KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL LANCAR TINJAUAN AWAM KEBANGSAAN UNTUK MEMPERKASAKAN RAKYAT DALAM MEMBENTUK MASA DEPAN DIGITAL
PUTRAJAYA, 15 JULAI 2025 – Kementerian Digital hari ini mengumumkan pelancaran satu tinjauan awam kebangsaan melalui portal Rakyat Digital. Tinjauan ini menjemput semua rakyat Malaysia untuk berkongsi pandangan dan keperluan mereka berkenaan inisiatif digital serta transformasi digital negara. Usaha ini mencerminkan komitmen kukuh kerajaan terhadap pendekatan keseluruhan negara, memastikan dasar digital digubal bersama rakyat.
Tinjauan awam ini selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang mengutamakan keterangkuman, kemampanan dan kemakmuran bersama. Ia menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan dasar digital yang berteraskan rakyat, adil dan responsif.
Masa depan digital negara adalah milik semua rakyat Malaysia. Tinjauan awam ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang inklusif, di mana setiap suara memainkan peranan penting dalam membentuk landskap digital negara. Penyertaan rakyat dalam tinjauan ini bukan sekadar perkongsian pandangan, tetapi turut menjadikan mereka rakan pencorak Malaysia yang berdaya digital. Ini bertujuan memastikan dasar digital negara benar-benar mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat serta memastikan manfaat transformasi digital dapat dirasai oleh semua.
Melalui maklum balas langsung daripada rakyat, inisiatif ini akan membentuk tindakan konkrit bagi penilaian separuh penggal Aspirasi MyDIGITAL, memastikan strategi masa depan lebih inklusif, berdaya tahan dan benar-benar mencerminkan keperluan serta aspirasi pelbagai lapisan masyarakat.
Mendengar Suara Rakyat: Memastikan Dasar Mencerminkan Keperluan Sebenar
Salah satu prinsip utama tadbir urus MADANI adalah untuk mendengar dan memberi tindak balas terhadap suara rakyat. Melalui tinjauan ini, Kementerian Digital berhasrat memahami idea berkaitan:
• Cabaran akses dan kesalinghubungan digital bagi orang awam dan industri;
• Jurang literasi digital dan keperluan latihan, dan;
• Risiko serta peluang teknologi baharu yang sedang muncul.
Maklumat ini akan membimbing penambahbaikan dasar serta pembangunan inisiatif yang benar-benar menangani realiti semasa, terutamanya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. Tinjauan ini turut meminta maklumat poskod semata-mata untuk analisis demografik secara umum dan bukan peribadi, tanpa mengenal pasti individu.
Galakan Penyertaan Menyeluruh dan Jaminan Keselamatan Data
Kementerian menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira usia, latar belakang atau lokasi, untuk menyertai tinjauan penting ini. Setiap sumbangan warga negara akan membantu membentuk masa depan digital Malaysia, memastikan tiada yang tercicir ketika negara melangkah ke arah masyarakat yang lebih terhubung dan inovatif.
Tinjauan ini boleh diakses secara dalam talian dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi menggalakkan penyertaan meluas. Kementerian memberi jaminan bahawa semua data yang dikumpul akan dikendalikan dengan tahap privasi dan keselamatan tertinggi.
Tinjauan ini adalah langkah penting ke arah pembentukan dasar yang benar-benar mencerminkan aspirasi dan keperluan rakyat, selari dengan visi Malaysia yang makmur, adil dan berdaya digital. Kementerian Digital mengalu-alukan sokongan kukuh dan penyertaan aktif rakyat bagi memastikan kejayaan inisiatif ini.
Ambil bahagian hari ini dan jadilah suara yang membentuk perjalanan digital Malaysia. Layari survey.rakyatdigital.gov.my untuk berkongsi pandangan anda.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital