SALUTASI
1. Yang Berbahagia Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi,
Sarjana Undang-undang Malaysia dan
Profesor Undang-undang di Universiti Malaya,
Rakan-rakan Pemimpin Masa Hadapan,
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang
1. Saya amat berbesar hati berada di sini pada malam ini bagi memperingati jasa Allahyarham Datuk Seri Utama Karpal Singh — ayahanda saya, wira saya.
2. Majlis Anugerah Biasiswa Undang-undang Karpal Singh ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi merupakan satu wadah untuk mengiktiraf bakat-bakat muda yang bakal memperjuangkan keadilan, integriti dan empati — generasi peguam yang akan membina sebuah Malaysia yang bebas dan adil.
3. Majlis ini juga bertujuan memberi inspirasi kepada bakal-bakal peguam agar terus berpegang kepada nilai-nilai murni profesion ini serta mengingatkan mereka tentang kepentingan menyumbang kembali kepada masyarakat.
4. Dalam masa yang sama, ia turut menjadi usaha kami untuk memberi peluang kepada anak muda Malaysia yang berpotensi agar dapat mengejar impian mereka melalui pendidikan. Kerajaan MADANI amat komited dalam menyediakan peluang, khususnya kepada mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.
5. Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, seramai 5,800 pelajar di universiti awam akan menikmati pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan peruntukan tahunan sebanyak RM120 juta. Mereka yang cemerlang sewajarnya diberikan ganjaran yang setimpal. Oleh itu, PTPTN akan memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama (Kepujian) di universiti awam. Langkah ini dijangka memberi manfaat 4 kepada kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan tahunan sebanyak RM90 juta.
6. Kerajaan juga akan menambah 1,500 tempat pengajian peringkat ijazah sarjana muda melibatkan 10 bidang utama — termasuk undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) dan bahasa — bagi memberi peluang kepada pelajar cemerlang melanjutkan pengajian serta memperluas akses kepada pendidikan tinggi.
7. Kami di DAP juga komited terhadap usaha ini — memastikan generasi muda mendapat akses dan peluang pendidikan yang mampu memperkasa masa depan mereka.
8. Pada majlis penyampaian anugerah sulung tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, YB Anthony Loke telah mengumumkan bahawa parti akan memperuntukkan RM100,000 untuk disalurkan kepada 10 penerima layak dalam bidang undang-undang.
9. Namun, berikutan sambutan luar biasa serta sokongan daripada para penyumbang, jumlah itu telah ditingkatkan kepada RM200,000. Setiap penerima menerima RM20,000 masing-masing. Perkara ini menjadi pendorong untuk kami meneruskan sumbangan dengan jumlah yang sama pada tahun ini.
10. Tahun ini, jumlah permohonan yang diterima juga amat menggalakkan — sebanyak 200 permohonan dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
11. Sekali lagi, seramai 10 penerima telah dikenal pasti dan masing-masing akan menerima RM20,000.
12. Para penerima datang daripada latar belakang dan kaum yang berbeza. Ada yang menuntut di universiti tempatan, dan ada juga di luar negara. Tidak semuanya merupakan ahli DAP. Ini membuktikan bahawa kami mengiktiraf anak muda Malaysia berdasarkan merit, bukan atas dasar keahlian politik.
13. Kami tidak hanya menilai pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut menghargai usaha mereka dalam membantu masyarakat, sama ada melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kerja-kerja kepentingan awam.
14. Penerima anugerah tahun ini, seperti juga edisi sebelumnya, merupakan antara yang terbaik dalam kalangan terbaik. Mereka ialah individu yang berupaya meneruskan aspirasi dan legasi Datuk Seri Utama Karpal Singh.
15. Seperti yang pernah disebut oleh Datuk Seri Utama Karpal, “Jika saya tiada, akan ada 100 Karpal yang akan menggantikan tempat saya.”
16. Tahniah diucapkan kepada semua penerima. Jadikanlah Datuk Seri Utama Karpal sebagai sumber inspirasi. Bangkitlah dan teruskan perjuangannya. Pertahankan yang benar, dan junjunglah prinsip demokrasi, hak asasi manusia, keadilan sosial, kepelbagaian budaya, serta tadbir urus baik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
17. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, seorang tokoh undang-undang yang disegani dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau akan menyampaikan syarahan bertajuk “Reforming the Judicial Appointments Commission for a Stronger and More Independent Judiciary” (Mereformasi Suruhanjaya Pelantikan 6 Kehakiman bagi Kehakiman yang Lebih Kukuh dan Bebas). Saya yakin, kita semua akan memperoleh banyak ilmu dan manfaat daripada syarahan beliau.
Terima kasih.
#TAMAT#