SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL MULAKAN LIBAT URUS CADANGAN RANG UNDANG-UNDANG TADBIR URUS KECERDASAN BUATAN (AI)
PUTRAJAYA, 10 Julai 2026 – Kementerian Digital melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), memulakan sesi libat urus sepanjang Julai 2026 bagi memperincikan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI). Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkenalkan serta meningkatkan kefahaman mengenai kerangka tadbir urus yang akan menjadi asas kepada cadangan RUU tersebut.
Sesi libat urus ini bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai kerangka tadbir urus AI, menggalakkan dialog yang konstruktif serta mendapatkan pandangan dan mengumpul maklum balas daripada agensi kerajaan, industri, sektor perniagaan, ahli akademia serta orang awam. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk merangka tadbir urus AI yang seimbang, praktikal, dan kalis masa hadapan. Langkah ini penting bagi menyokong ekosistem teknologi yang selamat, bertanggungjawab, serta boleh dipercayai dalam pembangunan dan penggunaan AI di Malaysia.
Berlandaskan penandaarasan antarabangsa, kajian teknikal, dan sesi awal bersama pihak berkepentingan, sesi libat urus ini menandakan fasa seterusnya dalam penggubalan dasar. Proses ini amat penting bagi memastikan RUU yang dicadangkan mengambil kira kepelbagaian pandangan, perkembangan teknologi terkini, serta keperluan pelaksanaan merentas pelbagai sektor.
RUU ini bakal menjadi kerangka perundangan merentas sektor (horizontal legal framework) pertama di Malaysia yang khusus untuk tadbir urus AI. Ia akan menyediakan set prinsip bersama yang melengkapi undang-undang sedia ada, sekali gus menyokong ekosistem AI yang holistik merentas pelbagai sektor.
Kerangka ini menggunakan pendekatan berasaskan risiko dengan mengambil kira ancaman AI yang boleh muncul pada mana-mana peringkat dalam kitar hayat sistemnya. Oleh itu, tanggungjawab tadbir urus akan diagihkan mengikut peranan dan tahap kawalan pihak yang terlibat. Selain itu, langkah pencegahan seperti sistem pelaporan insiden, perlindungan yang bersesuaian, dan penubuhan sandbox AI turut digalakkan bagi menyokong inovasi yang selamat seterusnya memperkukuh keyakinan awam.
UNTUK SIARAN SEGERA
Mengulas mengenai peranan RUU tersebut di Parlimen pada 24 Jun 2026, Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo menegaskan bahawa ia tidak akan mengawal selia output AI secara langsung. Sebaliknya, isu berkaitan kandungan yang melanggar undang-undang kekal ditangani di bawah akta serta kerangka kawal selia sedia ada.
Susulan sesi libat urus ini, Kementerian Digital akan melaksanakan sesi konsultasi awam melalui Portal Konsultasi Awam Bersepadu (Unified Public Consultation – UPC) yang boleh dicapai melalui pautan berikut: https://upc.mpc.gov.my bermula pada 10 Julai 2026. Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai, sektor perniagaan, dan organisasi untuk mengemukakan pandangan sebelum RUU tersebut dimuktamadkan.
Kementerian Digital kekal komited untuk membangunkan RUU ini menerusi proses yang telus, inklusif, dan konsultatif. Melalui penglibatan berterusan bersama pihak berkepentingan dan masyarakat, Kerajaan MADANI beriltizam untuk merangka tadbir urus yang mencerminkan kepelbagaian pandangan, memberikan kejelasan kawal selia, serta melindungi kepentingan awam. Langkah ini penting bagi menyokong inovasi yang bertanggungjawab, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab AI yang dipercayai dan berdaya saing di peringkat global seiring hala tuju Ke Arah Negara AI 2030.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.