukuh.

Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo berkata bahawa usaha ini memerlukan pendekatan yang menyeluruh yang merangkumi tiga tunjang utama – kerangka dasar, infrastruktur dan pendidikan.

Berucap semasa pelancaran Sidang Kemuncak Keselamatan ASEAN 5G & Teknologi Operasi (5GOT) 2025, Gobind berkata: “Inilah misi utama sidang kemuncak ini.”

“Sepanjang tiga hari akan datang, kita berhasrat untuk merangka pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh kepercayaan digital dalam perkhidmatan digital serantau. Kita juga ingin membentuk kerangka dan garis panduan bersama berkaitan keselamatan 5G dan Teknologi Operasi dalam kalangan negara-negara ASEAN,” katanya.

“Kami juga bertekad untuk membangunkan ekosistem siber serantau melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta yang menyokong inovasi serta pembangunan bakat. Paling penting, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan menyemai rasa mendesak dalam kalangan pemegang taruh utama bagi memastikan keselamatan masa depan digital kita.”

“Jadikanlah sidang kemuncak ini sebagai pemangkin kepada penyelesaian inovatif, kerjasama yang bermakna, dan daya tahan serantau yang lebih kukuh. Saya dimaklumkan bahawa kita mempunyai 32 pakar dari 14 negara yang turut bersama kita hari ini. Saya menggalakkan anda semua untuk berinteraksi dengan mereka, mendapatkan pandangan mereka, dan menimba pengalaman mereka dalam usaha membina serta memelihara kepercayaan digital,” tambah beliau.

YB Tuan Gobind Singh Deo menekankan bahawa keselamatan siber merupakan “isu yang amat kritikal” pada masa kini. Menurut CyberSecurity Malaysia, lebih daripada 6,000 insiden siber telah dilaporkan pada tahun 2024, yang kebanyakannya melibatkan penipuan, pencerobohan serta kod hasad. Malaysia telah menanggung kerugian kewangan melebihi RM1.22 bilion akibat jenayah siber sepanjang tahun lalu.

“Tetapi insiden seperti ini bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di Malaysia sematamata. Dunia turut berdepan dengan ancaman besar ini, yang mengakibatkan kerugian bernilai trilion dolar setiap tahun,” ujar beliau.

“Malaysia telah mengambil langkah tegas bagi memperkukuh landskap keselamatan sibernya. Akta Keselamatan Siber 2024, yang telah berkuat kuasa pada 26 Ogos 2024, memberi kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk memantau pematuhan, menyelaras antara sektor, serta melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII). Satu Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang baharu akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, dengan matlamat menggantikan undang-undang lama serta memperkasa pihak berkuasa dengan alat yang diperlukan untuk menangani ancaman siber moden secara berkesan.” “Malaysia juga sedang mengembangkan peranan dan kerjasama di peringkat global. Pada 9 April 2025, Jemaah Menteri telah meluluskan penyertaan negara ke dalam Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber.

Malaysia juga sedang membuat persediaan untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah Siber di Hanoi pada bulan Oktober ini.”

“Tindakan-tindakan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap norma antarabangsa dan usaha kerjasama dalam menangani jenayah siber,” tambah beliau.

Sidang Kemuncak Keselamatan ASEAN 5GOT 2025 dianjurkan secara bersama oleh Digital Nasional Berhad dan CyberSecurity Malaysia, dengan sokongan daripada rakan-rakan serantau dan antarabangsa. Sidang kemuncak ini akan menampilkan sesi persidangan berprofil tinggi, simulasi langsung insiden siber, sesi pembentangan inovasi, serta pameran keselamatan siber pertama ASEAN yang memfokuskan kepada Teknologi Operasi (OT).

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri,

Kementerian Digital, Malaysia.


15072025_SIARAN MEDIA_KERANGKA, INFRASTRUKTUR DAN PENDIDIKAN SEBAGAI TUNJANG UTAMA PEMBENTUKAN KEPERCAYAAN DIGITAL DI MALAYSIA.pdf

0.09MB

15072025_PRESS RELEASE_FRAMEWORK, INFRASTRUCTURE AND EDUCATION MAIN PILLARS TO CREATE DIGITAL TRUS.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025