KENYATAAN MEDIA
HASIL KOLABORASI KEMENTERIAN DIGITAL DENGAN SYARIKAT TEKNOLOGI MELAHIRKAN RAMAI BAKAT DIGITAL TEMPATAN
KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2025 – Kementerian Digital memberi penekanan yang tinggi terhadap aspek pembangunan landskap bakat digital melalui kolaborasi dengan syarikat teknologi mahupun syarikat pemula (start-up).
Salah satu contoh inisiatif tersebut adalah kerjasama strategik di antara MyDIGITAL Corporation dengan 42Malaysia. Ia merupakan tambahan kepada hasil kerjasama Kementerian Digital, melalui agensi-agensinya, dengan syarikat gergasi teknologi seperti Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft.
Menteri Digital Gobind Singh Deo, ketika menjawab pertanyaan lisan Tuan Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat pagi ini, berkata 42Malaysia bakal mendatangkan impak besar terhadap landskap digital Malaysia dengan melahirkan para pengamal digital profesional yang berkemahiran tinggi dan sedia industri.
“Dua kampus 42Malaysia telah diwujudkan - iaitu Kuala Lumpur (42KL) pada 2021 dan Iskandar Puteri (42IP) pada September 2024. Satu lagi kampus baharu iaitu Penang (42PG) akan diwujudkan pada April 2025. 42KL merupakan kampus pertama yang ditubuhkan di Asia Tenggara dan lebih daripada 25 pemain industri telah menjalinkan kerjasama dengan 42KL,” kata Gobind.
“Fokus program ini dalam menekankan keterangkuman dan inovasi bakal menyumbang kepada ekonomi digital yang lebih dinamik dan berdaya saing,” tambahnya lagi.
42Malaysia merupakan sebuah institusi pengkodan percuma dan inovatif yang bertujuan untuk membangunkan bakat digital Malaysia dengan menyediakan persekitaran pembelajaran rakan sebaya yang unik. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembelajaran berasaskan projek dan menekankan kemahiran-kemahiran penting dalam menguasai ekonomi digital, seperti kemahiran berfikir secara kritis, penyelesaian masalah dan jalinan kerjasama.
42Malaysia juga berfungsi sebagai saluran alternatif untuk syarikat-syarikat yang mencari bakat teknologi yang berkemahiran tinggi. Kerjasama industri yang kukuh telah menghasilkan penempatan bakat secara langsung, peningkatan kemahiran korporat, dan projek yang dipacu oleh inovasi.
Daripada tahun 2021 sehingga 2024, seramai 250 orang graduan program ini telah dilatih dan mendapat pekerjaan dalam beberapa sektor utama termasuk perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT), Fintech, dan Automotif/Logistik.
“Untuk tahun 2025, seramai 650 orang peserta dijangka akan mengikuti program di bawah 42Malaysia ini,” kata Gobind.
Selain daripada 42Malaysia, Kementerian Digital melalui Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) juga telah melatih seramai 1,663 orang pekerja dalam bidang kercerdasan buatan (AI). Antara yarikat pembekal latihan yang terlibat adalah seperti AWS, Google dan Microsoft. Di samping itu, seramai 277 orang pelajar telah dilatih dengan menggunakan modul daripada AWS melalui program Premier Digital Tech Institution (PDTI).
Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) juga bekerjasama dengan Microsoft untuk melatih 800,000 bakat dalam kemahiran AI untuk peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) tenaga kerja sedia ada. “Kementerian Digital juga akan meneroka kerjasama dengan KementerianKementerian lain untuk mengenal pasti dan melancarkan program digital yang bersesuaian. Usaha strategik ini menekankan komitmen yang tinggi untuk merapatkan jurang digital dari usia muda dan mempersiapkan generasi masa depan dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia berteknologi tinggi,” tambahnya lagi.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital
Kementerian Digital