SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN DIGITAL TANGANI
TUNGGAKAN PERMOHONAN PEKERJA BERPENGETAHUAN ASING (FKW) DAN PROGRAM DE RANTAU NOMAD
PUTRAJAYA, 18 April 2026 - Kementerian Digital merujuk kepada kenyataan akhbar bertarikh 29 Mac 2026 berhubung kebimbangan yang dibangkitkan pihak industri mengenai semakan terkini garis panduan permohonan Pekerja Berpengetahuan Asing (FKW) serta tempoh pemprosesannya.
Kementerian ingin memaklumkan bahawa setakat 15 April 2026 sebanyak lebih 3,600 permohonan tertunggak yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diproses di peringkat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan kini telah dikemukakan ke peringkat seterusnya untuk tindakan lanjut.
Beberapa faktor telah dikenal pasti termasuk kekangan sistem teknologi yang memerlukan pemprosesan manual, keterhadapan sumber tenaga kerja, serta peningkatan mendadak jumlah permohonan yang menjadi punca berlakunya tunggakan. Situasi ini turut memberi kesan kepada program De Rantau Nomad dan Program Usahawan Teknologi Malaysia (MTEP).
Rentetan penyelesaian tunggakan tersebut, MDEC kini meneruskan pemprosesan baki permohonan. Beberapa langkah interim telah dilaksanakan termasuk penempatan semula kakitangan, penyusunan semula aliran kerja, pengambilan kakitangan sementara, serta penambahan sumber bersesuaian bagi meningkatkan kecekapan dan mempercepat tindakan pemprosesan.
MDEC menyasarkan operasi pemprosesan kembali stabil sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2026. MDEC telah memulakan perolehan platform digital baharu yang akan menyatukan ketiga-tiga program, iaitu FKW, De Rantau Nomad, dan MTEP bagi mengelakkan isu berulang. Platform ini akan mengintegrasikan automasi serta kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan meningkatkan kecekapan penyampaian. Pelaksanaan modul aplikasi FKW dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun 2026, diikuti oleh De Rantau Nomad dan MTEP pada penghujung suku pertama tahun 2027. Langkah-langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang cekap serta memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Kementerian komited untuk memulihkan keyakinan pihak industri, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi bakat digital global. Sehubungan itu, Kementerian merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas pemahaman dan sokongan berterusan.
Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan pelaksanaan penambahbaikan dan penglibatan berterusan bersama pihak berkepentingan.
KEMENTERIAN DIGITAL
#TAMAT#