SIARAN MEDIA
INISIATIF INOVASI KERAJAAN (GOVERNMENT INNOVATION INITIATIVE-GII) UNTUK MEMACU MATLAMAT MALAYSIA MENJADI NEGARA AI MENJELANG 2030
KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2026 - Dalam usaha untuk mentransformasikan tadbir urus digital secara menyeluruh, Kementerian Digital kini mengaktifkan Inisiatif Inovasi Kerajaan (Government Innovation Initiative-GII), sebuah usaha strategik nasional yang diatur untuk memangkin inovasi di seluruh sektor awam, sekali gus memacu komitmen Malaysia dalam mencapai status Negara AI menjelang tahun 2030.
GII dirangka untuk melangkaui inovasi berbentuk konsep kepada penyampaian yang boleh diukur. Inisiatif ini menterjemahkan pernyataan masalah sebenar kerajaan dan rakyat kepada penyelesaian yang boleh dilaksana, dengan mengutamakan teknologi "Buatan Malaysia", memperkukuh ekosistem AI domestik, serta membolehkan pengeluar produk digital dan AI Malaysia berkembang ke peringkat kebangsaan dan global.
Selaras dengan matlamat ini, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di bawah arahan Kementerian Digital dengan kerjasama erat Kementerian Kesihatan, telah berjaya melaksanakan rintis utama bagi projek GII yang dikenali sebagai inisiatif RadioConnect di tiga buah hospital awam.
RadioConnect bertujuan untuk menyediakan ketersambungan berasaskan awan secara sistematik dan cekap dengan akses selamat merentasi pelbagai penyedia di seluruh negara, melalui Sistem Pengarsipan Imej dan Komunikasi (PACS) di setiap hospital.
Objektif RadioConnect adalah untuk memudah dan menyelaras keseluruhan proses bagi menyediakan penyimpanan, capaian, dan perkongsian elektronik yang selamat, ekonomik, dan pantas bagi imej diagnostik seperti X-ray, MRI, dan imbasan CT. Ini dilakukan dengan membolehkan doktor dan pengamal perubatan yang diberi kuasa untuk mengakses imej pesakit daripada pelbagai jabatan di seluruh hospital di Malaysia, seterusnya meningkatkan kecekapan diagnostik dan penjagaan pesakit secara mendalam.
Langkah seterusnya bagi GII melibatkan penubuhan Citizen Labs (Makmal Rakyat) sebagai platform kolaborasi bagi komuniti dan orang awam untuk mengemukakan pernyataan masalah serta pengalaman mereka, dan menyalurkan pernyataan ini secara terus kepada Kementerian yang berkaitan. Ini bagi memastikan penyelesaian yang paling tepat dibangunkan untuk menangani keperluan rakyat.
Teras utama kepada misi ini ialah portal MyInovasi (myinovasi.gov.my), iaitu platform utama Malaysia bagi memupuk ekosistem inovasi yang dinamik. Inisiatif rintis ini, yang dilaksanakan oleh Kementerian Digital bersama agensi-agensinya, berfungsi sebagai jambatan antara kerajaan, akademia, dan industri, yang direka khusus untuk memadankan inovasi tempatan dengan keperluan dunia nyata.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) terhadap inovasi, Kementerian Digital secara strategik menyelaraskan aset inovasi nasional utama di bawah satu ekosistem yang bersatu. Bagi menyokong objektif GII, Futurise Sdn. Bhd. kini akan beralih untuk beroperasi di bawah MDEC, di mana ia bakal menggalas tanggungjawab meneruskan perkembangan projek-projek GII melalui rangka kerja Sandbox Kawal Selia Kebangsaan (National Regulatory Sandbox).
"Inisiatif Inovasi Kerajaan bukan sekadar tentang mengguna pakai teknologi baharu, tetapi tentang membina sektor awam kalis masa hadapan yang responsif, cekap, dan berakar umbi dalam daya kreatif tempatan," kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
"Melalui Inisiatif Inovasi Kerajaan, kita sedang meruntuhkan tembok silo dan menyatukan aset inovasi nasional di bawah satu ekosistem yang kohesif. Menerusi Citizen Labs, kita mewujudkan saluran terus di mana cabaran yang dihadapi Rakyat dipadankan dengan penyelesaian AI buatan Malaysia, sekali gus memacu transformasi kita menjadi negara digital yang terkemuka menjelang 2030," tambah beliau.
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital
14 Februari 2026
#TAMAT#