Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Kerjasama Malaysia-China Perkukuh Kemajuan Teknologi Digital

5 mins
·

SIARAN MEDIA

KERJASAMA MALAYSIA-CHINA PERKUKUH KEMAJUAN TEKNOLOGI DIGITAL

KUALA LUMPUR, 10 April 2025 – Beberapa syarikat teknologi dan institusi pendidikan dari Malaysia dan China akan bekerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, dan infrastruktur digital terkini.

Enam (6) memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani pagi ini, menandakan satu bab penting dalam kerjasama digital yang melibatkan pemain utama teknologi dan hab akademik dari kedua-dua negara. Majlis ini turut mencerminkan komitmen Malaysia dan China dalam memajukan teknologi digital serta memperkukuh hubungan dalam ekonomi digital.

Sesi pertukaran MoU yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre telah disaksikan oleh Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo dan Tuan Yang Terutama Lan Tianli, Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China.

“MoU ini akan mengguna pakai penyelesaian AI dan awan yang canggih untuk mentransformasi platform e-dagang, rangkaian logistik, perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur digital di Malaysia,” kata Gobind.

“Pertukaran pengetahuan dan sumber dalam teknologi digital dan inovasi amat penting untuk pertumbuhan Malaysia. Ia bakal memberi manfaat besar kepada agenda digital negara dengan memperkukuh keupayaan negara, menggalakkan inovasi dan memacu kemajuan ekonomi.”

MoU yang ditandatangani merangkumi pelbagai inisiatif AI yang merangkumi pembangunan infrastruktur awan AI yang kukuh. Kerjasama antara Huawei Technologies (Malaysia) Co., Ltd dan Skyvast Cloud Sdn Bhd ini akan melibatkan penggunaan Ascend Graphic Processing Units, pelayan (servers) Kunpeng, platform awan dan penyelesaian rangkaian. Skyvast akan memimpin pembangunan perniagaan, pandangan aplikasi kes penggunaan dan strategi pasaran di Malaysia dan rantau ASEAN.

Dalam usaha mewujudkan logistik pintar, Huawei Malaysia dan Tiong Nam Logistics Solutions Sdn Bhd akan menggabungkan teknologi AI dan awan ke dalam operasi pergudangan dan rantaian bekalan. Tiong Nam akan bertanggungjawab terhadap reka bentuk, pembinaan dan operasi penyelesaian teknologi logistik yang disokong oleh infrastruktur awan dan keupayaan pengkomputeran AI Huawei Malaysia.

MoU lain pula menyaksikan TOGL Technology Sdn Bhd dan Huawei Malaysia membangunkan platform e-dagang dan kesetiaan (loyalty) pelanggan berkuasa AI, dengan menggabungkan pandangan permintaan industri TOGL dengan platform AI dan teknologi canggih Huawei.

Huawei Malaysia turut memeterai MoU tiga hala dengan HeiTech Padu Bhd dan MY E.G. Services bagi meneroka perkhidmatan digital berasaskan AI untuk fungsi kerajaan seperti imigresen dan pengangkutan.

Dua (2) MoU yang selebihnya melibatkan pembinaan China-ASEAN Spatiotemporal Intelligence Joint Information Technology Laboratory (antara Guilin University of Electronic Technology dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah); dan Makmal Kerjasama Antarabangsa AI (antara Guangxi Minzu University dan Universiti Tunku Abdul Rahman).

Terdahulu, Lan dan delegasinya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Gobind dan pegawai-pegawai kementerian. Perbincangan mereka merangkumi kerjasama dan lebih banyak perkongsian dalam bidang AI, data raya, dan pembangunan bakat AI.

“Kami yakin lawatan ini akan membuka jalan kepada persahabatan yang lebih erat dan kerjasama yang berfaedah antara Malaysia dan Guangxi. Marilah kita berganding bahu membentuk masa depan yang mana AI memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh ekonomi dan memajukan rantau ini secara keseluruhan,” tambah Gobind.

Kerjasama seperti ini adalah selaras dengan agenda Kerajaan MADANI untuk mempercepat penggunaan AI di semua sektor dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara digital dan hab teknologi utama di Asia Tenggara.

Ketua Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Sam Majid berkata, AI merupakan asas utama dalam strategi transformasi digital Malaysia.

“Menerusi NAIO, kami sedang membangunkan ekosistem AI yang kukuh dan bertanggungjawab. Kerjasama ini menyokong hasrat tersebut dengan memupuk inovasi, kecemerlangan penyelidikan, dan pemindahan ilmu rentas sempadan dalam bidang kritikal seperti AI dalam penjagaan kesihatan, tadbir urus data dan pendidikan pintar,” tambah beliau.

#TAMAT#

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri

Kementerian Digital, Malaysia


10042025_KENYATAAN MEDIA_KERJASAMA MALAYSIA-CHINA PERKUKUH KEMAJUAN TEKNOLOGI DIGITAL.pdf

0.08MB

10042025_PRESS RELEASE_MALAYSIA-CHINA GROUPS SYNERGISE TO ADVANCE DIGITAL TECHNOLOGIES (v3).pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025