SALUTASI
1. Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong
Timbalan Menteri Digital
2. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
3. Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan di bawah Kementerian Digital
4. Para Pegawai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
5. Para Pesara yang diraikan serta Pasangan
Seterusnya, warga Kementerian Digital yang saya hormati sekalian.
Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.
1. Seperti sedia maklum, sejak penubuhan Kementerian Digital pada 12 Disember 2023, Kementerian Digital telah diberi amanah besar untuk memacu agenda pendigitalan negara. Walaupun dengan usia dan tempoh singkat selepas ditubuhkan, kementerian ini tetap berjaya menunjukkan keupayaan dalam menghubungkan kerajaan dengan rakyat melalui teknologi yang lebih pantas, telus dan inklusif.
2. Hari ini Malaysia mempunyai seramai 1.6 juta penjawat awam yang merangkumi pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan bidang-bidang lain yang menyentuh kesejahteraan rakyat secara langsung.
3. Daripada jumlah ini, kita di Kementerian Digital, kita hanya mempunyai seramai 775 orang pegawai sahaja termasuk di Jabatan Digital Negara (JDN) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP). Walaupun bilangan ini tidak besar, tetapi setiap tenaga sumber manusia ini memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan digital kerajaan, memperluas prasarana serta akses digital selain turut memperkukuh tadbir urus sektor awam melalui transformasi digital merentasi seluruh negara.
4. Dengan kapasiti terhad, Kementerian Digital masih mampu melakar pelbagai kejayaan antaranya melalui pewujudan rang undang-undang dan penganjuran program-program peringkat nasional mahupun antarabangsa setanding dengan 3 kementerian-kementerian lain yang lebih well established. Sejak tahun 2024 lagi, pelbagai kejayaan telah dapat dibuktikan antaranya melalui Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat serta pelbagai inisiatif-inisiatif lain di bawah agensi-agensi kita.
5. Pada tahun 2025 pula, Kementerian Digital terus mengorak langkah antaranya dengan kejayaan memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri, Akta Perkongsian Data 2025 yang diluluskan di Parlimen, kemampuan Kementerian Digital turut terbukti dengan kejayaan penganjuran Program Madani Rakyat Negeri Sembilan pada Ogos yang lalu di mana ia telah mengangkat mengangkat agenda digitalisasi ke peringkat akar umbi rakyat.
6. Tidak cukup dengan itu, pada tahun ini juga, Kementerian Digital telah berjaya menganjurkan ASEAN AI Malaysia Summit 2025, satu persidangan prestij bertaraf antarabangsa yang berjaya menghimpunkan pemimpin, pakar dan pemain industri global dari negara ASEAN di dalam satu medium yang membincangkan masa depan teknologi kecerdasan buatan di negara serantau.
7. Kejayaan menganjurkan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25), sebuah inisiatif masa depan yang akan menjadikan bandar-bandar utama di negara kita lebih pintar, cekap dan mesra rakyat melalui penggunaan teknologi digital terkini serta kejayaan penganjuran Malaysia Digital Xceleration Summit (MDX) 2025 4 yang mengangkat aspirasi negara untuk menjadikan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu utama pembangunan, seiring visi menjadikan Malaysia sebuah AI Nation menjelang 2030.
8. Saya mengimbau kembali sorotan kejayaan-kejayaan Kementerian Digital sebentar tadi adalah bagi menunjukkan walaupun pada usia kementerian kita yang muda ianya bukanlah menjadi indikator untuk mengukur kemampuan kementerian ini. Apa yang penting ialah iltizam, kesungguhan dan semangat kerja berpasukan seluruh warga Kementerian Digital dan Jabatan serta agensi-agensi dalam usaha menjayakan agenda nasional.
PENGIKTIRAFAN DAN PENGHARGAAN
Hadirin Sekalian,
9. Majlis yang indah penuh bermakna ini diadakan sebagai tanda pengiktirafan dari kementerian atas usaha gigih dan dedikasi pegawai-pegawai yang telah menunjukkan prestasi cemerlang bagi tahun 2024. Seramai 56 orang pegawai telah diperakukan untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang terdiri daripada 21 orang pegawai di Kementerian Digital, 32 orang pegawai di JDN dan 3 orang pegawai di JPDP.
10. Saya amat menghargai dan berterima kasih atas usaha tuan/puan yang bekerja keras demi membantu saya menggerakkan peranan kementerian ini. Bak kata pepatah, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Usaha dan pengorbanan yang tuan/puan telah berikan kepada Kementerian Digital ini tidak mungkin akan dapat diperolehi tanpa adanya usaha, keringat, 5 penat lelah dan pengorbanan dari segi masa dan tenaga. Justeru itu, Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Perkhidmatan Tahun 2024 ini merupakan hari kegembiraan dan pengiktirafan kepada apa yang tuan/puan telah berikan.
11. Dikesempatan ini juga saya ingin menyeru kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada hari ini termasuk juga lain-lain pegawai agar terus dan jangan berhenti untuk berusaha meningkatkan potensi diri melalui penambahan ilmu pengetahuan serta peningkatan kemahiran insaniah dan soft skill seperti kepimpinan, komunikasi, creative & strategic thinking dan lain-lain lagi bagi memastikan tuan/puan kekal berdaya saing bukan sahaja di Kementerian Digital, malah juga di mana jua tuan/puan berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan.
12. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan akan menjadi contoh dan inspirasi kepada seluruh warga yang lain untuk terus berusaha mengekalkan momentum kecemerlangan kementerian ini secara keseluruhan.
13. Selain daripada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diraikan, majlis ini turut meraikan pegawai-pegawai pesara dan bakal pesara yang telah mencapai umur persaraan wajib dan ada juga antaranya yang juga bersara secara pilihan. Walau apapun kaedah persaraannya, sesungguhnya jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan adalah amat bermakna kepada kementerian ini khususnya dan kepada Kerajaan Malaysia secara amnya.
14. Sekiranya saya dapat mengimbau kembali majlis sanjungan budi yang diadakan di Kementerian Digital, ini adalah merupakan majlis sanjungan budi kedua telah kementerian ini anjurkan. Ini bermakna setiap tahun, akan ada dari kalangan pegawai yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan atas faktor mencapai umur persaraan wajib atau memilih untuk bersara secara pilihan. Ini tentunya satu kehilangan besar buat organisasi, apatah lagi kehilangan ini membabitkan pegawai yang kompeten dan berdedikasi, berilmu tinggi dan pengalamannya yang masih ditagih untuk terus membantu dan berkhidmat kepada negara dan rakyat.
15. Namun, apakan daya ini adalah merupakan lumrah kehidupan. Setiap yang datang pasti akan pergi meninggalkan kita. Inilah cabaran yang perlu digalas oleh kementerian untuk mengganti dan mencari pelapis yang setidak-tidaknya on par atau lebih lagi daripada pegawai sebelumnya.
16. Kepada pesara dan bakal pesara yang diraikan dalam majlis ini, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat anda semua atas segala penat lelah dan khidmat bakti kepada negara khususnya kepada Kementerian Digital. Saya juga percaya, proses perpindahan daripada fasa kerjaya ke fasa persaraan mungkin mengambil masa untuk diadaptasi, ia merupakan fitrah perjalanan biasa yang perlu ditempuh oleh seseorang yang berkerjaya. Persaraan secara kebiasaannya dilihat sebagai pengakhiran dalam fasa kerjaya namun ia sebenarnya adalah satu permulaan kepada kehidupan yang juga penuh dengan cabaran dan liku untuk diterokai. “Retirement is not the closing of a story, but the opening of a brand new adventure.”
17. Di kesempatan ini juga, secara peribadi saya ingin merakamkan ucapan penghargaan ribuan terima kasih buat salah seorang pesara kita iaitu YBhg. Datuk Ts. Dr. Fazidah binti Abu Bakar, mantan Ketua Pengarah JDN atas segala jasa beliau sepanjang bersama-sama dengan saya di peringkat awal penubuhan kementerian ini. Kepakaran dan komitmen beliau telah menjadi tunjang utama dalam kejayaan Kementerian Digital dan JDN, sekali gus meninggalkan legasi yang amat besar untuk diteruskan dan diperkukuhkan pada masa hadapan.
18. Saya pasti YBhg. Datuk Ts. Dr. dan puan-puan telah pun mempersiapkan diri dan mempunyai perancangan dalam menempuh alam baru ini. Bagi sesetengah individu, selain dapat menghabiskan lebih masa bersama keluarga tersayang, inilah masanya untuk kita melaksanakan apa jua keinginan dan impian yang belum terlaksana atau yang belum sempat dilaksanakan. Biar apapun perkara atau bidang yang diceburi, saya berharap ianya dipermudahkan dan berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat berdasarkan kemampuan dan kesihatan masing-masing.
19. Semoga YBhg. Datuk Ts. Dr., tuan-tuan dan puan-puan sentiasa diberi ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan serta dibalas dengan segala kebaikan atas apa yang telah disumbangkan sepanjang berkhidmat kepada negara.
20. Akhir sekali, buat pesara-pesara, saya juga ingin berpesan agar wang ganjaran yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan sentiasalah berhati-hati dan elakkan dari menjadi mangsa kepada scammer yang boleh datang dalam apa jua tawaran, peluang dan janji manis.
21. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua yang diraikan pada hari ini.
Sekian, Terima Kasih.
#TAMAT#