Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

MYNIC'S Preparing For Tomorrow's Threat: The Impact Of Quantum Computing On Internet Security

7 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berusaha Encik Ma. Sivanesan A/L Marimuthu

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital), Kementerian Digital


2. Yang Mulia Raja Iskandar Shah Raja Ibrahim Shah

Pengerusi, MYNIC Berhad


3. Yang Berbahagia Datuk Technologist Hasnul Fadhly Hasan

Ketua Pegawai Eksekutif, MYNIC Berhad


4. Yang Berusaha Encik Noreffendi Abd Halim

Pengarah Bahagian Pelesenan, Industri & Teknologi (BPIT),

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)


5. Yang Berusaha Technologist Dr. Mohd Hazli Mohammed Zabli

Dekan, Kolej Pengkomputeran & Informatik,

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)


6. Yang Berusaha Technologist Mohamad Firdaus Mat Saad

Timbalan Dekan, Fakulti Pengkomputeran dan Informatik (FCI),

Universiti Multimedia (MMU)


Rakan-Rakan Media,

Seterusnya para Hadirin Yang Dihormati Sekalian.


Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan Selamat Pagi.


1. Sebelum saya bermula, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MYNIC atas penganjuran program "Preparing for Tomorrow’s Threat: The Impact of Quantum Computing on Internet Security".


2. Penganjuran program ini sesungguhnya amat bertepatan dengan keperluan semasa negara dalam mengharungi arus transformasi digital yang semakin pesat serta mencabar.


3. Dalam era yang serba moden ini, keselamatan siber bukan lagi sekadar pilihan teknikal. Ia merupakan tunjang utama yang menjamin kelangsungan ekonomi digital negara.


4. Tanpa ekosistem siber yang teguh, kestabilan ekonomi dan kedaulatan data kita akan sentiasa terancam. Walaupun kami telah mengukuhkan ekosistem digital kami dengan memperketatkan undang-undang sedia ada serta pelbagai inisiatif baharu, kita memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan proaktif dalam menghadapi landskap ancaman siber.


ERA BAHARU: CABARAN DAN PELUANG PENGKOMPUTERAN KUANTUM


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,


5. Kini, kita sedang melangkah ke sebuah era baharu yang diterajui oleh teknologi disruptif, terutamanya pengkomputeran kuantum.


6. Walaupun teknologi ini menjanjikan lonjakan kuasa pemprosesan yang luar biasa, ia juga berupaya mengubah landskap keselamatan digital global secara drastik. Kita harus sedar bahawa kuasa pengkomputeran kuantum mampu memecahkan kod kriptografi sedia ada yang menjadi pelindung data kita selama ini.


7. Justeru, negara perlu bersedia lebih awal untuk menghadapi implikasi serius terhadap perlindungan data dan integriti maklumat. Peralihan kepada kriptografi pasca-kuantum atau post-quantum cryptography kini menjadi satu keperluan mendesak sebagai langkah keselamatan masa hadapan.


8. Melalui pelaksanaan kriptografi ini, kita dapat memastikan Sistem Nama Domain atau DNS kekal selamat dengan menggantikan protokol kriptografi dalam DNSSEC yang kini berisiko terdedah kepada ancaman kuantum.


KEPENTINGAN DNS DAN INFRASTRUKTUR KRITIKAL NEGARA


Hadirin yang Dihormati sekalian,


9. DNS merupakan infrastruktur asas internet yang amat kritikal; ia ibarat "buku telefon" bagi dunia digital yang menghubungkan pengguna dengan destinasi yang tepat


10. Namun, infrastruktur ini tidak terlepas daripada ancaman. Di sinilah peranan DNSSEC atau Domain Name System Security Extension menjadi sangat penting.


11. Kepentingan DNSSEC melangkaui perlindungan individu; ia melindungi ekosistem digital daripada serangan penipuan atau phishing serta menjamin integriti maklumat bagi meningkatkan kepercayaan awam terhadap internet.


12. Oleh itu, saya amat berbangga dengan usaha kolaboratif antara MYNIC dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam melaksanakan latihan DNSSEC yang telah berjaya melatih lebih 200 peserta daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, industri, dan akademia.


KOLABORASI STRATEGIK DAN PEMBANGUNAN BAKAT


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,


13. Kejayaan kita dalam mendepani ancaman ini bergantung sepenuhnya kepada kekuatan sinergi. Kerjasama erat antara pihak kerajaan, peneraju industri, dan warga akademia adalah kunci utama untuk membina benteng pertahanan yang ampuh.


14. Program pada hari ini merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan perkongsian kepakaran dan menyelaraskan strategi demi kepentingan nasional.


15. Selain infrastruktur, tumpuan juga harus diberikan kepada pembangunan bakat dan kepimpinan digital. Kita perlu melahirkan lebih ramai pakar tempatan yang mahir dalam bidang keselamatan siber dan teknologi masa hadapan.


16. Inisiatif latihan seperti DNSSEC merupakan asas kepada pembinaan modal insan teknikal yang berwibawa. Saya menyeru kepada semua peserta agar terus gigih meningkatkan kemahiran diri agar kita tidak hanya menjadi pengguna teknologi, malah menjadi pelopor kepada penyelesaian keselamatan digital.


17. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Digital dan Kerajaan akan terus memberi sokongan terhadap inisiatif yang diterajui oleh agensi seperti MYNIC. Kami juga ingin melihat program sebegini akan terus diperkasakan bagi memastikan negara sentiasa selangkah di hadapan dalam menghadapi ancaman global.


18. Akhir kata, saya menyeru agar semua pihak memainkan peranan aktif dalam memelihara ekosistem digital kita. Persediaan yang kita lakukan hari ini akan menentukan tahap keselamatan kita pada masa hadapan.


19. Marilah kita bersama-sama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya tahan, selamat, dan dipercayai dalam ruang digital global.


20. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Saya berharap agar pandangan, input serta cadangan yang diutarakan hari ini akan memberi impak yang tinggi serta manfaat yang berpanjangan kepada kita semua.

Sekian, Terima Kasih.

#TAMAT#


21042026_TEKS UCAPAN_THE IMPACT OF QUANTUM COMPUTING ON INTERNET SECURITY.pdf

0.17MB

21042026_SPEECH_THE IMPACT OF QUANTUM COMPUTING ON INTERNET SECURITY.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Level 7, Menara PjH, No. 2,
Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2,
62100 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026