SIARAN MEDIA
LENGGONG BAKAL DIMERIAHKAN DENGAN KARNIVAL CAKNA DIGITAL 2025: JEMPUTAN TERBUKA KEPADA WARGA PERAK
LENGGONG, 18 Disember 2025 – Kementerian Digital dengan kerjasama strategik CyberSecurity Malaysia dengan sukacitanya menjemput orang ramai, khususnya warga Lenggong, Perak dan kawasan sekitar, untuk memeriahkan Karnival Cakna Digital 2025.
Karnival yang sarat dengan aktiviti menarik ini dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula pada 20 - 21 Disember 2025 bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong, Perak. Acara ini bakal dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, diiringi oleh kepimpinan tertinggi Kementerian Digital dan CyberSecurity Malaysia.
Menerapkan elemen “Komuniti dengan Teknologi”, program ini dianjurkan khas untuk memastikan masyarakat luar bandar dapat memanfaatkan teknologi digital sebaik mungkin dalam kehidupan seharian. Ia bukan sekadar tentang gajet, tetapi tentang bagaimana teknologi boleh memudahkan urusan harian, menjana pendapatan tambahan, dan menjamin keselamatan data peribadi keluarga.
Tanpa mengira usia atau latar belakang, Karnival CAKNA Digital 2025 menawarkan sesuatu untuk semua pengunjung melalui pengisian interaktif seperti:
i.Peluang Niaga Digital: Sesi Kelas E-Dagang Desa yang akan
mendedahkan rahsia usahawan menjana pendapatan melalui TikTok
Shop.
ii.Bijak Kewangan: Bimbingan terus di Klinik E-Wallet bagi mereka yang ingin belajar cara pembayaran tanpa tunai dengan mudah dan selamat.
iii.Keselamatan Keluarga: Demonstrasi santai tentang cara mengenal pasti helah di internet supaya pengguna tidak mudah terpedaya.
iv.Pembelajaran Percuma: Pengenalan kepada Portal Rakyat Digital, hab ilmu percuma yang menawarkan modul terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang mudah difahami.
v.Aktiviti Menarik dan Hadiah Lumayan: Bagi memeriahkan suasana, karnival ini turut menyajikan aktiviti santai untuk seisi keluarga termasuk Pertandingan TikTok Kreatif, Kuiz Digital Interaktif (Kahoot!) dengan pelbagai hadiah menarik, serta pemeriksaan kesihatan digital secara percuma.
Kementerian Digital menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk hadir beramai-ramai bagi merebut peluang menimba ilmu dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.
Ayuh bersama-sama kita membina komuniti yang celik digital, progresif, dan berdaya saing. Masuk adalah PERCUMA.
Untuk maklumat lanjut mengenai atur cara program, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Kementerian Digital.
KEMENTERIAN DIGITAL
#TAMAT#