Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Persidangan Aset Digital Institusi Luno 2025

6 mins
·

SALUTASI

1. Tuan James Lanigan

Ketua Pegawai Eksekutif, Luno

2. Yang Berbahagia Datuk Harjit Singh Sidhu

Ketua Pegawai Eksekutif, HSS Advisory

3. Tuan Aaron Tang Pengurus Besar (APAC), Luno

4. Puan Scarlett Chai Pengurus Negara, Luno Malaysia

Warga media yang dihormati,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.

1. Adalah satu penghormatan bagi saya berada di sini, di Persidangan Aset Digital Institusi Luno 2025.

2. Perhimpunan pemimpin industri daripada kewangan tradisional dan ekosistem Web3 ini amat tepat pada masanya serta penting. Di peringkat global, kita menyaksikan aset digital berkembang daripada sekadar konsep, menjadi produk khusus, dan kini muncul sebagai salah satu tonggak penting dalam sistem kewangan.

3. Bagi Malaysia, perkembangan ini merupakan peluang untuk membina ekonomi digital yang bersedia untuk masa hadapan, sejajar dengan dasar digital negara.

4. Pendigitalan sentiasa menjadi teras dalam agenda nasional kita. Di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026, Malaysia sedang memposisikan dirinya sebagai sebuah negara berpandangan jauh yang bersedia menerima inovasi kewangan digital — di mana aset digital akan memainkan peranan utama dalam evolusi pasaran kewangan.

5. Pada tahun 2019, Malaysia menjadi antara negara terawal di rantau ini yang mengawal selia industri aset digital. Langkah ini memastikan rakyat Malaysia dapat mengakses aset digital dengan selamat dan terjamin, sambil membolehkan industri berkembang dalam persekitaran yang terkawal.

6. Melalui Rangka Kerja Pengendali Pasaran Diiktiraf (Recognised Market Operator – RMO) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kita juga telah memperkenalkan garis panduan yang jelas untuk mengawal selia pertukaran aset digital. Usaha untuk memperkukuh landskap kawal selia ini diteruskan dengan fokus yang jelas — iaitu memastikan keselamatan dalam kerangka inovasi yang bertanggungjawab.

7. Hasil daripada usaha ini, hampir 2 juta rakyat Malaysia sehingga kini mempunyai akses yang selamat kepada aset digital.

MEMBINA KEPERCAYAAN DAN KEBERPADUAN

Hadirin yang saya hormati,

8. Pertumbuhan jangka panjang dan mampan bagi industri aset digital akan bergantung kepada sokongan serta penerimaan institusi. Di sinilah tadbir urus, modal, dan inovasi daripada institusi kewangan yang kukuh mampu mempercepatkan fasa pembangunan seterusnya.

9. Terdapat beberapa faktor yang boleh menggalakkan penerimaan aset digital. Dua elemen utama adalah kepercayaan dan keberpadanan (interoperability).

10. Dalam hal ini, kita telah mewujudkan kerangka undang-undang dan peraturan yang jelas bagi membina kepercayaan serta mencegah penyalahgunaan. Namun begitu, kepercayaan mesti diperoleh. Oleh itu, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk memenangi hati 5 dan keyakinan pengguna, agar mereka benar-benar yakin bahawa ruang digital kita adalah selamat, terjamin, dan dipercayai.

11.Selain kepercayaan, pengguna pada hari ini juga mengharapkan pengalaman digital yang lancar. Justeru, adalah sama pentingnya untuk mempunyai piawaian keberpadanan yang dapat memastikan penyepaduan sistem aset digital berjalan dengan baik. Hal ini akan membawa kepada keserasian.

12. Tidak dapat dinafikan, ekosistem aset digital sedang matang dengan begitu pesat. Aset digital menawarkan peluang yang unik bagi institusi kewangan tradisional untuk memperluas dan mempelbagaikan portfolio mereka.

13. Dengan kemunculan mata wang digital, kewangan terdesentralisasi (decentralised finance), dan teknologi rantaian blok (blockchain) yang mendorong inovasi, aset digital kini telah menjadi satu kelas aset yang semakin berkembang dan mesti diterima pakai demi kelestarian jangka panjang.

14.Persidangan pada hari ini menyediakan platform yang tepat untuk memperdalam pemahaman, bertukar-tukar idea, dan meneroka bagaimana institusi boleh mengintegrasikan aset digital ke dalam penawaran mereka secara bertanggungjawab. Acara ini juga dapat membantu memperkukuh keyakinan awam terhadap aset digital.

JAWATANKUASA KERJA ASET DIGITAL DAN RANTAIAN BLOK UNTUK GALAKKAN INOVASI DAN MEMBANGUNKAN STRUKTUR

Hadirin yang saya hormati,

15. Malaysia berada pada kedudukan yang unik untuk memainkan peranan penting dalam landskap aset digital di peringkat serantau dan global. Arahan di peringkat nasional seperti Rangka Kerja Negara AI (AI Nation Framework) dan Pelan Induk Sektor Kewangan (Financial Sector Blueprint) menekankan kepentingan mengintegrasikan teknologi baharu seperti rantaian blok (blockchain), kecerdasan buatan (AI), dan aset digital ke dalam ekosistem kewangan.

16. Dengan adanya kerangka ini, Malaysia berhasrat untuk berada di barisan hadapan inovasi teknologi, sekali gus memastikan kita kekal berdaya saing di pentas global.

17. Dasar-dasar kita akan terus berkembang, dipandu oleh prinsip keselamatan, inovasi, dan keterangkuman. Maklum balas anda semua amat penting dalam proses perkembangan ini.

18.Sehubungan itu, saya menjemput semua yang hadir hari ini — sama ada pengasas, pengawal selia, pelabur, atau inovator — untuk terus bekerjasama membina ekosistem di mana aset digital dapat meningkatkan kecekapan, menarik pelaburan, serta mewujudkan pertumbuhan yang mampan.

19.Bersama-sama, kita dapat memastikan Malaysia bukan sahaja seiring dengan era digital, tetapi turut menetapkan tanda aras inovasi dan kepercayaan di rantau ini.

20. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Aset Digital Institusi Luno 2025, dan berharap agar masa depan digital Malaysia terus cemerlang.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


25092025_TEKS UCAPAN_PERSIDANGAN ASET DIGITAL INSTITUSI LUNO 2025.pdf

0.13MB

25092025_SPEECH_LUNO INSTITUTIONAL DIGITAL ASSET CONFERENCE 2025.pdf

0.19MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025