SIARAN MEDIA
LAWATAN TIMBALAN MENTERI DIGITAL KE KUALA LUMPUR COMMAND AND CONTROL CENTRE (KLCCC): AI PACU TRANSFORMASI BANDAR PINTAR
KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Timbalan Menteri Digital hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC), sebagai sebahagian daripada inisiatif Kementerian Digital untuk mempromosikan penerimagunaan teknologi digital termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan 5G di seluruh negara.
Penggunaan AI di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan bandar. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan bandar tetapi juga menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti hidup warga kota.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat melaksanakan integrasi AI dalam pelbagai aspek pengurusan bandar. Dua inisiatif utama yang diketengahkan ialah:
● Inisiatif Kembar Digital (Digital Twin): Satu model maya bandar yang membolehkan simulasi masa nyata digunakan untuk perancangan bandar yang lebih efektif dan tindak balas kecemasan yang lebih pantas.
● Pengurusan Trafik Berkuasa AI: Sistem analitik masa nyata yang digunakan untuk mengoptimumkan aliran trafik dan mengesan insiden, sekaligus membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Dalam usaha memperkukuh lagi ekosistem bandar pintar negara, Kementerian Digital bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) akan menganjurkan Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) pada 17 hingga 19 September 2025.
Ekspo ini bakal menjadi platform utama mempamerkan aspirasi dan pencapaian negara dalam pembangunan bandar pintar. Selain itu, DNB turut melaporkan bahawa liputan rangkaian 5G kini telah melebihi 82% di seluruh negara, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pelaksanaan penyelesaian AI dalam pelbagai sektor.
MDEC turut komited untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan bandar pintar dan transformasi digital melalui pelbagai inisiatif strategik yang berfokuskan kepada teknologi masa hadapan seperti AI dan 5G.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital serta barisan pengurusan kanan kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital, Malaysia