Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Malaysia Perkukuh kerjasama Global Di Davos 2026 Bagi Memacu Pembangunan Digital Yang Mampan Dan Saksama

5 mins
·

SIARAN MEDIA

MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA GLOBAL DI DAVOS 2026 BAGI MEMACU PEMBANGUNAN DIGITAL YANG MAMPAN

DAN SAKSAMA

PUTRAJAYA, 23 Januari 2026 – Malaysia telah memperkukuh komitmennya untuk membina ekonomi digital yang mampan, inklusif, dan sedia masa hadapan menerusi siri libat urus strategik di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 di Davos, yang diketuai oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo. Perbincangan tersebut mencerminkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam mencorak perbualan global mengenai pembangunan digital yang mampan bagi memastikan inovasi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kelestarian jangka panjang, selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

Di Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia menegaskan bahawa usaha menjadi sebuah Negara AI, seperti yang dicita-citakan di bawah RMK13, memerlukan lebih daripada sekadar penggunaan teknologi, ia menuntut perundangan, peraturan, dan institusi baharu yang tepat bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital demi rakyat. Malaysia sedang memajukan pemacu utama seperti cadangan penubuhan Suruhanjaya Data, yang bakal memainkan peranan penting dalam membangunkan bidang pertumbuhan baharu melalui penggunaan data serta mekanisme seperti perkongsian dan pertukaran data. Pada masa yang sama, ia akan memastikan penggunaan data yang bertanggungjawab dan selamat merentasi teknologi baru muncul, termasuk AI (Kecerdasan Buatan), kuantum, dan rantaian blok (blockchain). Pendekatan yang berpandangan jauh ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap aspek kepercayaan, keselamatan, dan kesediaan, sekali gus menjadi sumbangan Malaysia kepada usaha WEF dalam mencorak persekitaran digital global yang mampan dan berorientasikan masa hadapan.

Malaysia turut menekankan bahawa AI mesti memberikan hasil yang bermakna kepada masyarakat, termasuk aspek ekuiti, akses, dan kemampuan. Malaysia menyeru agar kerjasama global diteruskan bagi memastikan keupayaan AI yang kos efektif dan bertanggungjawab, terutamanya daripada ekonomi yang lebih maju dapat disediakan untuk Global South dan negara-negara membangun, supaya tiada negara yang ketinggalan dalam gelombang kemajuan digital yang seterusnya. Dalam konteks ini, Malaysia juga mencadangkan agar penggunaan AI mestilah dipandu oleh impak yang boleh diukur dan nyata kepada rakyat, bagi memastikan pelaburan digital disalurkan ke bidang yang tepat dan sampai kepada golongan yang paling memerlukan.

Malaysia turut menyambut baik kerjasama berterusan dengan WEF dalam meneroka peluang-peluang baru muncul seperti kedutaan digital (digital embassies) sebuah konsep berpandangan jauh yang dapat memperkukuh kepercayaan, daya tahan, dan kedaulatan dalam ruang digital. Malaysia dan WEF kini sedang merangka kerangka kerja kedutaan digital yang dijangka akan diterbitkan pada bulan April ini. Inisiatif ini hadir ketika ekosistem pusat data Malaysia terus berkembang pesat, menyokong peluang pekerjaan dan pelaburan, di samping memperkukuh kepentingan pembangunan infrastruktur digital yang mampan bagi memastikan pertumbuhan tersebut berdaya tahan, peka tenaga, dan selaras dengan keutamaan nasional jangka panjang.

Selain itu, Malaysia memajukan kerjasama dalam Peralihan Kluster Industri (TIC), di mana Pusat Revolusi Industri Keempat Malaysia (Malaysia Centre for 4IR) dan WEF baru-baru ini telah menerbitkan "Industrial Transformation in ASEAN: A Cluster-Driven Model for Regional and Global Collaboration". Buku panduan (playbook) ini bertujuan untuk mempercepatkan penyahkarbonan, penciptaan peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi melalui perkongsian pelbagai pihak berkepentingan, pembiayaan inovatif, penyelarasan dasar, serta integrasi teknologi baharu. Ia turut menampilkan kajian kes daripada Hab Industri Bintulu dan Kluster Peralihan Industri Johor sebagai model yang boleh diperluas untuk kerjasama industri di rantau ini. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, TIC pertama di Malaysia dirancang untuk dilancarkan di Sarawak pada Jun tahun ini, menandakan satu peristiwa penting dalam

menterjemah kerjasama global dengan WEF kepada hasil yang nyata bagi pembangunan nasional dan serantau.

Melangkah ke hadapan, Malaysia akan bekerjasama dengan WEF untuk mengenal pasti kaedah bagi berkongsi amalan terbaik dan pengajaran daripada transformasi digital merentas negara-negara lain, sekali gus membantu mempercepatkan kemajuan dalam bidang seperti produktiviti, perkhidmatan awam, dan pembangunan mampan.

Malaysia berharap dapat memperkukuh perkongsian dengan WEF ini bagi memacu pertumbuhan digital mampan yang memberikan impak nyata di peringkat domestik, merentas rantau, dan secara global.

#TAMAT#

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri Digital

Kementerian Digital, Malaysia


23012026_SIARAN MEDIA_MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA GLOBAL DI DAVOS 2026 BAGI MEMACU PEMBANGUNAN DIGITAL YANG MAMPAN.pdf

0.11MB

23012026_PRESS RELEASE_MALAYSIA STRENGTHENS GLOBAL PARTNERSHIPS AT DAVOS 2026 TO ADVANCE SUSTAINABLE AND EQUITABLE DIGITAL DEVELOPMENT.pdf

0.16MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2026