SIARAN MEDIA
KUALA LUMPUR BAKAL MENJADI BANDAR RAYA BERKUASA AI
KUALA LUMPUR, 22 JULAI 2025 – Aspirasi Kuala Lumpur untuk berkembang menjadi sebuah bandar raya berkuasa kecerdasan buatan (AI) kini hampir menjadi kenyataan, hasil daripada langkah-langkah pendigitalan operasi yang diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mempercepatkan pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan bandar, meningkatkan kecekapan, dan akhirnya mempertingkatkan kualiti hidup penduduk dengan mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat, menyenangkan, dan mampan.
YB Tuan Gobind Singh Deo menyampaikan kenyataan ini semasa lawatan ke Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) hari ini, di mana beliau menyaksikan secara langsung pelaksanaan penyelesaian bandar pintar yang didorong oleh data dan AI. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Digital untuk mempromosikan teknologi digital, termasuk AI dan 5G, di seluruh negara. Sepanjang lawatan tersebut, Menteri Digital meninjau beberapa kes penggunaan AI yang telah diintegrasikan secara lancar ke dalam sistem sedia ada DBKL, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan, keselamatan awam, dan pengurusan bandar.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah pembangunan Digital Twin Kuala Lumpur oleh DBKL. Replika maya ini membolehkan simulasi dan analisis masa nyata terhadap dinamik bandar, serta membantu perancangan, tindak balas kecemasan, dan pengurusan sumber yang lebih berkesan.
Selain itu, DBKL sedang memperkukuhkan transformasi digitalnya melalui sistem pengurusan trafik berkuasa AI. Penyelesaian ini menggunakan suapan kamera masa nyata dan analitik pintar untuk memantau keadaan trafik, mengesan insiden seperti kemalangan atau parkir haram, dan melaraskan isyarat trafik secara dinamik bagi memperbaiki aliran di persimpangan kritikal.
Lawatan Menteri Digital ini juga selari dengan acara Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Acara yang dianjurkan bersama oleh dua agensi di bawah Kementerian Digital ini – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) –merupakan lanjutan kepada Smart City Expo World Congress (SCEWC), iaitu acara terbesar dunia yang didedikasikan untuk inovasi bandar.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif menyatakan bahawa walaupun teknologi menyumbang kepada peningkatan kecekapan, penyelesaian AI dan digital seharusnya memenuhi keperluan penduduk, dan menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang inklusif untuk semua. Beliau turut menekankan bahawa penerapan teknologi AI di seluruh Kuala Lumpur telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan, membantu mengurangkan kesesakan trafik, mempertingkatkan perkhidmatan kecemasan, dan menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih responsif dan selesa untuk semua penduduk.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital