KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG PENTING YANG MEMBOLEHKAN PERKONGSIAN DATA ANTARA AGENSI KERAJAAN PERSEKUTUAN
KUALA LUMPUR, 19 Disember 2024 – Malaysia hari ini telah meluluskan undangundang penting yang memudahkan perkongsian data antara agensi Kerajaan Persekutuan.
Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Data 2024 adalah penting kerana ia mengatasi had-had yang wujud sebelum ini berkaitan perkongsian data antara agensi-agensi tersebut. Undang-undang ini mewujudkan satu proses di mana permohonan untuk data boleh dibuat, dan bagaimana permohonan tersebut akan dipertimbangkan. Jawatankuasa Perkongsian Data Negara akan menjalankan penilaian yang ketat apabila permohonan dibuat mengikut kriteria yang ditetapkan dalam Akta, untuk menentukan sama ada data yang diminta boleh dikongsi atau tidak.
Ia akan mempertimbangkan, antara lain, sifat data, tujuan permohonan data, cara data yang diminta akan dikendalikan, dan langkah-langkah keselamatan yang akan memelihara privasi dan kerahsiaan data tersebut.
Analisis data adalah penting untuk teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), yang mana Malaysia telah aktif mempromosikan dalam setahun lalu melalui penubuhan Kementerian Digital. Dengan undang-undang ini, hasrat Kerajaan MADANI untuk mewujudkan negara AI akan dipercepatkan lagi.
Sambil memudahkan perkongsian data, penekanan juga diberikan untuk memastikan data tersebut selamat dalam proses berkenaan. Undang-undang ini mewajibkan jawatankuasa untuk memastikan agensi yang memohon data mempunyai langkah-langkah keselamatan siber yang mencukupi sebelum keputusan dibuat untuk membenarkan agensi tersebut menerima data.
Ia juga membuat peruntukan untuk pengendalian data bagi memastikan data peribadi dilindungi sepanjang proses perkongsian data. Sekiranya berlaku pelanggaran, akibat penalti akan dikenakan, di mana mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih dari lima tahun, atau kedua-duanya, mengikut Akta (Fasal 17 dan 23).
Menteri Digital Gobind Singh Deo, ketika bacaan kedua dan ketiga RUU tersebut di Dewan Negara petang ini, berkata bahawa kelulusan undang-undang ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem di mana inovasi berkembang, membolehkan perkhidmatan dan penyelesaian digital dilaksanakan dengan cepat dan cekap.
“Pada masa yang sama, ia memastikan proses tersebut selamat. Kami akan bermula dengan agensi-agensi Persekutuan dan kemudian mempertimbangkan untuk mengembangkannya ke negeri-negeri dan selebihnya,” kata Gobind.
Undang-undang baharu ini adalah yang ketiga antara RUU yang dibentangkan oleh Kementerian Digital dalam tempoh setahun selepas penubuhannya. Pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 telah dibuat pada Julai 2024, dan Akta Keselamatan Siber 2024 mula berkuat kuasa pada 26 Ogos 2024.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Digital