Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Malaysia Melangkah Maju Dengan Strategi AI Berlandaskan Nilai Tempatan Dan Pandangan Global

5 mins
·

KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA MELANGKAH MAJU DENGAN STRATEGI AI BERLANDASKAN NILAI TEMPATAN DAN PANDANGAN GLOBAL Kementerian Digital Menandakan Pencapaian Penting dalam Strategi AI Negara Menerusi Sesi Libat Urus Bersama Kementerian Digital dan Kumpulan Kerja NAIO

KUALA LUMPUR, 19 April 2025 – Malaysia mengorak langkah berani dalam transformasi digital negara dengan menghimpunkan 210 pakar dari dalam dan luar negara untuk bersama-sama membentuk masa depan kecerdasan buatan (AI) yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga berteraskan nilai kemanusiaan.

Hari ini, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) melalui Kementerian Digital telah menganjurkan sesi libat urus bersama YBhg. Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital yang mewakili YB Menteri Digital Gobind Singh Deo, serta ahliahli Kumpulan Kerja NAIO. Kumpulan kerja ini ditubuhkan untuk membina strategi AI negara dengan matlamat untuk memberikan impak kepada perniagaan, komuniti dan rakyat.

Ditubuhkan pada 27 Februari 2025, Kumpulan Kerja NAIO terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang di dalam dan juga di luar negara, merangkumi pelbagai sektor, termasuk usahawan teknologi, penjawat awam, pakar etika, ahli akademik dan pengamal AI. Dalam tempoh kurang dari dua bulan, mereka telah membantu mewujudkan satu model baharu dalam pembangunan dasar negara; satu model yang pantas, inklusif, dan direka bentuk untuk pelaksanaan dunia sebenar.

Kumpulan Kerja NAIO kini sedang membangunkan cadangan dalam tujuh bidang keutamaan yang kritikal untuk membina landskap AI yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan: Tadbir Urus & Etika AI, bagi memastikan pendekatan yang berpaksikan manusia dan sejajar dengan nilai kenegaraan; Peraturan & Dasar AI, bagi mencadangkan rangka kerja kawal selia yang teratur selaras dengan visi negara; Penasihat AI, bagi menggalakkan penggunaan AI dalam perniagaan tempatan; Keselamatan AI, untuk mengutamakan perlindungan terhadap risiko atau bahaya yang tidak diingini; Sekuriti AI, untuk mengenal pasti ancaman strategik daripada luar; Kedaulatan AI, demi menjamin autonomi strategik jangka panjang negara; dan Bakat AI, untuk membina bakat tempatan yang kukuh dan mampan.

“AI bukan hanya tentang teknologi. Ia tentang kepercayaan, nilai, dan impak,” kata YBhg. Fabian Bigar semasa sesi tersebut. “Kita tidak mahu sekadar menggunakan pendekatan yang sama dari negara lain. Kita sedang membina pendekatan yang unik untuk Malaysia sendiri, satu pendekatan yang memperkasakan rakyat, melindungi hak mereka, dan memastikan tiada yang ketinggalan.”

Inisiatif ini mengikuti struktur kitaran kerja selama tiga bulan. Titik semakan pertengahan pertama telah berlangsung pada 27 Mac yang lalu, memfokuskan pada penyelarasan hala tuju dan perkongsian ilmu antara kumpulan. Titik semakan kedua, dijadualkan pada 29 April, akan menyaksikan pembentangan draf pertama hasil kerja Kumpulan Kerja NAIO ini. Proses ini akan berakhir dengan titik semakan terakhir pada 29 Mei, dimana hasil kerja yang telah diperhalusi akan dibentangkan kepada NAIO sebagai asas kepada pelan tindakan AI kebangsaan.

Ketua NAIO, Shamsul Izhan Abdul Majid, memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh Kumpulan Kerja NAIO. "Ini adalah detik yang sangat bermakna. Kita bukan sekadar merangka dasar, kita sedang membina asas ekosistem AI kebangsaan yang mencerminkan siapa kita, dan siapa yang kita mahu jadi. Pendekatan kita adalah dengan bangganya sebagai negara Malaysia, relevan di peringkat serantau, dan berdaya saing di peringkat global."

Sumbangan daripada Kumpulan Kerja NAIO ini dijangka membentuk cara AI menyokong perusahaan kecil dan sederhana, meningkatkan perkhidmatan awam digital, memperkukuh tadbir urus data yang bertanggungjawab, serta membangunkan bakat tempatan. Lebih penting lagi, ianya meletakkan asas kepada AI yang beretika, inklusif, dan berteraskan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Dengan perancangan untuk melancarkan strategi AI negara secara sepenuhnya pada penghujung tahun ini, Kementerian Digital percaya bahawa sesi libat urus ini bukan sekadar satu penanda aras bahkan ianya adalah permulaan kepada satu pemikiran baharu: bahawa Malaysia bersedia mengambil pemilikan terhadap masa depan AI kita sendiri, dipandu oleh inovasi dan empati.

- TAMAT -

Dikeluarkan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Digital


19042025_KENYATAAN MEDIA_MALAYSIA MELANGKAH MAJU DENGAN STRATEGI AI BERLANDASKAN NILAI TEMPATAN DAN PANDANGAN GLOBAL.pdf

0.18MB

19042025_PRESS RELEASE__MALAYSIA_MOVES_FORWARD_WITH_AI_STRATEGY_GROUNDED_IN_LOCAL_VALUES_AND_GLOBAL_INSIGHT.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025