Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Majlis Pembukaan Rasmi Pejabat Tencent Malaysia

8 mins
·

SALUTASI

1.Puan Judy Wong

Pengurus Negara (Malaysia), Tencent


2.Yang Berusaha Tuan Anuar Fariz Fadzil

Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC


Pengurusan Tencent APAC,


Para tetamu kehormat,


Wakil-wakil media,


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi.


1.Majlis pada hari ini berlangsung pada saat yang amat penting bagi ekonomi digital Malaysia. Dalam tempoh dua tahun yang lalu, kita telah bergerak dengan kejelasan dan hala tuju yang kukuh untuk memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau, merangkumi aspek seperti infrastruktur data dan dasar AI, identiti digital, keselamatan siber, pembayaran digital serta kandungan kreatif.


2.Tugas di hadapan kita adalah besar, namun hala tuju kita jelas. Di bawah kerangka Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kita sedang membina sebuah ekonomi yang dipacu inovasi, disokong oleh infrastruktur digital bertaraf dunia, barisan bakat yang berkualiti, serta ekosistem yang menggalakkan pelaburan dan kerjasama.


3.Ini bukan sekadar aspirasi teori — melalui perancangan yang teliti oleh Kerajaan MADANI, kita telah membina ekosistem yang berkembang pesat untuk mencapai matlamat utama Malaysia: menjadi peneraju inovasi dan kerja digital bernilai tinggi di rantau ASEAN dan di pentas dunia. Persaingan global untuk menarik pelaburan, bakat dan teknologi semakin sengit dan Malaysia tidak berniat untuk sekadar memerhati dari tepi.


4.Dalam setiap libat urus saya bersama industri, saya menekankan perkara yang sama: Malaysia memiliki segala prasyarat yang diperlukan — kita berada pada kedudukan yang sangat strategik untuk memacu agenda ekonomi digital negara. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memastikan ekosistem ini terus menarik pelaburan yang mampu menggerakkan kemajuan kita ke arah masa depan teknologi yang semakin pesat berkembang.


5.Di teras Kementerian Digital, kami juga komited untuk memperluas agenda bakat digital negara — melalui kerjasama universiti–industri, pengkhususan TVET, serta program berfokus dalam AI, awan (cloud), keselamatan siber, kandungan kreatif dan permainan digital. Malaysia mesti menjadi pengeluar bakat digital, bukan sekadar pengguna.


6.Asas-asas ini membentuk tulang belakang sebuah negara digital yang berdaya saing. Ia menjadikan Malaysia sebuah destinasi di mana syarikat global boleh berinovasi dan berkembang, serta tempat di mana rakyat Malaysia dapat membangunkan dan mengaplikasikan kepakaran teknikal mereka dalam teknologi baharu yang sedang muncul.


7.Ini membawa saya kepada majlis pada hari ini. Tencent telah beroperasi di Malaysia selama lebih sedekad dan telah menjadi rakan kongsi yang stabil serta boleh dipercayai dalam perkembangan negara. Dengan pejabat baharu ini, mereka memperluaskan komitmen dengan membangunkan sebuah hab yang menempatkan 500 tenaga kerja. Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia. Kehadiran para peserta pada acara pagi ini adalah bukti kepada komuniti kukuh yang telah dibina oleh Tencent.


8.Bagi Malaysia, ini lebih daripada sekadar pembukaan sebuah pejabat. Ia membawa makna pelaburan, pewujudan pekerjaan, pembangunan kemahiran; manakala bagi Tencent, ia bermaksud akses kepada bakat, inovasi dan pasaran serantau. Bersama-sama, kita menggerakkan visi bersama kepimpinan digital yang memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia.


9.Malaysia akan menjadi salah satu Hab Antarabangsa Utama Tencent dalam bidang Teknologi Global, Inovasi Digital dan Pengalaman Pelanggan. Ini membawa peluang besar kepada bakat muda negara. Saya difahamkan bahawa mereka mempunyai senarai panjang kekosongan jawatan dan telah bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan kita untuk menyediakan akses kepada bakat tempatan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,


10.Platform syarikat ini, merangkumi permainan digital, perkhidmatan kandungan serta interoperabiliti pembayaran digital, sudah memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan, industri kreatif dan perdagangan digital. Sumbangan ini amat bernilai; namun yang lebih penting, ia mencerminkan nilai lebih besar apabila pemain digital utama memberikan komitmen jangka panjang kepada Malaysia.


11.Kita telah melihat bagaimana kebolehoperasian antara Weixin Pay dan DuitNow QR menyokong sektor pelancongan negara, memudahkan pembayaran bagi berjuta-juta pelancong luar dan peniaga tempatan. Kita telah menyaksikan bakat kreatif Malaysia dipaparkan dalam kandungan serantau melalui WeTV serta dalam usaha e-sukan seperti Honor of Kings, yang terus meningkatkan keterlihatan pencipta dan atlet tempatan kita. Kita juga melihat bagaimana alatan keselamatan identiti dan AI daripada Tencent Cloud diadaptasi oleh rakan tempatan untuk menambah baik proses suai tugas digital dan memperkukuh keyakinan terhadap perkhidmatan digital.


12.Saya difahamkan bahawa aspirasi Tencent tidak terhenti di situ. Saya gembira mengetahui bahawa Tencent akan menjadi rakan kerjasama untuk Visit Malaysia 2026, bagi menggalakkan lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Malaysia. Dalam bidang e-Sukan, Tencent menyokong pempameran budaya Malaysia pada majlis penutup Sukan SEA tahun ini, dan berhasrat untuk menyokong penganjuran Sukan SEA 2027 di negara kita. Tencent juga merancang untuk bekerjasama dengan kita serta berkongsi kepakarannya dalam permainan digital sihat dan pembangunan e-Sukan.


13.Malaysia mendapat manfaat apabila syarikat digital melabur dengan pandangan jangka panjang. Tencent merupakan contoh terbaik. Ia mencerminkan keyakinan pelabur, melambangkan kekukuhan landskap dasar digital negara, dan yang paling penting, selari dengan keutamaan nasional kita untuk muncul sebagai negara kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.


14.Majlis pelancaran hari ini bukan sekadar pembukaan sebuah pejabat. Ia menandakan pengiktirafan bersama bahawa Malaysia sedang muncul sebagai sebuah nod digital yang semakin kukuh di rantau ini — sebuah destinasi yang boleh diharapkan oleh syarikat global, dan sebuah ekosistem yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia untuk diterajui.


15.Saya ingin mengajak semua yang hadir untuk bersama-sama mengucapkan tahniah kepada Tencent atas pencapaian yang begitu bermakna ini. Kejayaan transformasi digital Malaysia dan penerimagunaan AI bukanlah usaha kerajaan semata-mata — ia adalah bukti kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta, serta dedikasi yang berterusan daripada rakan-rakan seperti Tencent dalam memperkasa Malaysia dan merealisasikan potensi digital negara sepenuhnya.


16.Semoga ini menjadi batu loncatan ke arah era inovasi baharu bagi Malaysia, ketika kita bersama-sama melangkah maju menuju sebuah negara dipacu kecerdasan buatan.

Sekian, terima kasih.


#TAMAT#


01122025_TEKS UCAPAN_MAJLIS PEMBUKAAN RASMI PEJABAT TENCENT MALAYSIA.pdf

0.17MB

01122025_SPEECH_TENCENT’S MALAYSIA OFFICE OFFICIAL OPENING.pdf

0.15MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025