SIARAN MEDIA PELABURAN DALAM INDUSTRI GBS MENCATAT PENINGKATAN KETARA, DAN DIJANGKA MEMACU HASIL MALAYSIA KEPADA RM28.14 BILION PADA TAHUN 2025
Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Malaysia telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan oleh penerapan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).
Perkara ini jelas dizahirkan melalui Sidang Kemuncak GBS ASEAN 2025 yang saya lancarkan pagi tadi. Bertemakan “GBS 5.0: Berteraskan Manusia, Diterajui AI, Berimpak Tinggi,” sidang kemuncak tersebut menampilkan dua sorotan utama – Laporan Pertengahan Penggal GBS Malaysia 2025 serta pertukaran rasmi Memorandum Perjanjian (MOA) antara GBS Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut laporan tersebut, Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 66.8% dalam jumlah syarikat GBS sejak tahun 2022, menjadikan keseluruhan sebanyak 749 entiti pada masa ini. Pelaburan juga meningkat 13.5 kali ganda, daripada RM0.73 bilion pada tahun 2021 kepada RM9.87 bilion pada tahun 2024. Perkembangan ini telah mewujudkan lebih 36,000 pekerjaan bernilai tinggi dan dijangka memacu hasil GBS kepada RM28.14 bilion pada tahun 2025. Malaysia kini berada di kedudukan ke-3 dunia dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global dan secara konsisten berada dalam kelompok 3 teratas ASEAN dari segi daya saing digital, inovasi dan keyakinan pelaburan.
Dapatan dalam laporan pertengahan penggal ini merupakan penanda kemajuan yang penting, yang mengetengahkan pencapaian industri, cabaran serta hala tuju yang perlu diambil. Laporan ini juga akan membantu mempercepatkan pelan transformasi digital kita untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Berteras AI menjelang tahun 2030.
Satu lagi acara penting ialah pertukaran MoA yang bakal memperkukuh kerjasama antara industri dan akademia serta membangunkan bakat masa depan dalam bidang GBS. Kerjasama seperti ini amat penting kerana pemain industri dapat menyediakan kajian kes sebenar kepada para pelajar bagi memperlengkapkan mereka apabila memasuki alam pekerjaan. Sebagai timbal balik, hubungan antara pemain industri dan institusi pengajian tinggi akan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik kepada para pelajar selepas tamat pengajian.
Sehubungan itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada GBS Malaysia atas penganjuran sidang kemuncak ini dan, yang lebih penting, atas kesediaan mereka berkongsi inisiatif dalam membantu Malaysia beralih menjadi sebuah negara digital sambil menyumbang secara signifikan kepada ekonomi digital negara.
GOBIND SINGH DEO
Menteri Digital
30 Oktober 2025
-TAMAT-

