SALUTASI
1. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
2. Profesor Amalan Sambilan Cheah Kok Hoong
Presiden, Persatuan ESG Malaysia (ESGAM)
3. Encik Eric Chong
Naib Presiden, Persatuan ESG Malaysia (ESGAM)
4. Encik Ng Chin Keong
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan iForte
5. Puan Catherine Lian
Pengurus Besar, IBM ASEAN
6. Encik Dickson Woo
Pengurus Besar Negara, IBM Malaysia
Tetamu Kehormat,
Wakil-wakil Media,
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi yang dihormati.
1. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan ESG Malaysia atas jemputan ke majlis yang bermakna ini.
2. Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, atau ringkasnya ESG, bukan sekadar satu piawaian pelaporan. Ia bukan lagi sekadar “nilai tambahan” yang digalakkan. Hari ini, ESG telah menjadi satu keperluan perniagaan yang sebenar. Ini kerana para pelabur amat mengambil berat terhadap penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan keperluan kepada tadbir urus yang baik. Pihak pengawal selia juga mengambil berat. Begitu juga dengan para pengguna.
3. ESG bukan sekadar kata kunci popular. Dengan niat dan matlamat yang tepat, ESG merupakan satu kerangka berkuasa yang mampu mengemudi persimpangan kompleks antara dunia perniagaan, etika, dan masa depan Bumi yang kita cintai.
4. Justeru itu, saya amat berbesar hati melihat Persatuan ESG Malaysia memainkan peranan aktif dalam membantu komuniti perniagaan kita menghayati dan mengamalkan semangat ESG secara menyeluruh.
MENGHARUNGI ERA ESG DAN KECERDASAN BUATAN (AI)
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5. Kita sedang berada dalam satu era yang amat mengujakan — era yang penuh kesedaran terhadap amalan baik dan masa depan bersama, dalam masa yang sama terdedah kepada kemajuan teknologi yang pesat berubah.
6. Era ini secara meluas dikenali sebagai Zaman Kecerdasan, di mana dorongan global terhadap ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan Kecerdasan Buatan (AI) sedang bersatu. Gabungan ini menawarkan halatuju ke arah cara hidup yang lebih pintar, lebih bersih dan lebih inklusif.
7. Saya telah menghadiri Minggu Teknologi London dua minggu lalu, dan minggu lepas saya berada di Bangkok bagi menghadiri Forum Global Ke3 UNESCO mengenai Etika AI. Acara seperti inilah yang membolehkan kita memahami dengan lebih mendalam cabaran serta amalan terbaik berkaitan teknologi digital, dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan untuk membina dunia yang lebih baik. Terdapat banyak pengajaran penting yang ingin saya kongsikan dan bincangkan bersama para pemain industri.
8. Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN AI Summit pada bulan Ogos, diikuti dengan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 pada bulan September. Acara-acara ini akan memberi anda semua gambaran tentang perkembangan teknologi di seluruh dunia, serta cara terbaik untuk menggabungkan AI dan ESG bagi mempertingkatkan kehidupan seharian kita.
9. Justeru itu, penerapan teknologi digital, terutamanya kecerdasan buatan (AI), adalah sangat penting bagi perniagaan di Malaysia — khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) — untuk memenuhi jangkaan ESG dan terus berkembang dalam ekonomi masa hadapan.
10. Jika anda seorang pengeluar perabot di Hulu Langat yang mengeksport ke Eropah, pembeli anda akan bertanya dari mana asal-usul kayu anda, bagaimana anda menjimatkan tenaga, dan bagaimana anda melayan pekerja anda.
11. Jika anda berada dalam industri makanan dan minuman di Pulau Pinang, kelestarian bukan lagi sekadar slogan pemasaran — ia kini menjadi sebahagian daripada lesen anda untuk beroperasi.
12. Namun begitu, ramai usahawan — termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) — akan bertanya: "Di manakah kita patut bermula?"
13. Di sinilah peranan kecerdasan buatan (AI) dan alat digital menjadi sangat penting. AI boleh membantu anda menjejak dan mengurangkan jejak karbon melalui pengurusan tenaga dan logistik yang pintar.
14. AI juga boleh memantau penggunaan air dan sisa dengan bantuan sensor dan analitik. Malah, AI boleh menguruskan amalan pengurusan sumber manusia dan keselamatan tempat kerja melalui pemodelan ramalan (predictive modelling). Teknologi sebegini mampu menghasilkan laporan ESG secara automatik untuk bank, pelabur dan pelanggan — dalam tempoh beberapa hari, bukan bulan.
15. Manfaat penggunaan alat sebegini adalah nyata. Malaysia kini sedang menyelaraskan diri dengan piawaian ESG antarabangsa melalui pelbagai inisiatif seperti Panduan Pelaporan Kemampanan oleh Bursa Malaysia serta mekanisme harga karbon yang bakal diperkenalkan. PKS yang bertindak awal (early adopters) pasti akan menjadi lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
MERAIKAN ESGAMCONNECT
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16. Terdapat satu lagi inisiatif hebat yang akan membantu perniagaan mencapai pematuhan ESG. Saya amat berbesar hati dan berasa teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini — bagi melancarkan ESGAMConnect.
17. Saya dimaklumkan bahawa ESGAMConnect merupakan sebuah platform berkonsepkan One-Window Solution yang mengintegrasikan lima fungsi utama — semuanya dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Platform ini menampilkan sistem bantuan ESG yang mampu menyediakan penyelesaian khusus mengikut sektor, merangkumi proses akreditasi, pengurusan kredit karbon, serta akses kepada pembiayaan hijau.
18. Saya juga dimaklumkan bahawa platform ini turut menyediakan Pusat Pembelajaran Digital yang menawarkan modul latihan, pensijilan profesional, serta alat penilaian kendiri. Inisiatif ini pastinya akan membantu para pengguna memahami dan melaksanakan prinsip ESG dengan lebih berkesan.
19. Saya yakin inisiatif sebegini mampu meratakan padang permainan (level the playing field). Dengan minda yang betul dan alat yang sesuai, sebuah syarikat logistik kecil di Klang atau perniagaan keluarga di Semporna juga boleh mencapai tahap ketelusan dan kecekapan ESG yang setara dengan pemain industri yang lebih besar.
20. Inisiatif ini adalah tentang memperkasa perniagaan Malaysia — tanpa mengira saiz atau bentuk. Ia bukan tentang menggantikan manusia dengan mesin, tetapi tentang memberi manusia wawasan dan keupayaan untuk membuat keputusan yang lebih baik, dengan lebih pantas.
PENUTUP – BERTINDAK SEKARANG, TEROKAI TEKNOLOGI DIGITAL
Tuan-tuan dan Puan-puan,
21. Jadi, apa yang boleh anda lakukan hari ini? Mulakan dengan mendigitalkan operasi perniagaan anda. Terokailah program latihan yang disediakan oleh Kementerian Digital dan agensi-agensi di bawahnya.
22. Paling penting, adakan perbincangan yang terbuka dan bermakna tentang ESG dan teknologi digital dalam kalangan pasukan anda. Kelestarian bermula dengan kesedaran. Dan untuk memastikan perubahan benar-benar berkesan, ia mesti bermula dari akar umbi.
23. Tiada siapa yang terlalu besar atau terlalu kecil. Tiada siapa yang terlalu lewat dalam perlumbaan digital ini. Malaysia telah berjaya menarik pelaburan digital berjumlah RM310.7 bilion dari tahun 2021 hingga Mac 2025 — dan ini merupakan petunjuk jelas bahawa masih banyak peluang dan ruang untuk lebih ramai rakyat Malaysia menyertai sektor digital.
24. Marilah kita menerima AI bukan sekadar sebagai teknologi, tetapi sebagai alat untuk ketelusan, kepercayaan dan transformasi. Gunakan AI untuk memacu matlamat ESG anda.
25. Dengan ini, saya merasmikan pelancaran ESGAMConnect.
Terima kasih.
#TAMAT#