Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Kebangsaan 2025

8 mins
·

SALUTASI

1. Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim

Perdana Menteri dan

Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail

2. Yang Berhormat Ahli-Ahli Jemaah Menteri

3. Ahli-Ahli Yang Berhormat

4. Yang Berbahagia Ketua Audit Negara

5. Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy A/P Kandasami

Timbalan Menteri Perpaduan Negara

6. Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

7. Yang Berbahagia Puan Sangeeta Kaur Sidhu

8. Tuan Yang Terutama Duta dan Perwakilan Asing

9. Yang Berbahagia Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian

10. Yang Berusaha Tuan Genesan Thangavellu

Presiden Malaysia Hindu Sangam

11. Presiden, Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam Kuala Lumpur

12. Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri

13. Penganut Agama Hindu yang diraikan Rakan-Rakan Strategik

Rakan-Rakan Media,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Vanakam, Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.

1. Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita dalam sambutan Hari Deepavali 2025 anjuran Kementerian Digital pada pagi yang penuh makna ini.

2. Kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, bersama rakan-rakan Menteri dan kepimpinan kerajaan, menzahirkan semangat kekeluargaan yang saling meraikan kepelbagaian dan memperkukuh perpaduan yang telah menjadi asas kepada kekuatan negara kita yang berbilang kaum dan agama.

DEEPAVALI DALAM KONTEKS MALAYSIA MADANI

3. Deepavali atau Pesta Cahaya melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, kebenaran mengatasi kebatilan dan cahaya mengatasi kegelapan. Justeru, pada hari yang indah ini, kita sama-sama mengadakan sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2025 yang bertemakan “CAHAYA MADANI SINAR PERPADUAN”. Sambutan Hari Terbuka Deepavali kali ini membawa mesej bahawa cahaya bukan sahaja simbol Deepavali, tetapi juga lambang pencerahan, harapan, dan perpaduan rakyat Malaysia dalam kerangka Madani.

4. Mesej ni amat dekat dengan semangat Malaysia Madani, di mana nilai kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan dijadikan asas membina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama. Dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang berteraskan Malaysia Madani, perayaan Deepavali melangkaui sempadan agama dan kaum. Ia menjadi simbol kepada perpaduan dalam kepelbagaian, sebuah nilai yang telah lama menjadi kekuatan negara kita.

5. Hari ini, kita meraikan semangat bersama yang menjadikan Malaysia unik dan berjiwa besar. Malaysia Madani menuntut kita membina masyarakat yang inklusif, saling menghormati dan memperkukuh kepercayaan antara satu sama lain. Perpaduan bukan hanya slogan semata-mata, sebaliknya ia adalah cara kita bekerja, berfikir dan berinteraksi, sama ada di pejabat, di ruang digital, mahupun dalam kehidupan harian.

6. Ketika pelita dinyalakan di setiap rumah masyarakat India di seluruh negara, ia membawa simbol harapan, kemakmuran dan kasih sayang yang dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

PENGHARGAAN TERHADAP MASYARAKAT INDIA Hadirin yang Dihormati,

7. Masyarakat India di Malaysia bukan sekadar satu komuniti sebaliknya anda semua adalah sebahagian daripada denyut nadi sejarah negara ini. Sejak sebelum kemerdekaan, masyarakat India telah memainkan peranan besar dalam membina asas negara ini, bermula dengan dari sektor perladangan, pendidikan, perkhidmatan awam, hinggalah ke bidang profesional dan teknologi moden hari ini.

8. Nama-nama besar daripada masyarakat India dalam bidang guaman, perubatan, sains, sukan, seni, dan politik telah mewarnai perjalanan kemajuan negara kita. Mereka bukan hanya sebahagian daripada kisah Malaysia, tetapi turut menjadi pencipta bab-bab penting dalam sejarah tanah air yang kita cintai bersama ini.

9. Kerajaan Madani di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sentiasa berpegang pada prinsip bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, berhak menikmati kemajuan dan peluang yang adil. Tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menggubal dasar malahan perlu memastikan dasar itu dirasai di setiap lapisan masyarakat, termasuk masyarakat India di seluruh negara.

10. Kita sedar, masih ada ruang untuk memperkukuh penyertaan masyarakat India dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan. Oleh itu, pelbagai inisiatif telah dan sedang digerakkan oleh kerajaan di kalangan masyarakat India daripada termasuk inisiatif kebajikan, pendidikan, dan pembangunan sosioekonomi termasuk program peningkatan kemahiran digital, pengukuhan komuniti, dan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi dan digital.

11. Kita mahu memastikan bahawa masyarakat India tidak diketepikan, sebaliknya terus menjadi rakan strategik dalam agenda kemajuan negara.

SAMBUTAN DEEPAVALI DALAM ERA DIGITAL

Tuan-tuan dan Puan-puan,

12. Suka saya maklumkan bahawa beberapa inisiatif baharu berjumlah RM42.25 juta telah diluluskan oleh Perdana Menteri kita. Inisiatif ini khusus untuk membantu masyarakat India.

13. Antara inisiatif tersebut ialah program tuisyen percuma, yang lebih dikenali sebagai ‘Kalvi MADANI,’ pemberian komputer riba menerusi Peranti Siswa serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

14. Untuk makluman umum, program Kalvi MADANI bakal memanfaatkan murid di 200 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerusi peruntukan RM8 juta.

15. Program Pembasmian Miskin Tegar juga merupakan inisiatif baharu melibatkan RM3.5 juta menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN). Terdapat juga program pemerkasaan rumah ibadat sebagai pusat komuniti dan kebudayaan yang dikenali sebagai ‘Dharma MADANI’. Program ini melibatkan peruntukan RM20 juta.

16. Pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kebajikan dan kemajuan masyarakat India turut dibentangkan dalam Belanjawan MADANI 2026 pada 10 Oktober lalu. Antaranya, RM19.09 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan di seluruh negara.

17. Selain itu, kerajaan sedang meneliti pembangunan makmal ICT, bilik komputer dan perpustakaan dwibahasa Tamil-Inggeris di SJKT terpilih, supaya anak-anak kita bersedia menghadapi dunia digital. 7

18. Ini cukup penting kerana Kerajaan berhasrat untuk mendigitalkan perkhidmatan, membina kepercayaan digital (digital trust), melindungi data rakyat dan memperkukuh keselamatan siber.

19. Setiap langkah ini membawa satu matlamat yang sama; bahawa kemajuan teknologi mestilah disertai dengan nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan kesejahteraan bersama.

20. Seperti mana Deepavali meraikan kemenangan cahaya atas kegelapan, Malaysia juga kini melangkah dalam perjuangan baharu — melawan kejahilan digital dengan ilmu, menentang jurang digital dengan inklusiviti, dan menukar cabaran digital kepada peluang ekonomi untuk rakyat. Kerajaan Madani komited untuk memastikan tiada komuniti tertinggal dalam arus pendigitalan ini.

PENUTUP

21. Akhir kata, marilah kita menghayati semangat Deepavali dengan penuh kesyukuran dan semangat perpaduan. Semoga setiap pelita yang dinyalakan bukan hanya menerangi rumah, tetapi juga hati dan minda kita untuk terus menyalakan cahaya kemajuan, kasih sayang, dan keharmonian dalam Malaysia yang kita cintai ini.

22. Bagi pihak Kementerian Digital, saya mengucapkan: Selamat Menyambut Hari Deepavali... Deepavali Nal Valthukal.

23. Semoga perayaan tahun ini membawa lebih banyak cahaya kebahagiaan, rezeki dan kemajuan digital untuk seluruh rakyat Malaysia.

Nandri, Terima Kasih!

#TAMAT#


18102025_TEKS UCAPAN_MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN DEEPAVALI PERINGKAT KEBANGSAAN 2025.pdf

0.22MB

18102025_SPEECH_NATIONAL-LEVEL DEEPAVALI CELEBRATION 2025.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025