SALUTASI
1. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar
Ketua Setiausaha Kementerian Digital
2. Yang Berusaha Ts. Nik Zalbiha Nik Mat
Ketua Pengarah, Jabatan Digital Negara
3. Encik Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin
Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategik, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)
4. Encik Mohd Zamri Selamat
Pengarah Bahagian Kerajaan Digital, Jabatan Digital Negara
Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian
Wakil – Wakil Kementerian dan Agensi Kerajaan,
Rakan – Rakan Media,
Hadirin yang Dihormati Sekalian.
Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.
1. Hari ini, kita berkumpul dalam satu majlis penting – Peluncuran Segmen Bukan Warganegara Portal Mygovernment (Portal RAI). Ini bukan sekadar peluncuran portal tetapi satu langkah ke hadapan dalam usaha Kerajaan mereformasikan penyampaian digital Kerajaan kepada pelanggan warga asing yang akan hadir dan berada di Malaysia agar perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan inklusif. Ini seiring dengan konsep kerajaan MADANI iaitu demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan daya saing negara. Pelancaran Portal RAI bertepatan dengan peranan Malaysia dalam Keurussetiaan ASEAN 2025.
2. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Pasukan daripada Jabatan Digital Negara dan pihak Kementerian yang telah bertungkus lumus bekerjasama dalam membangun informasi dan perkhidmatan digital bagi Portal RAI, seterusnya menjayakan majlis peluncuran pada hari ini.
PORTAL MYGOVERNMENT
3. Portal MyGovernment merupakan gerbang utama Kerajaan Malaysia dalam menyampaikan perkhidmatan dan maklumat kerajaan secara digital. Ia memberi akses kepada rakyat, perniagaan dan pelawat luar untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan awam dengan lebih mudah dan pantas. Portal MyGovernment telah diluluskan oleh YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Disember 2024.
4. Portal RAI adalah satu segmen di bawah Portal MyGovernment yang dituju khas kepada bukan warganegara (Warga Asing) bagi mencapai informasi dan perkhidmatan digital Kerajaan dalam berurusan dengan kerajaan Malaysia, sama ada bagi tujuan lawatan, belajar, bekerja, tinggal atau melabur di Malaysia.
5. Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia beriltizam untuk menerajui transformasi digital serantau. Maka pelancaran Portal RAI menjadi simbol komitmen negara dalam menjadikan digitalisasi sebagai pemacu pembangunan inklusif – untuk warganegara mahupun bukan warganegara.
FAKTOR KEJAYAAN PORTAL MYGOVERNMENT
Para hadirin yang dihormati sekalian,
6. Kementerian Digital bersama-sama Jabatan Digital Negara telah mewarta kuasakan Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864] pada 28 April 2025. Matlamat utama adalah membentuk sebuah Kerajaan yang saling berhubung melalui perkongsian data yang strategik, demi memberi manfaat langsung kepada rakyat dan merangsang ekonomi negara, dengan tetap memelihara keselamatan negara dan melindungi privasi individu.
7. Kecerdasan Buatan atau AI juga dibangunkan dalam membantu sebagai tools interaktif perkhidmatan digital kepada pelanggan. Dengan AI, kita mampu mempercepatkan pemprosesan data, memperkukuh bidang analitik dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Bagi memastikan pengadaptasi AI secara cekap dan beretika, Kementerian Digital melalui kerjasama Jabatan Digital Negara dan MDEC juga telah menerbitkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam pada 27 Februari 2025 sebagai rujukan.
8. Bercakap tentang perkhidmatan berpaksikan pelanggan, Jabatan Digital Negara juga telah membangunkan platform MyGOV Malaysia, iaitu sebuah Aplikasi Pusat Sehenti Mobile Digital Kerajaan Malaysia yang merevolusikan cara rakyat berinteraksi dengan kerajaan. Semua Kementerian diseru untuk sama-sama menyertai atau menyumbang informasi dan perkhidmatan melalui platform MyGOV Malaysia untuk mencapai hasratnya. Kita akan memastikan semua informasi dan perkhidmatan digital Kerajaan kepada pelanggan boleh diakses melalui Aplikasi Mobile MyGOV Malaysia dan Aplikasi Web Portal MyGovernment Malaysia.
KEPENTINGAN PERKHIDMATAN KEPADA GOLONGAN SASAR
9. Portal RAI yang akan diluncurkan pada hari ini mencerminkan keterbukaan Malaysia kepada dunia. Portal ini menjanjikan ciri-ciri yang sistematik, telus dan mesra pelanggan. Negara luar akan melihat Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pendidikan, pelaburan, dan kerjasama strategik.
10. Portal RAI dibangunkan sebagai pusat sehenti digital bagi bukan warganegara yang ingin berurusan dengan kerajaan Malaysia, sama ada untuk melawat, belajar, bekerja, tinggal atau melabur.
11. Maklumat dan perkhidmatan disusun mengikut 6 kluster utama iaitu:
a. Enter – maklumat kemasukan ke Malaysia
b. Visit – panduan pelancongan dan visa
c. Study – peluang pendidikan
d. Work – maklumat permit dan pekerjaan
e. Live – perkhidmatan harian dan kehidupan di Malaysia
f. Invest – peluang pelaburan dan insentif kerajaan
12. Portal ini menjanjikan pengalaman mesra pengguna, mudah dilayari dan berteraskan maklum balas pengguna, terutamanya daripada kumpulan sasaran bukan warganegara.
13. Dengan capaian yang lebih cepat, mudah dan menyeluruh, kita bukan sahaja meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, malah meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan pendidikan pilihan di rantau ini.
14. Portal berpusat menjamin akses yang sama rata kepada maklumat, permohonan dan kelulusan tanpa diskriminasi berdasarkan kenalan atau saluran belakang. Dengan capaian yang lebih cepat, mudah dan menyeluruh, bukan sahaja meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, malah meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan pendidikan pilihan di rantau ini.
HARAPAN
Hadirin yang saya hormati,
15. Portal RAI adalah simbol komitmen kerajaan untuk mengangkat mutu perkhidmatan awam sejajar dengan kehendak semasa pelanggan. Kita tidak mahu lagi pendekatan silo. Kita mahu perkhidmatan menyeluruh, cepat dan konsisten.
16. Sekali lagi saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua Ketua-Ketua Kementerian dan agensi yang telah memberi komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan portal ini – satu usaha rentas kementerian yang menuntut koordinasi dan keberanian untuk berubah. Usaha ini hendaklah berterusan dan memastikan maklumat dan perkhidmatan yang disampaikan adalah sentiasa terkini dan relevan.
17. Saya menyeru kepada semua Kementerian dan agensi pemilik informasi dan perkhidmatan (business owners) untuk terus memperkukuh kerjasama, menambahbaik kandungan dan memacu inovasi berasaskan maklum balas pengguna.
PERASMIAN
Hadirin yang dihormati sekalian,
18. Akhir kata, sekali lagi saya berharap dengan adanya Portal RAI yang akan diluncurkan pada hari ini akan menjadi gerbang utama Kerajaan kepada pelanggan warga asing dalam berurusan dengan pihak Kerajaan Malaysia dengan cepat, cekap dan telus yang akan memenuhi kepuasan pelanggan.
19. Saya yakin bahawa dengan kerjasama semua agensi sektor awam, swasta, akademi dan komuniti akan meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan secara berkesan. Komitmen dan semangat yang ditunjukkan membuktikan bahawa transformasi digital bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan nasional. Portal ini adalah langkah penting ke arah menjadikan aspirasi Malaysia MADANI yang berdaya saing di peringkat global.
20. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Peluncuran Segmen Bukan Warganegara Portal Mygovernment (Portal RAI).
Sekian, terima kasih.
-TAMAT-