KENYATAAN MEDIA
GARIS PANDUAN AI, PROGRAM LATIHAN ANTARA LANGKAH PROAKTIF KEMENTERIAN DIGITAL UNTUK MEMERANGI ONLINE SCAM
Kementerian Digital sedang giat melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk memerangi penipuan dalam talian (online scam). Ini kerana penipuan sebegini yang kini didorong oleh kecerdasan buatan (AI) seperti video 'deepfake' dan peniruan suara semakin meningkat.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), 35,368 kes jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian dilaporkan pada 2024. Angka tersebut meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan kerugian berjumlah RM1.58 billion. Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2025, Malaysia telah merekodkan 12,110 kes penipuan dalam talian, melibatkan penipuan seperti tawaran e-dagang palsu, pinjaman palsu, dan skim pelaburan tidak wujud, dengan jumlah kerugian mencecah RM573.7 juta.
Antara inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Digital untuk memerangi jenayah ini adalah melalui pembangunan Garis Panduan berkaitan AI. Kementerian ini melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang membangunkan garis panduan tersebut dan ia dijangka siap awal tahun hadapan (Januari-Mac) 2026. Antara garis panduan yang sedang dibangunkan termasuk Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data (Guidelines on Data Protection Impact Assessment); Garis Panduan Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data (Data Protection by Design Guideline); serta Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan (Guidelines on Automated Decision Making (ADM) and Profiling).
Selain itu, Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara juga telah membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI di Sektor Awam (GPAISA) bagi menyokong Jabatan dan Agensi Kerajaan dalam melaksanakan penggunaan teknologi AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip tadbir urus serta pematuhan undang-undang dan hak asasi.
Kerajaan turut melaksanakan program latihan dan peningkatan kapasiti kepada agensi penguatkuasa dan penjawat awam dalam bidang keselamatan siber dan AI melalui ‘AI Untuk Rakyat’ dan program latihan MD Workforce di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Kementerian Digital juga melalui CyberSecurity Malaysia sedang membangunkan sebuah aplikasi berasaskan AI dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengesahkan ketulenan gambar dan video, bertujuan membantu siasatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pemalsuan identiti dan penyebaran fitnah digital.
Kementerian Digital akan terus memperhebatkan usaha membangunkan ekosistem AI yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan bagi menangani jenayah penipuan secara menyeluruh. Ini seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan keselamatan siber.
GOBIND SINGH DEO
Menteri Digital 5 Ogos 2025
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital
Kementerian Digital