SIARAN MEDIA
MALAYSIA MENJADI TUAN RUMAH ASEAN AI MALAYSIA SUMMIT 2025 YANG PERTAMA
Membentuk Visi Serantau Bersepadu untuk Kecerdasan Buatan
PUTRAJAYA, 26 JUN 2025 – Kementerian Digital hari ini secara rasminya mengumumkan ASEAN AI Malaysia Summit 2025 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 13 Ogos 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, sebuah persidangan serantau yang julung kali diadakan, direka untuk memacu kerjasama, tadbir urus dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan.
Acara bersejarah ini akan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, penyelidik dan masyarakat sivil dari seluruh dunia dengan satu matlamat bersama: membentuk masa depan AI yang lestari, selamat dan inklusif untuk Asia Tenggara. Sidang Kemuncak ini melambangkan kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan mencerminkan komitmennya untuk memajukan pembangunan AI yang bertanggungjawab melalui persepaduan dan tindakan serantau.
Titik Perubahan Serantau untuk Tadbir Urus dan Kerjasama AI
Acara perdana ini akan berfungsi sebagai platform peringkat tinggi untuk menyelaraskan strategi nasional dan piawaian tadbir urus data, serta membuka peluang inovasi merentas sempadan. Perbincangan akan merangkumi kedaulatan AI, inovasi, penyelarasan peraturan, infrastruktur awam digital, pembangunan bakat, dan banyak lagi.
Sidang Kemuncak ini memainkan peranan penting dalam mengemudi masa depan AI ASEAN. AI kini menjadi pemacu utama kepada perubahan ekonomi dan sosial serantau. ASEAN perlu tampil sebagai peneraju bersama dalam menentukan arah tuju transformasi global. Malaysia komited untuk memimpin usaha ini, membentuk laluan kolektif yang memastikan inovasi AI memperkasa, melindungi dan memberi manfaat kepada semua.
Rakan Strategik Utama dan Pemimpin Pemikiran Global Mengambil Peranan Utama
ASEAN AI Malaysia Summit 2025 disokong oleh kumpulan rakan strategik terkemuka, termasuk Sekretariat ASEAN, Yayasan ASEAN, EU-ASEAN, Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN, 500 Global, Alibaba Cloud, Grab, McKinsey dan Women in Tech.
Setakat kini, beberapa penceramah utama dari seluruh dunia termasuk pemimpin berwawasan dalam sektor kerajaan, penyelidik terkemuka dalam bidang AI, ahli teknologi perintis, serta suara berpengaruh dari masyarakat sivil, yang akan membawa perspektif yang pelbagai tentang tadbir urus, inovasi, dan keterangkuman digital, iaitu:
• TYT Dr Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN;
• Mishaal Ashemimry, Pengarah Urusan, Pusat untuk Masa Depan Angkasa dan jurutera aeroangkasa wanita pertama di Majlis Kerjasama Teluk (GCC);
• Richard Stirling, Ketua Pegawai Eksekutif, Oxford Insights;
• David Shrier, Profesor Praktis, Imperial College Business School;
• Khailee Ng, Rakan Kongsi Pengurusan, 500 Global; dan
• Suthen Thomas Paradatheth, Ketua Pegawai Teknologi, Grab.
Ketika dialog strategik dan perancangan terus berlangsung, penglibatan rakan kongsi tambahan dan penceramah Baharu akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang. Penglibatan berterusan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat dari pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa dalam menyokong pendekatan yang bersatu, inklusif, dan didorong oleh nilai terhadap pembangunan AI di Asia Tenggara. Sidang Kemuncak ini juga akan mengetengahkan kisah kejayaan dari seluruh rantau, menggalakkan keterangkuman jantina dan belia, serta memangkin kerjasama awamswasta untuk mengukuhkan kapasiti AI kolektif ASEAN.
Pelaksanaan Nasional, Impak Serantau
Dianjurkan oleh Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan MyDIGITAL Corporation, Sidang Kemuncak ini adalah bukti kepimpinan AI Malaysia yang semakin berkembang. Sejak penubuhannya pada Disember 2024, NAIO telah menerajui agenda AI negara — memperkukuh inovasi, kerjasama, tadbir urus, infrastruktur dan pembangunan bakat sejajar dengan matlamat serantau.
Lebih 1,500 wakil delegasi serantau dan lebih 150 peserta pameran dijangka menyertai Sidang Kemuncak ini, yang juga akan menampilkan Pameran Perdagangan AI ASEAN, sesi perbincangan peringkat menteri, forum belia, dan perkongsian eksklusif kes penggunaan AI dalam kesihatan, pendidikan, pertanian, teknologi kewangan, dan banyak lagi.
Memperkukuh Impak melalui KL AI Takeover Week dan Penglibatan Belia
Dari 10-14 Ogos 2025, Kuala Lumpur akan berubah menjadi hab inovasi AI yang dinamik dengan KL AI Takeover Week. Inisiatif merentas bandar ini akan memperluaskan impak Sidang Kemuncak, memupuk penerokaan, kerjasama dan inovasi melalui siri acara yang dinamik:
• AI Builder Hub – Ruang pusat untuk ceramah AI, aktiviti perangkaian dan kerja bersama, disesuaikan untuk golongan nomad dan pembangun digital.
• AI Code Fest – Pertandingan pembangun bertempat di MITEC yang mencabar peserta dengan kes penggunaan AI dunia nyata, untuk hadiah dan pengiktirafan.
• AI Horizon 2025 – Acara satelit khas oleh Tech Dome Penang, meneroka aplikasi AI dan kemajuan pendidikan yang bertumpukan masa hadapan.
• AI Ecosystem Events – Satu siri aktiviti yang dihoskan secara bebas oleh rakan-rakan kongsi global dan tempatan di seluruh bandar, memastikan penyertaan meluas daripada komuniti AI.
Sidang Kemuncak itu juga akan menampilkan acara khas, Youth Caucus, yang diadakan bersempena dengan Malaysia’s Chairmanship of ASEAN. Acara ini dianjurkan oleh KiniEvents dan Institut Perbahasan dan Perucapan Awam Malaysia (Malaysia Institute for Debate and Public Speaking) dengan kerjasama NAIO, MyDIGITAL Corporation, Google dan Institut Penyelidikan Khazanah. Platform ini memperkasakan pemimpin muda untuk membincangkan secara kritikal kesan AI terhadap masyarakat, serta mempersiapkan mereka untuk memainkan peranan bermakna dalam membentuk masa depan dan kepimpinan digital ASEAN.
Jemputan untuk Membentuk Masa Depan AI ASEAN Ketika ASEAN melayari era transformasi digital yang semakin pesat, ASEAN AI Malaysia Summit 2025 turut berperanan sebagai pelantar pelancaran tindakan. Semua pihak termasuk kerajaan, industri, penyelidik teknologi, masyarakat sivil dan institusi akademik dijemput untuk menyumbang ke arah visi bersama di mana AI mempercepatkan kemajuan, memelihara nilai bersama dan membuka potensi kolektif Asia Tenggara. Untuk pertanyaan penyertaan, perkongsian atau pameran, sila layari aimalaysiasummit.gov.my.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.