SIARAN MEDIA
MEMACU INDUSTRI KREATIF DIGITAL MALAYSIA KE ARAH NEGARA AI 2030
KUALA LUMPUR, 30 Januari 2026 – Industri kreatif digital Malaysia terus mencatatkan sumbangan ekonomi yang kukuh, di samping memartabatkan kandungan dan bakat tempatan di persada global. Pencapaian ini mencerminkan hasil pembangunan strategik selama bertahun-tahun dalam segmen kandungan digital pertumbuhan tinggi, terutamanya dalam bidang animasi dan permainan digital, yang dipacu oleh komitmen jangka panjang kerajaan serta kepimpinan industri yang mantap.
Sehingga kini, industri kreatif digital Malaysia telah menjana pendapatan sebanyak RM92.5 bilion dan nilai eksport mencecah RM12.1 bilion, selain mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menarik pelaburan berjumlah RM85.7 bilion.
“Industri kreatif digital Malaysia adalah bukti kekuatan visi nasional serta kehebatan bakat tempatan kita. Daripada animasi dan permainan digital sehinggalah kepada teknologi kreatif yang sedang berkembang, rakyat Malaysia terus membuktikan bahawa kreativiti kita berada di barisan hadapan dalam kecemerlangan kreatif global,” kata YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
Diterajui oleh Kementerian Digital dan disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sektor ini memacu penyelarasan dasar yang mantap, mengaktifkan program-program industri, menyediakan infrastruktur bertaraf dunia, serta memiliki rangkaian bakat yang luas. Malaysia kini menjadi pangkalan yang dipercayai bagi
studio dan penerbit global yang ingin menembusi pasaran pengguna ASEAN yang sedang pesat berkembang.
Sektor animasi Malaysia telah berkembang pesat, sehingga berjaya menarik kehadiran studio antarabangsa dan rakan kongsi penerbitan bersama (co-production) ke negara ini. Kerjasama dengan pemain industri global utama telah memperkukuh rangkaian bakat tempatan, meningkatkan keupayaan pengeluaran, serta memacu pembangunan harta intelek (IP) yang asli.
Hari ini, ekosistem animasi Malaysia berdiri lebih teguh berbanding sebelum ini. Harta Intelek (IP) tempatan yang ikonik seperti Upin & Ipin, Didi & Friends, Ejen Ali, dan Mechamato – yang dihasilkan dan diterajui oleh bakat Malaysia – telah melonjak ke mercu populariti di peringkat serantau dan global.
Baru-baru ini, Papa Zola the Movie muncul sebagai filem animasi Malaysia dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, menarik kira-kira 4 juta penonton dan menjana lebih RM60 juta dalam kutipan pecah panggung (box-office) di seluruh Malaysia dan Brunei.
Selain animasi, industri permainan digital Malaysia merupakan sektor yang rancak dan berkembang pesat, dikuasai oleh studio tempatan yang kini menjadi nama sebutan di seluruh rantau ini. Pencipta dan pembangun Malaysia turut menyumbang kepada tajuk permainan bebas (indie) serta produksi berskala besar, termasuk permainan AAA (Triple-A). Kejayaan ini dipacu oleh studio-studio seperti 7th Beat Games, Passion Republic Games, dan Kurechii Studios – yang mana kesemuanya telah mendapat sokongan melalui geran Kandungan Digital kerajaan, pameran antarabangsa, serta program pembangunan industri.
Reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab digital kreatif yang dipercayai diperkukuh lagi menerusi siri pelaburan antarabangsa yang utama. Salah satu pencapaian paling bermakna ialah keputusan Sony untuk menubuhkan cawangan pengembangan pertamanya di luar Jepun di Malaysia; satu pengiktirafan jelas terhadap rangkaian bakat, keupayaan pengeluaran, serta infrastruktur digital negara.
Sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhannya pada tahun ini, MDEC telah memainkan peranan utama dalam membina, memupuk, serta memajukan sektor animasi selama bertahun-tahun. Bagi memastikan pertumbuhan berterusan dan daya saing jangka panjang, Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital (Digital Creative Ecosystem-DICE) 2026 - 2030 kini sedang dimuktamadkan dan bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Industri kreatif digital kekal sebagai tunjang utama dalam landskap inovasi Malaysia; memacu impak ekonomi, menjana peluang pekerjaan, dan meluaskan pengaruh budaya di peringkat global, di samping mempamerkan bakat, identiti, serta kreativiti rakyat Malaysia di persada dunia.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital
Kementerian Digital, Malaysia