Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Malaysia Perkukuh Ekonomi Digital Menerusi Pelaburan Bernilai RM2.97 Bilion Dari China, pembukaan Peluang Pekerjaan Dan Pemerkasaan Kerjasama Inovasi Kecerdasan Buatan (AI)

6 mins
·

SIARAN MEDIA

MALAYSIA PERKUKUH EKONOMI DIGITAL MENERUSI PELABURAN BERNILAI RM2.97 BILION DARI CHINA, PEMBUKAAN PELUANG PEKERJAAN DAN PEMERKASAAN KERJASAMA INOVASI KECERDASAN BUATAN (AI)

Misi berprofil tinggi yang diketuai oleh Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo ke Republik Rakyat China baru-baru ini telah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam transformasi dan inovasi digital yang semakin berkembang pesat.

Misi tersebut, yang diadakan sempena Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (World Artificial Intelligence Conference – WAIC) 2025 di Shanghai, telah membuahkan hasil yang konkrit dan kemajuan strategik yang akan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh pendigitalan.

Malaysia berjaya memperoleh pelaburan digital yang disahkan berjumlah RM2.97 bilion daripada syarikat teknologi terkemuka China, sekali gus membuka laluan kepada pewujudan lebih 6,800 pekerjaan digital bernilai tinggi di seluruh negara. Pelaburan ini merangkumi pembangunan hab inovasi berteraskan AI, pusat khidmat pelanggan pintar, platform AI berteknologi tinggi, serta infrastruktur digital generasi baharu.

Syarikat-syarikat seperti Baidu (menerusi Wisetech), Tsing Digital, iSoftStone, Inspur Group, China Mobile International dan China Unicom telah menyatakan komitmen mereka dalam menyokong aspirasi digital Malaysia. Mereka turut membawa bersama teknologi termaju serta kepakaran mendalam yang akan memperkukuh ekosistem teknologi negara.

Misi ini turut memperlihatkan kekuatan dan momentum inisiatif Malaysia Digital (MD) yang terus menarik pelaburan berkualiti tinggi selaras dengan keutamaan pembangunan negara. Menerusi pengiktirafan Status MD dan jalinan kerjasama strategik, Malaysia sedang memperkukuh daya saing digital di peringkat global sambil membuka peluang baharu di Selangor, Johor dan Perak.

YB Tuan Gobind Singh Deo turut menyeru syarikat-syarikat China agar menubuhkan lebih banyak pusat inovasi di Malaysia, dengan menekankan hasrat negara untuk muncul sebagai hab inovasi digital di rantau ASEAN. Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan ekosistem baharu berasaskan teknologi seperti platform mobiliti autonomi dan pusat kawalan nasional, yang akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan bandar pintar dan tadbir urus digital yang lebih maju.

Dalam era di mana teknologi digital mengubah setiap aspek kehidupan masyarakat, Malaysia terus menerajui dengan pendekatan yang berteraskan nilai dan berwawasan ke hadapan. Menteri Digital menekankan kepentingan yang semakin meningkat terhadap ejen AI, sistem pintar yang mampu membuat keputusan dan melaksanakan tugasan secara autonomi, sebagai ciri utama dalam landskap digital masa kini. Sistem ini sedang merevolusikan perkhidmatan awam dan industri, namun kejayaannya bergantung kepada keyakinan masyarakat bahawa ia beroperasi secara selamat, beretika dan selaras dengan nilai-nilai kemasyarakatan.

YB Tuan Gobind Singh Deo menyatakan bahawa dunia kini sedang melangkah ke era pintar di mana ejen AI akan memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan seharian. Justeru, adalah amat penting untuk memastikan masyarakat mempunyai keyakinan bahawa sistem-sistem ini selaras dengan nilai-nilai mereka serta keperluan masyarakat secara keseluruhan.

Bagi menyokong penerapan AI yang bertanggungjawab, YB Tuan Gobind Singh Deo mencadangkan pembangunan kerangka pensijilan AI, sebagai satu mekanisme untuk memastikan teknologi yang muncul mencerminkan keutamaan negara, konteks budaya serta perlindungan etika. Beliau turut mengumumkan rancangan Malaysia untuk melancarkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safety Network) semasa Kepengerusian ASEAN 2025, bagi membantu menyelaraskan kerangka tadbir urus di seluruh rantau ini.

Selain itu, YB Tuan Gobind Singh Deo turut menekankan keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang baharu yang seiring dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini. Ini termasuk merangka perundangan yang berwawasan ke hadapan bagi membimbing penggunaan teknologi generasi baharu, melindungi pengguna serta menggalakkan inovasi dalam ekosistem yang selamat dan terkawal.

Misi tersebut turut mengukuhkan kepentingan bagi Malaysia untuk melabur dalam infrastruktur digital generasi baharu yang mampu menyokong teknologi kompleks dan baharu seperti mobiliti autonomi, platform kawalan berskala nasional, serta keupayaan kecerdasan keputusan masa nyata. Sistem asas ini akan menjadi tunjang kepada pembangunan bandar pintar yang bersedia untuk masa depan, perkhidmatan awam digital yang efisien, serta tadbir urus yang responsif.

Misi ini mencerminkan komitmen teguh Kementerian Digital dalam membangunkan ekonomi digital yang selamat, inklusif dan dipacu oleh inovasi yang berteraskan nilai, dikuasakan oleh teknologi serta disokong melalui kerjasama antarabangsa yang kukuh.

Malaysia pulang dari China dengan kerjasama yang diperkukuh, pelaburan transformatif dan visi nasional yang berani dan bersedia untuk membentuk masa depan digital yang lebih pintar dan berdaya tahan untuk semua.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri,

Kementerian Digital,

30 Julai 2025.


30072025_SIARAN MEDIA_MALAYSIA PERKUKUH EKONOMI DIGITAL MENERUSI PELABURAN BERNILAI RM2.97 BILION DARI CHINA, PEMBUKAAN PELUANG PEKERJAAN DAN PEMERKASAAN KERJASAMA INOVASI AI.pdf

0.08MB

30072025_PRESS RELEASE_MALAYSIA BOOSTS DIGITAL ECONOMY WITH RM2.97 BILLION CHINA INVESTMENTS, JOB CRE.pdf

0.14MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025