TEKS UCAPAN
YB GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL
MAJLIS PENYERAHAN PROJEK HANSARD PARLIMEN
9 JUN 2026 | 2.30 PETANG PARLIMEN MALAYSIA, KUALA LUMPUR 1
SALUTASI
1. Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul
Yang Di-Pertua Dewan Rakyat
2. Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed
Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara
3. Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong
Timbalan Menteri Digital
4. Yang Berbahagia Datuk Fabian Bigar
Ketua Setiausaha, Kementerian Digital
5. Yang Berusaha Ts. Nik Zalbiha Nik Mat
Ketua Pengarah, Jabatan Digital Negara (JDN)
6. Yang Berusaha Tuan Muhd Sujairi Abdullah
Setiausaha Dewan Negara
7. Yang Berusaha Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin
Setiausaha Dewan Rakyat
Tuan- Tuan dan Puan-Puan,
Seterusnya para Hadirin Yang Dihormati Sekalian.
Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.
HALA TUJU DIGITAL DAN GOVTECH
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran YBhg. Tan Sri, Dato’, tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama melakar satu lagi sejarah penting dalam usaha memodenkan institusi parlimen melalui Majlis Penyerahan Projek Hansard ini.
2. Majlis pada hari ini merupakan satu detik penting dalam usaha memperkukuh agenda transformasi digital negara, khususnya dalam memodenkan sistem penyampaian dan pengurusan rekod rasmi Parlimen Malaysia.
3. Dunia hari ini sedang pesat berubah, dan kita kini melangkah masuk ke dalam "Era Kecerdasan" atau Era of Intelligence yang didorong oleh pelbagai teknologi maju, terutamanya Kecerdasan Buatan (AI).
4. Dalam mendepani arus perubahan ini, kita tidak perlu berasa takut. Sebaliknya, kita perlu berubah bersama-sama dengannya. Teknologi ini bukanlah satu ancaman yang mahu mengambil alih tugas kita, tetapi ia adalah alat yang mempermudah serta mempercepatkan cara kita bekerja.
5. Atas asas inilah GovTech Malaysia digerakkan. Melalui pendekatan Whole-of-Government, GovTech Malaysia berperanan membentuk ekosistem perkhidmatan yang bersepadu untuk mentransformasikan penyampaian kerajaan agar menjadi lebih moden, cekap, dan paling utama, berfokuskan rakyat.
6. Sudah tiba masanya kita menyediakan platform digital yang membolehkan semua pihak berurusan secara lancar; dengan matlamat utama kita adalah untuk memastikan tiada siapa pun yang tercicir di dalam sebuah persekitaran digital yang boleh dipercayai.
7. GovTech Malaysia terus menerajui transformasi digital sektor awam melalui enam inisiatif utama yang memberi impak langsung kepada kerajaan dan rakyat.
8. Antaranya ialah GovSuite DMS yang merupakan repositori berpusat yang selamat dan mengautomasikan pengurusan dokumen kerajaan secara bersepadu, MyGov Apps merupakan aplikasi mudah alih rasmi kerajaan yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan dan maklumat agensi kerajaan dalam satu platform digital, dan MyCitizenProfile yang menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih proaktif melalui perkongsian data merentasi agensi. Selain itu, Tanya Kerajaan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan untuk mempercepatkan pengurusan pertanyaan dan aduan rakyat.
9. Pada masa yang sama, MyAppointment memudahkan urusan tempahan janji temu di agensi kerajaan, manakala GovSuite CMS menyediakan platform standard untuk pembangunan dan pengurusan laman web kerajaan yang lebih konsisten dan mudah diakses.
10. Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen GovTech Malaysia dalam memperkukuh ekosistem digital kerajaan serta memastikan perkhidmatan awam yang lebih cekap, bersepadu dan berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pendigitalan negara.
MEMPERKASA SISTEM REKOD PARLIMEN
Hadirin yang Dihormati Sekalian,
11. Projek Hansard Parlimen ini bukan sekadar sebuah projek teknologi, tetapi merupakan satu inisiatif strategik dalam memastikan proses dokumentasi persidangan Parlimen dapat diurus dengan lebih cekap, teratur dan selamat. Malah, aplikasi Hansard Parlimen ini direka bentuk secara khusus bagi memperkasa perekodan, pengurusan dan kebolehcapaian rekod rasmi perbahasan Parlimen secara lebih tersusun, bersepadu dan efisien.
12. Melalui pelaksanaan sistem ini, akses kepada rekod Hansard akan menjadi lebih mudah, pantas dan sistematik, sekali gus membantu meningkatkan ketelusan, kecekapan serta kebolehcapaian maklumat kepada pihak berkepentingan dan rakyat.
13. Sistem ini juga berupaya meningkatkan kecekapan capaian maklumat melalui kemudahan carian yang lebih komprehensif dan mesra pengguna, di samping menyokong pengurusan rekod secara sistematik serta mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal.
KOLABORASI STRATEGIK PENGGERAK DIGITAL
14. Saya percaya usaha seperti ini amat penting dalam memperkukuh institusi demokrasi negara melalui penggunaan teknologi digital yang lebih moden dan mampan.
15. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada GovTech Malaysia, Parlimen Malaysia serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang pelaksanaan projek ini.
16. Pembangunan sistem ini yang dilaksanakan oleh GovTech Malaysia dengan penglibatan Parlimen Malaysia sebagai pemilik sistem, khususnya dalam penentuan keperluan dan pengesahan fungsi, adalah amat kritikal bagi memastikan sistem yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan operasi dan tadbir urus.
17. Kejayaan hari ini membuktikan bahawa kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan pasukan pelaksana mampu menghasilkan penyelesaian digital yang memberi impak besar kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam negara.
PENUTUP
18. Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan agenda pendigitalan negara, saya berharap sistem ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa agar kekal relevan, inovatif dan memenuhi keperluan masa hadapan.
19. Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Projek Hansard Parlimen ini.
20. Dengan ini, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Hansard Parlimen.
Sekian, Terima Kasih.
#TAMAT# 7