MADANINET PERKUKUH AKSES DIGITAL KOMUNITI PEDALAMAN
PUTRAJAYA, 6 MEI 2026 – Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara (JDN) terus komited memperkasakan akses digital negara menerusi Program MADANINET, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Inisiatif strategik ini memfokuskan kepada penilaian ketersediaan infrastruktur dan penyediaan capaian internet berkapasiti tinggi melalui perkhidmatan MyGov*Net, terutamanya di fasiliti kesihatan luar bandar dan pedalaman. Program ini bukan sekadar menyediakan talian internet, malah berfungsi sebagai pemangkin transformasi sektor awam dengan memastikan kesinambungan perkhidmatan, mempercepat penyampaian maklumat, serta memperluas penggunaan aplikasi digital kerajaan secara inklusif.
Keberkesanan inisiatif ini terbukti dalam transformasi sektor kesihatan digital. Dengan adanya capaian yang stabil, perkhidmatan seperti teleperubatan, rekod kesihatan elektronik, dan pemantauan pesakit secara masa nyata kini dapat dilaksanakan dengan lebih cekap. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kualiti operasi di klinik-klinik luar bandar, malah merapatkan jurang digital dengan memastikan rawatan berkualiti dapat diakses oleh komuniti pedalaman setaraf dengan kawasan bandar.
Sehingga April 2026, sebanyak 2,883 fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya dihubungkan melalui rangkaian telekomunikasi bersepadu MyGov*Net. Rangkaian ini menggunakan kepelbagaian teknologi mengikut kesesuaian geografi, merangkumi gentian optik, selular, Fixed Wireless Access (FWA), dan Very Small Aperture Terminal High Throughput Satellite (VSAT HTS). Bagi kawasan yang mempunyai kekangan geografi untuk pemasangan kabel gentian optik, teknologi VSAT HTS dan selular menjadi alternatif utama bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan agensi tanpa gangguan.
Bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap optimum, Program MADANINET turut melaksanakan peranan inspektorat turun padang. Sejak Oktober 2022, pengurusan tertinggi Kementerian Digital, JDN, dan KKM telah melawat 21 fasiliti kesihatan terpilih daripada keseluruhan 2,079 Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di kawasan luar bandar. Lawatan ini bertujuan untuk memantau keberkesanan program, mengenal pasti lokasi yang mengalami gangguan liputan, serta menangani isu pelaksanaan secara terus di lapangan.
Salah satu pencapaian signifikan adalah pemasangan teknologi VSAT HTS di 116 fasiliti pedalaman yang sebelum ini ketiadaan infrastruktur gentian optik. Melalui peningkatan ini, fasiliti berkenaan kini menikmati kelajuan internet sehingga 25Mbps, iaitu peningkatan drastik berbanding hanya 4Mbps sebelum ini. Lonjakan kelajuan ini membolehkan urusan pentadbiran dan klinikal seperti penggunaan Hospital Information System (HIS), sidang video konsultasi perubatan, serta pengurusan sumber manusia melalui HRMIS dilaksanakan dengan lebih efisien dan pantas.
Secara keseluruhannya, pemantauan berterusan akan terus dijalankan oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan manfaat teknologi ini dirasai sepenuhnya oleh rakyat. Inisiatif MADANINET mencerminkan tekad kerajaan dalam memastikan kemajuan teknologi dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, selaras dengan visi besar memacu Malaysia ke arah Negara AI 2030.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.