Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Kementerian Digital Serah Sistem Hansard Parlimen Kepada Parlimen Malaysia

4 mins
·

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN DIGITAL SERAH SISTEM HANSARD PARLIMEN KEPADA PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 9 JUN 2026 – Kementerian Digital hari ini secara rasminya menyerahkan sistem Hansard Parlimen kepada Parlimen Malaysia dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Gobind Singh Deo, Menteri Digital.

Penyerahan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam agenda transformasi digital kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, dan akses rakyat kepada rekod perbahasan Parlimen.

Sistem Hansard Parlimen dibangunkan khusus untuk memodenkan pengurusan dan capaian rekod perbahasan negara dengan mentransformasikan kaedah capaian rekod hansard daripada dokumen pdf kepada platform digital yang membolehkan carian dan analisis dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan efisien. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rujukan dan penyelidikan di Parlimen, malah memperkasakan literasi politik dalam kalangan rakyat.

Transformasi Rekod Parlimen kepada Data Pintar

Melalui kepakaran teknikal Unit GovTech Malaysia, Hansard Parlimen kini dilengkapi dengan fungsi carian dan analisis yang dipertingkatkan dan memberikan nilai tambah kepada pengguna:


● Carian Pantas dan Merentas Sesi: Membolehkan pengguna mencari kata kunci atau topik merentas pelbagai sesi Parlimen serentak tanpa perlu menyemak dokumen secara manual.

● Visualisasi dan Analisis Data: Memaparkan kekerapan penggunaan istilah dan awan kata (word cloud) bagi membantu pengguna mengenal pasti fokus dan trend perbahasan.

● Penapisan Spesifik: Membolehkan hasil carian ditapis mengikut nama Ahli Parlimen bagi memudahkan pengguna menelusuri penyertaan dan sumbangan Ahli Parlimen dalam perbahasan.

Memperkukuh Demokrasi Digital

Pembangunan sistem Hansard Parlimen merupakan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan maklumat dan rekod prosiding Parlimen lebih terbuka dan mudah dicapai. Sebelum ini, rakyat perlu menyemak dokumen PDF yang panjang secara manual, namun kini maklumat tersebut tersedia dalam format yang lebih mesra pengguna dan boleh dicapai dengan lebih mudah, cepat dan tepat.

Penyerahan sistem Hansard Parlimen ini merupakan bukti sinergi teknologi dalam memperkukuh institusi demokrasi negara. Ia membolehkan rekod perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang tersedia di dalam sistem diakses dan dianalisis dengan lebih jelas, sekali gus meningkatkan akauntabiliti serta merapatkan jurang maklumat antara rakyat dan pemimpin.

Status Maklumat

Sistem ini berfungsi sebagai platform digital untuk memudahkan carian dan analisis, namun ia tidak menggantikan dokumen Hansard rasmi yang diterbitkan oleh Parlimen. Semua data adalah berdasarkan sumber rasmi bagi menjamin ketepatan dan integriti maklumat.

Melalui penyerahan ini, Parlimen Malaysia kini melangkah ke hadapan dengan pengurusan rekod perbahasan yang lebih efisien, selaras dengan aspirasi Ke Arah Negara AI 2030.

Mengenai Unit GovTech Malaysia:

Unit di bawah Kementerian Digital yang berperanan menerajui inovasi teknologi sektor awam bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital


09062026_SIARAN MEDIA_KEMENTERIAN DIGITAL SERAH SISTEM HANSARD PARLIMEN KEPADA PARLIMEN MALAYSIA.pdf

0.18MB

09062026_PRESS RELEASE_MINISTRY OF DIGITAL HANDS OVER PARLIAMENT HANSARD SYSTEM TO PARLIAMENT OF MALAYSIA.pdf

0.11MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026