SALUTASI
1. Yang Berbahagia Tan Sri Nazir Razak
Pengerusi, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC)
2. Encik Goh Peng Ooi
Presiden, AI Malaysia (AIM)
3. Encik Joseph Modayil
Pengasas & Presiden, Institut Penyelidikan Openmind
4. Profesor Richard S. Sutton
Pengasas, Institut Penyelidikan Openmind
5. Profesor Randy Goebel
Pengasas, Institut Penyelidikan Openmind
6. Yang Berbahagia Datuk Yvonne Chia
Naib Presiden, AI Malaysia (AIM)
7. Encik Omar Rana
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Openmind
Tuan-tuan dan Puan-puan yang Dihormati,
Dif-dif Kehormat,
Ahli-ahli Media,
Hadirin Sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi yang saya hormati sekalian.
1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke majlis yang bermakna ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada Profesor Richard Sutton, tokoh yang amat dihormati atas sumbangan perintis beliau dalam bidang reinforcement learning serta asas penting dalam pembangunan kecerdasan buatan moden (Artificial Intelligence). Tahniah saya ucapkan kepada Profesor Richard Sutton, dan juga kepada rakan penyelidik beliau sekian lama, Profesor Emeritus Andrew Barto, atas penganugerahan Anugerah Turing 2024, yang turut dikenali sebagai “Hadiah Nobel dalam bidang Pengkomputeran.”
2. Hasil kerja pasangan tokoh ini melangkaui bidang sains komputer dan kecerdasan buatan semata-mata — malah berjaya merintis hubungan penting antara pembelajaran penguatan (reinforcement learning) komputasi moden dengan sains otak. Penyelidikan mereka telah memberikan wawasan yang amat signifikan dan inovatif tentang bagaimana proses pembelajaran boleh berlaku — bukan sahaja dalam mesin, tetapi juga dalam otak manusia.
3. Saya tertarik dengan satu kenyataan yang pernah diungkapkan oleh Profesor Richard Sutton mengenai evolusi kecerdasan buatan. Beliau berkata, dan saya petik: “Jika saya suruh anda melintas jalan, anda tidak akan berfikir tentang setiap pergerakan kecil otot anda. Anda berfikir tentang matlamat: untuk melintas jalan. AI perlu belajar seperti itu — pada tahap abstraksi yang lebih tinggi.”
4. Dalam keadaan pengguna kebanyakan kini semakin menghargai hakikat bahawa teknologi pintar telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita, tokoh-tokoh seperti Profesor Richard, rakan sejawat beliau yang disegani, Andrew, dan ramai lagi penyelidik unggul terus meneroka batas kemampuan teknologi melalui penemuan dan pencapaian yang luar biasa. Merekalah antara individu yang bertanggungjawab membentuk era Kepintaran (Intelligent Age) yang kita nikmati hari ini — dan yang akan terus membentuk masa depan dalam dekad-dekad yang mendatang.
5. Daripada jurutera kepada pendidik, petugas kesihatan hinggalah ke pengusaha hotel — kita menyaksikan peningkatan penggunaan teknologi AI merentasi pelbagai bidang. Seiring dengan perkembangan keupayaan AI yang semakin pesat, kita kekal optimis terhadap potensinya untuk terus mentransformasi pelbagai industri secara menyeluruh.
MENTADBIR AI BERASASKAN KEPERCAYAAN
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Dalam kita mengejar kemajuan teknologi yang kian pesat, isu kepercayaan — atau ketiadaannya — sering menjadi tumpuan utama. Dahulu, ramai yang berasa ragu-ragu terhadap perbankan dalam talian. Malah, ada yang keberatan untuk membeli produk secara atas talian. Perkara yang sama turut berlaku terhadap teknologi AI. Pada peringkat awal, ramai lebih cenderung menilai aspek negatif, berbanding membina kepercayaan berasaskan manfaat dan potensi AI. Namun begitu, dari semasa ke semasa, persekitaran digital yang lebih matang — lengkap dengan undang-undang dan peraturan yang lebih kukuh — telah berjaya meraih kepercayaan dalam kalangan pengguna.
7. Pada hari ini, semakin ramai — khususnya di Malaysia — komited sepenuhnya dalam memanfaatkan keupayaan teknologi AI. Kerajaan MADANI ini telah melihat keperluan untuk menubuhkan Kementerian Digital, dan sejak penubuhannya, kami telah giat berusaha membina persekitaran digital yang dipercayai dan selamat. Antara inisiatif penting yang telah diperkenalkan termasuklah: penggubalan Akta Perkongsian Data, pembangunan Kerangka Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE), serta penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, dan pelbagai lagi usaha strategik yang lain. Pada hari Selasa, 27 Mei lalu, Malaysia turut mencatat pencapaian bersejarah apabila Kerajaan Bahrain mengiktiraf kedaulatan data negara kita — khususnya bagi data yang dihoskan oleh syarikat Malaysia di pusat pengkomputeran awan yang beroperasi di negara tersebut.
8. Menerusi langkah-langkah proaktif sebegini, saya yakin Malaysia berupaya menjadi contoh unggul dalam memacu kemajuan AI yang inklusif, bertanggungjawab dan beretika.
KEDUDUKAN DAN ASPIRASI MALAYSIA DALAM KESIAPSIAGAAN AI
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Malaysia kini berada dalam kategori 50% teratas bagi kesiapsiagaan AI, sebaris dengan negara-negara seperti Denmark, Itali dan Switzerland. Penarafan ini adalah berdasarkan laporan ‘The AI Maturity Matrix’ yang diterbitkan oleh Boston Consulting Group pada bulan November yang lalu.
10. Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa Malaysia merupakan antara tiga ekonomi terkemuka di Asia Tenggara dalam bidang AI, bersama-sama Singapura dan Indonesia. Ini mencerminkan kematangan ekosistem digital Malaysia yang berteraskan infrastruktur yang kukuh, daya tahan siber (cyber resilience), serta pembangunan bakat tempatan.
11. Namun, pencapaian ini bukanlah berlaku dalam sekelip mata. Usaha Malaysia untuk muncul sebagai juara digital telah bermula sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996. Sejak itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan secara berperingkat, yang akhirnya membawa kepada inisiatif strategik semasa seperti: Peta Hala Tuju AI Kebangsaan (2021–2025), Malaysia Digital, dan Pelan Tindakan Teknologi AI (2026–2030).
12. Penganjuran acara seperti Sidang Kemuncak AI ASEAN yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Ogos, diikuti dengan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur — yang pertama seumpamanya di rantau ini — pada bulan September, mengukuhkan komitmen negara dalam menggerakkan agenda digital negara. Kita berhasrat untuk muncul sebagai sebuah negara digital — yang dipacu oleh teknologi AI dan pelbagai teknologi masa hadapan yang lain.
13. Komitmen Malaysia dalam mencapai kecemerlangan digital tidak lagi terlepas pandang. Kita telah berjaya menarik syarikat-syarikat global terkemuka untuk melabur di Malaysia. Antara nama besar yang telah melabur berbilion Ringgit dalam penubuhan pusat data di negara ini termasuklah Google, Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft. Kesan limpahan daripada pelaburan ini akhirnya akan memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia — dalam bentuk peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran digital.
14. Kementerian Digital bekerjasama rapat dengan kementerian-kementerian lain dalam merealisasikan aspirasi kita untuk membentuk sebuah negara digital. Rakan saya yang dihormati, YB Steven Sim, serta kementeriannya — Kementerian Sumber Manusia — telah memberikan sokongan padu dalam usaha melahirkan bakat digital tempatan. Tepat seminggu yang lalu, saya bersama YB Steven melancarkan Majlis AI Kebangsaan MyMahir bagi Industri. Dan hari ini, kita sekali lagi berhimpun untuk satu lagi inisiatif berimpak tinggi yang berpotensi mengubah landskap negara secara menyeluruh.
HALA TUJU TERKOORDINASI BAGI AI DI PERINGKAT ASEAN
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, baru sahaja berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 awal minggu ini. Sidang tersebut telah disusuli dengan Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali ke-2, serta Sidang Kemuncak ASEAN– GCC–China.
16. Dalam sidang-sidang tersebut, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah beberapa kali menekankan kepentingan kerjasama antara Negara-Negara Anggota ASEAN, termasuk dalam aspek pembangunan teknologi AI. Namun begitu, untuk merealisasikan perkara ini, usaha yang diselaraskan secara menyeluruh amat diperlukan, agar jurang antara negara-negara jiran dapat dirapatkan, dan rakyat ASEAN — dari kesemua 10 negara — dapat menikmati manfaat daripada perjalanan pendigitalan serantau ini.
17. Kita mesti menangani jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, serta pelbagai risiko keselamatan lain yang wujud di rantau ini. Kita juga perlu memberi perhatian kepada isu perundangan, perbezaan sosial dan budaya, serta memanfaatkan populasi besar ASEAN dengan membangunkan tenaga kerja digital yang berkemahiran tinggi. Ketersambungan digital merupakan elemen utama dalam mencapai matlamat ini.
AI MALAYSIA & PENYATUAN EKOSISTEM
Tuan-tuan dan Puan-puan,
18. Malaysia beraspirasi untuk menjadi pemangkin yang menyambung hubungan — bukan sekadar pesaing — dalam ekosistem ASEAN.Sehubungan itu, penubuhan sebuah platform yang mampu menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan di rantau ini amat bertepatan dengan masanya.
19. AI Malaysia (AIM) merupakan sebuah platform khusus yang berperanan merapatkan hubungan antara sektor perniagaan Malaysia dengan kemajuan teknologi AI di peringkat ASEAN dan global.
20. Saya menaruh harapan tinggi agar AIM terus melaksanakan misi terasnya, khususnya dalam menggalakkan penerimagunaan AI, pembangunan bakat tempatan, serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam merancakkan inovasi AI.
21. Mandat AIM mengukuhkan kepentingan untuk kita bekerjasama dalam mereka bentuk secara bersama sebuah ekosistem yang menyokong pembangunan, pertumbuhan dan penggunaan teknologi AI secara bertanggungjawab.
22. Saya dimaklumkan bahawa AIM dan ASEAN-BAC turut memberi tumpuan kepada usaha menyokong pembangunan ekosistem AI ASEAN, khususnya dalam menyelaras dasar serta merangsang inovasi serantau. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat.
PENUTUP
Tuan-tuan dan Puan-puan,
23. Kita perlu membina satu model kerjasama yang kukuh bagi menentukan halatuju pembangunan AI kita pada masa hadapan. Semangat jaringan dan kolaborasi ini adalah selaras dengan prinsip-prinsip yang digariskan dalam Peta Hala Tuju AI Kebangsaan, yang berteraskan kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik, industri dan seluruh lapisan masyarakat.
24. Sehubungan itu, saya ingin menjemput pihak AIM, ASEAN-BAC, dan juga Profesor Richard untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital dalam memajukan agenda digital negara. Mari kita terus memperluaskan wacana dan perbincangan tentang AI — bukan sahaja hari ini, tetapi secara berterusan.
25. Saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran AI Malaysia. Marilah kita bersama-sama mengorak langkah dalam perjalanan AI yang penuh potensi ini.
Sekian, terima kasih.