Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Kementerian Digital Jalin Kerjasama dengan Industri dan Akademia Memperkukuh Kedaulatan dan Bakat AI Malaysia

5 mins
·

KENYATAAN MEDIA

Kementerian Digital Jalin Kerjasama dengan Industri dan Akademia Memperkukuh Kedaulatan dan Bakat AI Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2025 – Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, telah mengadakan dua sesi libat urus berkaitan Kedaulatan AI dan Bakat AI bersama pemain industri utama serta universiti-universiti awam terkemuka negara bagi mengukuhkan komitmen Kementerian Digital dalam membangunkan ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) yang selamat, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan untuk Malaysia.

Dianjurkan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), sesi-sesi ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus yang sedang berlangsung menjelang Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS25). Siri ini bertujuan untuk mengumpul pelbagai pandangan dan membentuk pembangunan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030. Sesi-sesi akan datang dalam siri ini akan merangkumi topik-topik penting seperti Keselamatan AI yang dijadualkan pada 4 Ogos 2025, Dasar & Tadbir Urus AI, Inovasi AI, serta Bakat AI.

Menerajui Kedaulatan AI: Dialog Strategik bersama Industri

Dalam sesi bersama pemimpin teknologi tempatan dan antarabangsa, Gobind telah mempengerusikan satu dialog strategik untuk membincangkan visi Malaysia terhadap kedaulatan AI. Perbincangan merangkumi keutamaan negara termasuk pembangunan garis panduan data sedia-AI, membina kepercayaan rakyat, serta keperluan dasar yang tangkas dan telus.

“Dalam usaha kita menjadi peneraju Negara AI di rantau ini, kita mesti memberi keutamaan kepada bidang berimpak tinggi yang mampu memberikan hasil awalan disamping melindungi kedaulatan kita. Data dan kepercayaan perlu menjadi asas kepada ekosistem AI negara,” kata Gobind.

Gobind turut menekankan keperluan strategi yang inklusif dan berorientasikan tindakan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab AI yang beretika dan berdaya saing di rantau ini. Pemain industri turut berkongsi pandangan mengenai trend global semasa, pemacu utama kepada kedaulatan AI, serta cadangan untuk memperkukuh keupayaan negara dalam landskap digital yang cepat berubah. Perbincangan turut menyentuh peranan kritikal kerajaan, industri dan akademia dalam membentuk agenda AI yang serumpun.

Memperkukuh Bakat AI: Kolaborasi bersama Universiti Awam Malaysia

Dalam sesi yang berasingan, Gobind telah bertemu dengan wakil daripada universitiuniversiti awam terkemuka Malaysia bagi meneroka strategi memperkukuh pendidikan dan penyelidikan dalam bidang AI. TalentCorp turut hadir sebagai pemegang taruh utama dalam kesiapsiagaan tenaga kerja dan dasar bakat.

Sesi ini menekankan peranan penting pembangunan bakat dalam merealisasikan aspirasi AI negara. Wakil-wakil universiti membincangkan kaedah bagi melahirkan golongan profesional AI tempatan, meningkatkan kerjasama antara akademia dan industri, serta membina tenaga kerja yang mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Fokus utama termasuk penambahbaikan akses dan kualiti data, pemerkasaan infrastruktur digital, dan usaha membina kepercayaan awam terhadap teknologi AI.

Kesepakatan dicapai untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan dan akademia, dengan penekanan kepada pembangunan bersama serta pelaksanaan inisiatif sasaran yang menyokong inovasi, keterangkuman dan kelestarian bakat jangka panjang. Usaha ini bertujuan untuk membangunkan keupayaan AI Malaysia, menyokong inovasi, dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju AI serantau.

Kedua-dua sesi ini mencerminkan pendekatan Kementerian yang menyeluruh dan bersifat konsultatif dalam merealisasikan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 serta memajukan visi Malaysia sebagai negara yang diperkasa oleh AI.

Gobind, melalui NAIO, akan terus melaksanakan sesi libat urus pelbagai pihak ini sebagai sebahagian daripada persediaan menuju AAIMS25, yang akan dianjurkan oleh Kementerian Digital pada 12 dan 13 Ogos 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

#TAMAT#

Dikeluarkan oleh:

Pejabat YB Menteri

Kementerian Digital


18072025_SIARAN MEDIA_KEMENTERIAN DIGITAL JALIN KERJASAMA DENGAN INDUSTRI DAN AKADEMIA MEMPERKUKUH KEDAULATAN DAN BAKAT AI MALAYSIA.pdf

0.15MB

18072025_PRESS RELEASE_MINISTRY OF DIGITAL ENGAGES INDUSTRY AND ACADEMIA TO ADVANCE MALAYSIA’S AI SOVEREIGNTY AND AI TALENT POTENTIAL AGENDA.pdf

0.13MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025