UNTUK SIARAN SEGERA
SIARAN MEDIA
LAPORAN UTAMA GOVTECH: WORLD BANK DAN KEMENTERIAN DIGITAL PACU PRODUKTIVITI SEKTOR AWAM MALAYSIA MELALUI TRANSFORMASI DIGITAL MASA DEPAN
PUTRAJAYA, 22 Julai 2026 – World Bank dengan kerjasama erat Kementerian Digital (KD) hari ini secara rasmi telah melancarkan Laporan Utama GovTech bertajuk "Building Malaysia’s Future Government: Unlocking Public Sector Productivity with GovTech” dan majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Laporan komprehensif ini dirangka khusus bagi menyokong fasa seterusnya dalam agenda transformasi digital sektor awam di Malaysia. Penyediaan laporan ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Kementerian Digital bersama agensi-agensi di bawahnya, termasuk Jabatan Digital Negara (JDN) dan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO). Ia turut mendapat manfaat daripada sesi rundingan teknikal yang mendalam bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), dan Kementerian Ekonomi (KE).
Kredibiliti data laporan ini diperkukuh melalui gabungan penandaarasan global, sesi konsultasi rentas agensi kerajaan, dan analisis empirikal yang mendalam. Keunikan laporan ini bersandarkan kepada pelaksanaan Kajian Kemahiran GovTech (GovTech Skills Survey) pertama yang diterajui bersama oleh World Bank dan JPA. Dengan penglibatan lebih 16,500 penjawat awam daripada 28 kementerian Persekutuan, kajian ini berjaya melakarkan wawasan komprehensif mengenai profil keupayaan digital, kekangan operasi, serta potensi transformasi dalam sistem penyampaian awam negara.
UNTUK SIARAN SEGERA
Menurut dapatan laporan, kunci untuk melonjakkan lagi produktiviti kerajaan digital
Malaysia kini beralih daripada pembangunan infrastruktur kepada pengukuhan
institusi, keupayaan warga kerja, dan tadbir urus yang mantap. Sehubungan itu,
laporan ini membentangkan 15 cadangan tindakan strategik yang dipandu oleh
empat (4) teras utama:
1. Platform – Memperkukuh Asas Digital: Memfokuskan kepada peningkatan
kebolehoperasian, menambah baik perkongsian data antara agensi,
mengurangkan pertindihan sistem, dan memastikan platform digital direka
bentuk berdasarkan keperluan keseluruhan kerajaan (whole-of-government).
2. Warga Kerja – Membina Perkhidmatan Awam Berkeupayaan Digital: Hasil
kajian menunjukkan semangat yang tinggi dalam kalangan penjawat awam
untuk menerima budaya kerja digital. Justeru, tumpuan harus diberikan kepada
pembentukan kepimpinan digital, memperkasa pengambilan dan laluan kerjaya
bakat digital, serta pelaburan dalam pembelajaran berterusan.
3. Dasar – Mengukuhkan Tadbir Urus untuk Penyampaian: Keberhasilan
transformasi tidak hanya bergantung kepada teknologi, malah memerlukan
tadbir urus yang efektif, penyelarasan rentas kementerian yang kuat,
akauntabiliti yang jelas, serta anjakan penilaian prestasi ke arah impak
produktiviti dan penyampaian perkhidmatan.
4. Penyertaan – Menyediakan Perkhidmatan Kerajaan Berpusatkan
Pengguna: Memperluas reka bentuk perkhidmatan yang berorientasikan
keperluan rakyat, perniagaan, dan penjawat awam barisan hadapan, di
samping meningkatkan kepercayaan terhadap ekosistem digital kerajaan dan
memperkukuh mekanisme maklum balas.
Kesemua reformasi ini menyediakan pelan tindakan praktikal untuk membantu
Malaysia melangkau proses pendigitalan biasa, seterusnya memanfaatkannya demi
membina sebuah kerajaan yang lebih produktif, tangkas, dipacu data, dan
berorientasikan rakyat.
Menurut Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, laporan Utama GovTech ini bukan
sekadar dokumen analisis tetapi merupakan pelan tindakan praktikal yang amat penting dalam fasa transformasi digital sektor awam kita. Penemuan daripada kajian bersama World Bank dan JPA ini dengan jelas menunjukkan bahawa fokus kita kini harus beralih daripada pembangunan infrastruktur semata-mata, kepada pengukuhan institusi, kapasiti warga kerja dan tadbir urus yang mantap. Beliau turut menegaskan, melalui 15 cadangan tindakan strategik yang digariskan, Kementerian Digital komited untuk memantapkan perkongsian data, memperkasa bakat digital perkhidmatan awam dan membina sistem berteraskan keperluan rakyat.
Menerusi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam bertemakan "Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi", Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjadikan pendigitalan sebagai pemangkin utama dalam membina perkhidmatan awam yang lebih cekap, tangkas, responsif, dan dipercayai rakyat. Menyedari peranan penjawat awam sebagai pemaju perubahan, fasa transformasi seterusnya bakal melonjakkan inisiatif sedia ada seperti MyDigital ID, MyGovCloud, dan perkhidmatan tanpa kertas ke tahap lebih tinggi menerusi pembentukan ekosistem keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) yang berstruktur demi mencipta nilai terbaik bagi kesejahteraan rakyat dan negara.
Langkah ini juga dilihat amat bertepatan dan sejajar dengan agenda nasional seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, Strategi Pendigitalan Perkhidmatan Awam, dan Pelan Strategik Kementerian Digital 2025–2030 (MDS 3.0), seterusnya memperkukuh sistem penyampaian bagi meletakkan Malaysia di landasan tepat ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.
Melangkah ke hadapan, World Bank menyatakan komitmen penuh untuk menyokong Kerajaan MADANI merealisasikan syor-syor laporan ini. Sokongan ini merangkumi bantuan kepakaran, latihan modal insan, serta kerjasama berterusan dalam memperkasakan ekosistem digital negara.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.