Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Kementerian Digital Perkukuh Keupayaan AI Sektor Awam Melalui Kerjasama Strategik Dengan AWS

4 mins
·

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN DIGITAL PERKUKUH KEUPAYAAN AI SEKTOR AWAM MELALUI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN AWS

PUTRAJAYA, 12 FEBRUARI 2026 — Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Nasional (National AI Office-NAIO), hari ini bekerjasama dengan Amazon Web Services (AWS) menerusi AWS AI Academy, satu inisiatif yang menyokong agenda Ke Arah Negara AI 2030 dengan memperkukuh keupayaan digital dalam sektor awam.

Program AI untuk Produktiviti dan Pembuatan Keputusan bertujuan melengkapkan pegawai kerajaan dengan pengetahuan serta keupayaan praktikal untuk mengaplikasikan teknologi baharu secara bertanggungjawab dalam tugasan harian, sekali gus memperkukuh pembangunan dasar, meningkatkan produktiviti, dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam.

Selaras dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, Malaysia sedang melangkah ke arah “Kerajaan Diperkasa AI” yang memperkasa penjawat awam melalui automasi pintar. Dengan mengurangkan tugasan rutin dan berulang, pegawai dapat menumpukan perhatian kepada keutamaan strategik serta penciptaan nilai untuk rakyat.


Menyokong aspirasi ini, program ini memberi tumpuan kepada lima keutamaan utama:

•Memperkukuh keupayaan dasar bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih mantap dan berasaskan data.

•Memperdalam kefahaman institusi terhadap teknologi baharu serta pertimbangan tadbir urus.

•Meningkatkan keupayaan digital gunaan bagi memperbaiki produktiviti dan keberkesanan operasi.

•Menggalakkan penerokaan kes penggunaan praktikal yang relevan dengan fungsi Kerajaan.

•Memupuk pendekatan penyelesaian masalah bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan.

Berucap pada bengkel tersebut, YBrs. Tuan Ma. Sivanesan Marimuthu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital), Kementerian Digital menegaskan bahawa penerimaan AI perlu berteraskan kerjasama, tadbir urus dan akauntabiliti. Beliau menyatakan bahawa pembelajaran rentas agensi serta piawaian yang konsisten adalah kritikal dalam membentuk sektor awam yang yakin, berkeupayaan dan bertanggungjawab dalam penggunaan AI.

Program ini menekankan aspek aplikasi praktikal menerusi sesi interaktif, termasuk Service Design Workshop, di mana pegawai sektor awam bersama-sama membangunkan rangka perkhidmatan berteraskan teknologi, serta Makmal Dasar, yang membolehkan peserta menilai dan menguji senario dasar menggunakan kajian kes perbandingan.

Aktiviti direka untuk menyediakan persekitaran pembelajaran berbentuk sandbox, membolehkan peserta meneroka cabaran khusus agensi, bertukar pandangan, serta memperkukuh pemahaman keseluruhan kerajaan terhadap integrasi teknologi.

Inisiatif ini turut menandakan pelaksanaan pertama program AWS AI Academy bagi sektor awam di peringkat serantau, dengan Malaysia dipilih berasaskan hala tuju dasar yang jelas serta kesiapsiagaan yang semakin kukuh dalam memacu penerapan teknologi digital termaju secara bertanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.

Program ini memperkukuh pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dengan menggalakkan pembelajaran rentas agensi, memperkukuh pemahaman bersama, serta memupuk amalan tadbir urus yang lebih konsisten dalam sektor awam, sejajar dengan agenda inovasi berpaksikan insan Malaysia yang dipandu oleh prinsip kepercayaan, tanggungjawab, dan hasil sosioekonomi yang bermakna.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital.


1202206_SIARAN MEDIA_KEMENTERIAN DIGITAL PERKUKUH KEUPAYAAN AI SEKTOR AWAM MELALUI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN AWS.pdf

0.13MB

12022026_PRESS RELEASE_MINISTRY OF DIGITAL ADVANCES PUBLIC SECTOR AI CAPABILITY THROUGH AWS AI ACADEMY.pdf

0.10MB

Jata Negara

Ministry of Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026