Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Kapit, Sarawak

5 mins
·

SIARAN MEDIA JELAJAH MALAYSIA DIGITAL (JMD) @ KAPIT, SARAWAK

KAPIT, 21 Februari 2025 – Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Digital telah melancarkan program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Kapit, Sarawak, sebuah inisiatif Kementerian Digital dengan sokongan agensi-agensi berkaitan untuk memperkasakan masyarakat dengan teknologi digital yang diadakan di Kapit Town Square, Kapit.

Program JMD @ Kapit, Sarawak merupakan usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan ekosistem digital di seluruh negara dan seterusnya memberi manfaat kepada warga Malaysia MADANI. Inisiatif ini selari dengan sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5% daripada KDNK menjelang 2025 serta menyokong usaha mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan baharu.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0), Dasar Sekuriti Makanan Negara dan juga Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), MDEC, salah satu agensi Kementerian Digital (KD) telah dilantik secara rasmi sebagai Pengesah Strategik Teknologi Digital Nasional (Digital AgTech) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha memangkin Transformasi Digital bagi sektor pertanian negara.

Sehingga tahun 2024, lebih 600 sistem Digital AgTech dilaksanakan di seluruh negara, dan 30,000 usahawan tani telah menerima latihan digitalisasi yang mampu meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi harian.

Daripada jumlah tersebut, lebih 20 sistem Digital AgTech yang diperkasakan dengan teknologi IoT telah dilaksanakan di seluruh negeri Sarawak meliputi sub-sektor pertanian, termasuk tanaman dan akuakultur. Manakala pada tahun ini, lebih daripada lima (5) sistem yang diperkasakan dengan bantuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk subsektor akuakultur bernilai RM150,000 akan dilaksanakan di Sarawak.

Selain sesi AgTech bersama MDEC, JMD @ Kapit diisi dengan Program Komuniti Digital bersama Jabatan KEMAS Kapit iaitu demonstrasi masakan dengan menggunakan kemudahan teknologi terkini iaitu aplikasi ChatGPT.

Seterusnya, sesi bersama TikTok Shop yang memberi pendedahan kepada orang ramai serta berkongsi kaedah dan petua untuk menggunakan platform digital dalam memasarkan perniagaan secara dalam talian supaya dapat menjana pendapatan.

Selain itu, turut berlangsung Program CyberSAFE bersama CyberSecurity Malaysia dan sesi perkongsian AI Untuk Rakyat iaitu program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang Kecerdasan Buatan “Artificial Intelligence (AI)”.

Aktiviti Senamrobik MADANI Sihat, Explorace Digital serta Digital Fun Run@Kapit 2025 yang telah menarik lebih 530 penyertaan turut diadakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Bahagian Kapit.

Selain Jualan RAHMAH bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Kapit, program JMD kali ini bertambah meriah dengan pertandingan “Kapit's Got Talent” yang menampilkan 32 peserta dari seluruh kawasan Kapit dengan pelbagai jenis persembahan.

JMD @ Kapit, Sarawak dijayakan dengan kerjasama daripada Kementerian Belia, Sukan, dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan pelbagai jabatan/agensi di Kapit iaitu Majlis Daerah Kapit, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Penganjuran program seperti ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mengukuhkan lagi teras daya cipta Malaysia MADANI dalam kalangan masyarakat terutamanya di Kapit, Sarawak selain memanfaatkan teknologi digital dalam kehidupan seharian dan menjadikan kemajuan digital sebagai pemacu kemampanan pembangunan komuniti.

Turut hadir sama, YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak; YB Tuan Nicholas Kudi Jantai, ADUN Baleh; YB Tuan Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Murum; YBhg. Tuan Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital; Pegawai Kanan Kementerian, serta Wakil-Wakil Agensi berkaitan.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Unit Komunikasi Korporat,

Kementerian Digital.


21022025_KENYATAAN MEDIA_JELAJAH MALAYSIA DIGITAL @ KAPIT SARAWAK.pdf

0.11MB

21022025_PRESS RELEASE_JELAJAH MALAYSIA DIGITAL @ KAPIT SARAWAK.pdf

0.09MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025