SALUTASI
1. Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Premier Sarawak
2. Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak anak Kumbong
Timbalan Menteri Digital
3. Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh
Timbalan Menteri Perancang Bandar Pentadbiran Tanah & Alam Sekitar Sarawak
4. Yang Berhormat Dato Gerald Rentap Jabu
Timbalan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan 1 Sarawak
5. Yang Berbahagia Encik Fabian Bigar
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
6. Yang Berhormat Tuan Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi, MDEC
Ahli – Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sarawak,
Ketua – Ketua Agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Swasta,
Rakan – rakan Media,
Para Hadirin sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI, Salam Sarawakku Sayang, Salam Sarawak Maju dan Salam Segulai Sejalai.
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan untuk bersama-sama komuniti digital Sarawak dalam siri Jelajah Malaysia Digital (JMD) kali ini. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada MDEC, Kerajaan Negeri Sarawak, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), serta semua rakan strategik yang menjayakan program ini.
2. Hari ini, kita berkumpul bukan sekadar untuk meraikan kemajuan industri kandungan kreatif digital, tetapi juga untuk mengiktiraf peranan penting Sarawak sebagai pemacu ekonomi digital negara. Melalui pelbagai inisiatif dan pelaburan strategik dalam infrastruktur digital, pembangunan bakat tempatan, dan inovasi teknologi, Sarawak menjadi contoh negeri yang progresif pembangunan ekosistem digital.
3. Lebih membanggakan, pembangunan ini turut memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti setempat, pemeliharaan budaya dan sokongan kepada usahawan digital tempatan – khususnya dalam sektor kreatif digital yang menggabungkan warisan dan teknologi moden. Kehadiran para pemain industri, penggiat kreatif dan pemimpin teknologi pada hari ini membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan yang tepat dalam menerajui agenda transformasi digital negara
MALAYSIA DIGITAL: AGENDA NASIONAL YANG INKLUSIF DAN STRATEGIK
4. Kementerian Digital komited merealisasikan aspirasi Malaysia Digital (MD) – inisiatif strategik nasional yang menjadikan teknologi sebagai teras pertumbuhan sosioekonomi negara yang inklusif dan berdaya saing. Komitmen ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam era pendigitalan global yang semakin pesat.
5. Selaras dengan itu, lima bidang keutamaan Kementerian Digital dikenalpasti, iaitu Kecerdasan Buatan (AI) & Data Raya, Bandar Pintar, Teknologi Kerajaan (GovTech), Keselamatan Siber dan Industri Kreatif Digital. Bidang-bidang ini bukan sekadar dasar, tetapi menjadi tunjang kepada transformasi digital Malaysia. Pada majlis pada hari ini, tumpuan khusus diberikan kepada industri kreatif digital yang semakin penting dalam membentuk masa depan pembangunan negara.
6. Industri ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah menjadi wadah ekspresi budaya, pemeliharaan warisan dan pembentukan jati diri serta imej negara. Ia merupakan titik pertemuan antara kreativiti dan teknologi yang membuka jalan ke pasaran global.
7. Menyedari potensi besar industri ini dalam memperkasakan rakyat, maka lahirlah inisiatif Jelajah Malaysia Digital (JMD). Program ini diwujudkan bagi memperluaskan agenda pendigitalan ke seluruh negara, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat dan sektor industri. Dilancarkan pada awal tahun ini, JMD menjadi platform strategik untuk membincangkan cabaran dan peluang yang dihadapi oleh para pemain ekonomi digital, serta mengenal pasti cabaran yang menghalang kemajuan transformasi digital mereka.
8. JMD juga menunjukkan komitmen berterusan Kementerian Digital dalam memastikan akses digital yang menyeluruh dan inklusif, agar semua rakyat Malaysia dapat terlibat secara aktif dalam ekonomi digital. Sehingga April 2025, program ini telah menjelajah ke lima lokasi utama: Ipoh, Taiping, Alor Setar, Sandakan dan Kapit. Kini, kami tiba di Kuching, di mana tumpuan khusus diberikan kepada pemain industri kreatif digital, sebagai kesinambungan usaha kita dalam memperkukuh ekosistem digital negara secara menyeluruh.
SARAWAK DALAM KONTEKS ASEAN DAN GLOBAL
Hadirin Sekalian,
9. Tahun ini, Malaysia diberi mandat untuk mengetuai pelaksanaan beberapa agenda utama di bawah kerangka ASEAN. Maka, kita harus melihat peranan Malaysia, termasuk Sarawak, sebagai peneraju dalam industri digital serantau.
10. Pasaran penciptaan kandungan digital global dijangka meningkat daripada USD27.99 bilion pada tahun 2024 kepada USD57.04 bilion menjelang 2029 – dengan kadar pertumbuhan tahunan 15.6%.
PENGUKUHAN DIGITAL UNTUK PMKS MELALUI DICE
11. Dalam merealisasikan agenda Malaysia Digital, kita tidak boleh meninggalkan golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Mereka mewakili lebih 97% daripada perniagaan di Malaysia dan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
12. Melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital (DICE) oleh MDEC, kerajaan menunjukkan komitmen teguh untuk memajukan sektor kreatif digital dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar kreatif digital serantau menjelang tahun 2030. DICE bukan sekadar inisiatif; ia adalah strategi holistik untuk membina ekosistem mampan yang menyokong pembangunan bakat, akses pasaran, pelaburan, dan inovasi dalam industri ini.
13. Ketika kita membicarakan pendigitalan PMKS, ia bukan hanya merangkumi perniagaan tradisional. Hari ini, semakin ramai PMKS menceburi bidang kandungan digital kreatif – termasuk usahawan mikro dalam animasi dan ilustrasi bebas, pengusaha studio permainan berskala kecil, kreator tempatan dalam audio, muzik digital, video pendek, serta mereka yang menghasilkan kandungan visual atau imersif untuk menjual produk budaya dan pelancongan.
14. Di Sarawak, segmen ini termasuk pembuat animasi indie dari institusi seperti Swinburne dan UNIMAS, usahawan budaya yang menggunakan teknologi AR/VR untuk mempromosikan tarian, muzik dan warisan, serta pemilik studio kandungan yang menggunakan platform digital untuk pasaran luar. Inilah wajah baharu PMKS – mereka bukan sekadar berniaga, tetapi juga 6 berkarya dan mencipta nilai melalui teknologi.
15. Sebagai usaha berterusan untuk menyokong ekosistem kreatif ini, MDEC juga telah melancarkan dua program penting, iaitu Animated Shorts Challenge dan Digital Games Testbed.
16. Kedua-dua program ini menjadi pelengkap kepada usaha DICE dan memainkan peranan besar dalam melonjakkan daya saing industri kreatif digital Malaysia ke peringkat antarabangsa, pemasaran digital, penciptaan kandungan oleh pengguna (user-generated content), serta peningkatan peluang menjana pendapatan melalui pelbagai platform digital. Ini adalah peluang besar yang mesti kita rebut dengan segera dan strategi yang tersusun – bukan hanya untuk syarikat besar, tetapi juga untuk PMKS dalam sektor kreatif digital seperti animator bebas, pencipta permainan, penggiat budaya digital dan usahawan mikro tempatan yang kini memanfaatkan kandungan digital untuk menjual produk dan cerita mereka ke pasaran lebih luas.
POTENSI SARAWAK DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF DIGITAL
Hadirin Sekalian,
17. Sarawak mempunyai keunikan tersendiri. Dengan warisan budaya, kreativiti anak muda, serta sokongan kerajaan negeri, Sarawak berpotensi menjadi hab kandungan kreatif digital Malaysia dan ASEAN.
18. Malah, sektor pelancongan Sarawak turut memberi petunjuk positif apabila mencatat 3.92 juta pelawat pada tahun 2023 dan menyumbang lebih RM10 bilion kepada KDNK. Dengan potensi ini, kandungan digital boleh menjadi jambatan yang menghubungkan warisan, budaya dan identiti Sarawak kepada khalayak global. Ia bukan sahaja memperluas capaian, malah mengangkat nilai dan keunikan negeri ini ke peringkat dunia.
19. Saya difahamkan bahawa syarikat-syarikat seperti Betapuru Digital, CTRL D, Arx Media dan Metadise menunjukkan pencapaian membanggakan apabila telah bersedia menembusi pasaran global. Ini merupakan satu kebanggaan untuk Sarawak.
20. Antaranya, syarikat Betapuru iaitu penerima Digital Content Grant 2025 dari kerajaan Malaysia dan MDEC, kini sedang membangunkan filem animasi yang mempunyai potensi dalam festival – festival filem antarabangsa. Selain itu, syarikat CTRL D pula diasaskan oleh dua anak muda dari Swinburne Sarawak dan penerima Geran PRISMA daripada kerajaan Malaysia sedang giat membangunkan permainan digital. Manakala syarikat Metadise pula kini sedang membangunkan "Tech-Me To Sarawak", iaitu sebuah metaverse yang mempromosikan negeri ini sebagai destinasi berteknologi tinggi. Projek ini juga menjadi salah satu penerima Digital Content Grant 2025.
POTENSI SARAWAK DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF DIGITAL
Hadirin Sekalian,
21. Selaras dengan komitmen berterusan untuk memperkukuh ekosistem kandungan kreatif digital, penganjuran Kre8tif! East pada 14 hingga 15 Mei lalu, merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Program ini berjaya menghimpunkan pemain industri, pakar teknologi dan komuniti kreatif dari ASEAN, antarabangsadan menjadi wadah perkongsian ilmu, pembinaan jaringan strategik serta penerokaan pasaran baharu. Ia membuktikan bahawa kita tidak perlu menunggu bakat tempatan berhijrah ke Kuala Lumpur – sebaliknya, seluruh ekosistem industri boleh dibawa terus ke bumi Kenyalang, Sarawak.
22. Sebagai kesinambungan kepada momentum tersebut, Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN 2025 akan berlangsung di Johor pada bulan September ini. Sidang kemuncak ini bakal menghimpunkan pelbagai pemain industri, pembuat dasar dan pemimpin teknologi dari seluruh rantau. Meskipun ia bakal diadakan di Johor, tetapi peranan Sarawak tetap signifikan dan strategik dan boleh dijadikan rujukan kepada negeri lain dalam memacu pembangunan ekonomi kandungan digital serantau.
23. Inilah strategi masa hadapan: membina asas digital yang kukuh, memacu inovasi dan merapatkan jurang digital. Malaysia tidak sekadar mengejar perubahan digital sebaliknya, kita yang memimpin-nya.
PENUTUP
24. Akhir kata, saya ingin menyeru kepada semua bakat digital, syarikat pemula, pelabur, dan rakan industri untuk terus berkarya dan berinovasi. Mari kita terus melabur dalam potensi anak Malaysia kerana masa depan ekonomi digital ini adalah milik kita bersama.
25. Saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada MDEC, SDEC, dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Jelajah Malaysia Digital @Kuching. Mari kita bersama-sama jayakan Sarawak Digital 2030 dan Malaysia Digital.
Sekian, terima kasih.
-TAMAT-