Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Majlis Apresiasi & Sambutan 2 Tahun Kementerian Digital 2025

11 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar

Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

2. Yang Berusaha Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Digital

3. Para Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai Eksekutif Agensi, dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian

Seluruh Warga Kementerian Digital, Jabatan dan Agensi yang saya Hormati Sekalian.


Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.

1. Tepat dua tahun yang lalu pada tanggal 12 Disember 2023, Kementerian Digital telah ditubuhkan dan bermula saat itu, kita mula mengorak langkah bersama dalam mencorakkan hala tuju strategik pendigitalan negara ke arah membina sebuah negara yang benar-benar bersedia menghadapi masa depan digital. Tarikh tersebut merupakan titik mula kepada sebuah agenda pembaharuan nasional serta era transformasi yang menggabungkan visi, keberanian dan keazaman kita semua untuk melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam ekosistem digital global.

2. Kita menyedari bahawa dua tahun pertama ini merupakan fasa kritikal untuk kita semua dalam meletakkan asas, membina struktur dan merangka arah tuju negara melalui tadbir urus digital yang lebih berfokus dan tersusun. Sepanjang tempoh ini, kita telah melalui pelbagai episod pembelajaran, penyesuaian dan penambahbaikan. Dari proses menyusun semula mandat, mengukuhkan kapasiti organisasi, membangunkan dasar-dasar baharu sehinggalah kepada usaha menyelaras pelbagai inisiatif digital antara kementerian dan agensi semuanya menuntut disiplin tinggi, kejelasan pemikiran dan kesepaduan tenaga kerja.

3. Saya sedar dan amat menghargai bahawa tugas menubuhkan sebuah kementerian baharu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keberanian untuk mencipta struktur yang lebih tangkas, keupayaan untuk menyelesaikan masalah kompleks secara kreatif serta komitmen yang tidak pernah goyah dalam 3 mengutamakan kepentingan rakyat. Dalam tempoh dua tahun ini, kita bukan sahaja meletakkan asas tadbir urus digital negara, tetapi turut memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam secara lebih moden, cekap dan inklusif.

4. Saya yakin bahawa kejayaan yang dikecapi pada hari ini merupakan cerminan daya juang warga kementerian, jabatan dan agensi yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Semangat profesionalisme, budaya kerja berintegriti serta kesediaan untuk bergerak seiring sebagai satu pasukan telah menjadi pemangkin kepada keberhasilan pelaksanaan pelbagai agenda digital negara. Ini meliputi pendigitalan perkhidmatan kerajaan, pemerkasaan ekonomi digital di seluruh negara, perluasan akses dan literasi digital dalam kalangan Masyarakat serta pembangunan bakat untuk generasi masa hadapan.

5. Apabila kita menoleh ke belakang melihat perjalanan dua tahun ini, kita boleh berbangga kerana telah mencorakkan satu trajektori baharu yang lebih kukuh dan tersusun untuk masa depan digital negara. Namun lebih penting daripada itu, kita harus kekal fokus bahawa perjalanan ini masih panjang. Transformasi digital merupakan satu proses berterusan yang memerlukan kita untuk kekal tangkas, responsif dan progresif.


TAHUN 2024: FASA PEMBINAAN ASAS DAN STRUKTUR

Warga Kementerian Digital yang dikasihi dan dihormati,

6. Segala pencapaian yang terhasil setahun sebelum ini iaitu pada tahun 2024 bukan datang secara kebetulan. Ia terhasil daripada keberanian kita membina sesuatu yang baharu daripada kosong dan kesediaan kita untuk menyelaras jentera kerajaan ke arah satu visi bersama. Tahun 2024 benar-benar menjadi tahun kita menanam benih dan menyusun strategi iaitu tahun yang menguji kesabaran, ketelitian, dan keupayaan kita menstrukturkan semula landskap digital negara. Fokus utama kita tertumpu kepada pembinaan asas, penyusunan struktur dan pengukuhan rangka kerja institusi yang mantap berteraskan tiga tonggak utama iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital.

7. Pada tahun itulah kita berjaya memperkukuh rangka kerja dasar digital negara dengan memetakan mandat setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian Digital agar lebih jelas, tersusun dan tidak bertindih. Selain itu, kita telah mengasaskan mekanisme penyelarasan antara kementerian, mewujudkan struktur tadbir urus AI negara, memperkemas aliran kerja digital kerajaan dan menyusun semula keutamaan program berdasarkan impak sebenar kepada rakyat.

8. Antara pencapaian dan siri kejayaan yang membanggakan pada tahun 2024 termasuklah penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada 28 Ogos 2024 yang kini menjadi pusat penyelarasan strategik bagi agenda AI negara. Di samping itu, kita telah melancarkan platform Chatbot AI@JDN yang membantu 5 meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam. Komitmen kita terhadap aspek keselamatan siber telah diterjemahkan menerusi kelulusan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 (dikuatkuasakan oleh NACSA) dan juga pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) Pindaan 2024 yang menjadi titik permulaan kepada tonggak utama kepercayaan data dalam negara. Kita sedar, itu semua hanya langkah permulaan ke arah negara berteraskan AI seperti dihasratkan untuk dicapai tahun 2030 kelak.

TAHUN 2025: LONJAKAN KE FASA PELAKSANAAN DAN PENERAJU SERANTAU Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

9. Tahun 2025 pula telah menyaksikan kita bergerak dari fasa perancangan ke fasa pelaksanaan yang lebih terancang dan berorientasikan hasil. Kita telah mewartakan dan menguatkuasakan perundangan penting seperti Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864] dan meluncurkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP). Selain itu, kita telah memulakan inisiatif rintis Bandar AI (AI Cities) di Putrajaya dan tujuh bandar lain yang membuktikan komitmen kita dalam memperkukuh infrastruktur digital.

10. Secara khusus, pada tahun 2025, kementerian telah membuktikan kesediaan Malaysia sebagai peneraju agenda digital serantau dengan kejayaan penganjuran beberapa acara penting bertaraf antarabangsa. Antaranya ialah ASEAN AI Malaysia Summit 2025 yang meletakkan kita sebagai pusat perbincangan dasar AI dan 6 keselamatan AI serantau serta Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 yang mempamerkan penyelesaian bandar pintar inovatif dan model perbandaran digital kita. Kita juga telah menjayakan Malaysia Digital Acceleration (MDX) Summit 2025 sebagai pemangkin utama pelaburan dan kolaborasi industri disusuli dengan SmartGov Malaysia 2025 yang menjadi platform perkongsian amalan terbaik dalam kecemerlangan tadbir urus digital awam.

11. Sempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025, kita telah berjaya menunjukkan keupayaan kita untuk menganjurkan acara berimpak tinggi peringkat serantau secara konsisten dan ini merupakan pengesahan kepada keupayaan kementerian dari segi operasi, logistik dan yang paling penting kepimpinan pemikiran negara kita di rantau ASEAN khususnya penglibatan kita dalam beberapa mesyuarat berkala seperti ASEAN Digital Ministers’ Meeting (ADGMIN). Selain itu, kita juga telah memimpin penyediaan dua inisiatif ASEAN penting iaitu ASEAN Guide for Sustainable Data Centre Development (2025) dan ASEAN Framework on Cross-Border Cloud Computing (2025) di mana kedua-duanya memacu standard kelestarian dan tadbir urus data di Asia Tenggara.

VISI NEGARA: MENUJU NEGARA BERTERASKAN KECERDASAN BUATAN DI BAWAH RMK-13 Warga Kementerian Digital yang dikasihi, 7

12. Kini fokus kita beralih ke masa hadapan. Kita sedang melangkah ke era Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Di bawah kerangka ini, aspirasi negara menjadi sebuah negara berteraskan AI pada tahun 2030. Ini adalah visi yang jelas dan kita sedang menggerakkan seluruh tenaga untuk merealisasikannya.

13. Kementerian akan terus menerajui usaha pendigitalan negara berlandaskan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Menuju Negara AI (MD2030) dan juga melalui pembangunan Pelan Tindakan AI Negara 2026–2030 yang akan menjadi dokumen strategik bagi merealisasikan hasrat untuk memposisikan Malaysia sebagai pengeluar pasaran serantau bagi produk digital dan penyedia penyelesaian digital sekaligus merencana pertumbuhan yang kukuh dan mampan menjelang tahun 2030 dan pada dekad-dekad yang akan datang.

14. Melangkah ke RMK-13, kita membawa satu keyakinan baharu bahawa negara mampu melonjak sebagai sebuah Negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030. Transformasi ini tidak berlaku dalam vakum sebaliknya Ia bergantung kepada keupayaan kita memperkukuh bakat tempatan, menyelaras dasar-dasar strategik, memperkasakan perkhidmatan kerajaan melalui GovTech serta memastikan setiap inisiatif digital dirangka berasaskan prinsip inklusiviti, dan mementingkan kepercayaan data.

15. Dengan semangat yang sama, kita akan terus mengemudi perubahan ini, memastikan bahawa setiap langkah yang diambil dalam tempoh RMK-13 nanti membuka jalan kepada kejayaan 8 lebih besar iaitu kejayaan yang akan menentukan bagaimana Malaysia bukan sahaja menyesuaikan diri dengan dunia digital baharu tetapi berdiri sebagai peneraju utama dalam membentuknya.

16. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan semua pegawai Kementerian digital, Jabatan Digital Negara (JDN), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), MDEC, Cybersecurity Malaysia (CSM), MyDigital, MyNIC, DNB dan semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan idea.

17. Kepada seluruh warga Kementerian Digital dan semua agensi di bawahnya, termasuk rakan-rakan penggiat media, terima kasih saya ucapkan atas dedikasi yang tidak pernah surut. Anda telah membuktikan bahawa Malaysia memiliki keupayaan untuk mara sebagai kuasa digital yang kompetitif.

18. Marilah kita terus memperkukuh budaya Digital-First Mindset dan menjunjung prinsip agung “Tiada Siapa Tertinggal” bagi memastikan setiap rakyat Malaysia menikmati manfaat ekosistem digital yang selamat, inklusif, dan mampan. Masa depan digital dan AI Malaysia kini menjadi amanah bersama kita. Kita telah melepasi fasa permulaan dengan cemerlang; kini, mari kita tingkatkan momentum dan melakar kejayaan yang lebih gemilang.

Terima Kasih.

#TAMAT#


12122025_TEKS UCAPAN_MAJLIS APRESIASI & SAMBUTAN 2 TAHUN KD 2025.pdf

0.21MB

12122025_SPEECH_APPRECIATION CEREMONY & CELEBRATION OF THE 2ND ANNIVERSARY OF THE MINISTRY OF DIGITAL 2025.pdf

0.14MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025